29
JAM menunjukkan
ke pukul Sembilan, tiga puluh minit pagi. Angin sepoi-sepoi bahasa menyegarkan
suasana persekitaran. Lambaian dedaun pepohon pauh dan pohon kelapa di tepi
rumah Masrifah menambah kesegaran udara. Jauh benar daripada pencemaran.
Kelihatan beberapa ekor ayam peliharaan kakaknya yang baru sahaja dilepaskan
dari reban, sedang mencari makan di belakang dapur. Sisa nasi dan lauk semalam
masih berbaki di tanah.
“Hari ini, Kak Pah nak masak kerabu
pucuk mengkudu dan ikan cencaru bakar.” niat itu disuarakan kepada Ruzdiana.
Ketika Ruzdiana ralit menikmati suasana kampung tempat tumpah darahnya itu.
“Wah, Sedapnya! Lama betul Dian tak
makan kerabu pucuk mengkudu,” balas Ruzdiana teruja.
“Mari!” Masrifah mencuit tangan
adiknya lalu berjalan ke belakang rumah. Diikuti Ruzdiana.
Sepohon mengkudu yang sederhana
besarnya itu rendang. Banyak pucuk-pucuk yang muda tidak dipetik.
“Lebar-lebar daunnya. Suburnya tanah
di sini. Ingat lagi dulu, masa arwah mak masih ada. Kebun cili dan tembikainya
subur.” Ruzdiana bermonolog tentang ibunya yang begitu tekun berkebun untuk
menyara persekolahannya.
“Tapi itu tanah kebun kat dalam
kampung.” jelas Masrifah.
“Ya, kat sini semuanya pohon getah.
Ingat lagi masa tu, Dian bela kucing, main sorok-sorok dengan dia. Rindu masa
kecik-kecik. Lasak!” kata Ruzdiana sambil ketawa kecil.
“Orang lain tak suka makan ke pucuk
mengkudu ni Kak Pah?”
“Makan jugak. Kak Pah bagi je
siapa-siapa yang nak petik. Kalau rajin petik, lagi banyak pucuk baru akan
bercabang. Benih ni, kawan Kak Pah yang duduk kat Jerteh bagi. Dah banyak jasa
pokok ni pada Kak Pah. Kak Pah selalu masak lemak pucuk mengkudu ni. Penjual
ikan yang tolong jualkan. Tak sempat sampai jauh, dua puluh paket selesai.”
Masrifah memberitahunya dengan perasaan gembira. Masrifah memang pandai
memasak. Penduduk kampung itu semua mengakuinya.
Mereka memetik pucuk mengkudu itu
sambil berbual dan ketawa. Masrifah selalu menantikan kepulangan adiknya. Dia
cukup gembira kerana dapat melayan satu-satunya adik yang dia ada. Nak bermanja
dengan Awang, bagaikan mendekati seekor harimau.
Banyak juga tips-tips masakan yang Ruzdiana
salin dan kumpulkan. Berguna untuk masa depannya nanti. Sedang leka mereka
mengutip pucuk mengkudu itu, mereka dikejutkan dengan bunyi hon daripada
penjual ikan.
“Van ikan dah sampai tu. Cepat!”
Masrifah termengah-mengah mendapatkan van ikan itu. Ruzdiana membututinya.
“Ini siapa pulak Kak Pah?” tanya
penjual ikan itu.
“Adik dari Kuala Lumpur. Baru balik…”
“Oh, patutlah tak pernah nampak,”
penjual ikan itu mengerling kepada Ruzdiana. Ruzdiana hanya mengangguk sambil
melihat ikan yang dijual itu.
“Kak Pah nak ikan apa hari ni?” tanya
penjual ikan itu lagi.
“Timbang ikan kerongan ni, 7 ekor.
Ikan selayang sekilo.”
Orang Pantai Timur memanggil ikan yang
berkulit keras itu dengan nama ikan kerongan. Kalau di Kuala Lumpur, ikan
cencaru. Budak-budak muda pula memanggil ikan itu dengan gelaran ikan jaket.
Kak Pah bersegera untuk ke dapur pula.
Ruzdiana hanya menjadi pengikut yang setia. Sedia mendengar segala arahan
kakaknya.
“Miji, kait buah kelapa muda! Untuk
minum tengahari nanti. Nor, belah dua biji kelapa! Parutkan sekali.” arah
Masrifah kepada kedua-dua anaknya itu sambil melangkah naik ke tangga di pintu
hadapan rumahnya itu.
“Apa yang Dian boleh tolong ni, Kak
Pah?” Ruzdiana sedia memberikan perkhidmatannya.
“Hiris pucuk mengkudu itu halus-halus
dan rendam dengan air garam 10 minit.” Ruzdiana mengikut arahan kakaknya itu
tanpa bantahan.
Dia mengambil pengalas kayu untuk menghiris
pucuk-pucuk mengkudu itu. Dia tidak sabar lagi untuk belajar menu baru daripada
kakaknya itu. Bau maung daun mengkudu yang telah dihirisnya itu menyucuk
hidungnya. Sementara itu Masrifah sedang menyiang ikan cencaru untuk dibakar
sebentar lagi. Juadah masakan kampung tengahari itu sungguh istimewa.
“Ramas-ramas pucuk mengkudu tu. Salin air garam
empat lima kali. Lepas tu, bilas dengan air bersih.” suruh Masrifah lagi kepada
Ruzdiana. Bertujuan untuk membuang rasa pahit pada daun mengkudu itu. Ruzdiana
mengikuti setiap langkah dan cara yang telah ditunjukkan oleh kakaknya itu
dengan tekun.
“Setelah siap, tapis dan biarkan sekejap. Ambil
kelapa parut tu dan sangrai sehingga kuning.” suruh Masrifah lagi.
Sedang Ruzdiana sangrai kelapa patrut itu,
Masrifah memberitahu langkah seterusnya.
“Ikan selayang ni kena rebus dulu. Letak garam dan
asam keping. Bila dah masak, biar sejuk dulu. Ambil isi ikan saja, agak-agak
cukup dengan pucuk mengkudu tadi.” Ruzdiana mengangguk sambil menulis resipi
tersebut ke dalam buku catitannya, yang selalu di bawanya ke mana sahaja.
Sementara itu, kakaknya menyuruh Nor memotong
serai, kunyit basah, dan halia. Bawang putih dan bawang merah dikisar. Cili
kering yang telah direndam dengan air panas terlebih dahulu itu, dikisar
bersama cili merah. Ketepikan. Santan pekat diambil dari sebiji kelapa yang
telah diparut. Sedikit air asam jawa dan sedikit cuka untuk penambah rasa
kepada kuah ikan bakar tersebut. Nisse atau gula Melaka ditumbuk hancur serta
garam dicampur sekali dengan bahan-bahan yang telah dikisar tadi ke dalam
sebuah bekas.
“Bahan yang kita tumbuk tadi biarlah lebih banyak.
Yang lebih tu kita boleh masakkan untuk kuahnya.” Terang Masrifah lagi. Ruzdiana
mengangguk sambil menyiapkan kerja-kerjanya.
Ikan cencaru yang telah dibersihkan, dilumur dengan
bahan yang telah ditumbuk tadi. Ikan itu telah dibelah belakang supaya
bahan-bahan yang telah dikisar dan ditumbuk tadi dapat meresap sehingga ke
dalam isi. Waktu untuk membakar ikan pun bermula. Asap mulai memenuhi ruang
dapur sehingga ke ruang tamu. Bau harum menusuk ke hidung jiran tetangga.
Masrifah hanya membakar ikan-ikan itu di dalam kuali yang diletakkannya ke atas
dapur gas.
Ikan yang telah siap dibakar itu diatur ke dalam
pinggan besar. Ikan cencaru bakar yang bersaiz besar itu cukup untuk menjamu
anak-anak dan cucu-cucunya itu. Lebihan rempah yang dilumur kepada ikan tadi
itu, dididihkan. Kemudian disiram ke atas susunan ikan bakar itu.
Emm… Aromanya! Ruzdiana menghidu hidangan ikan
bakar itu dengan mata yang terpejam. Tidak sabar untuk menikmati hidangan itu
sebentar lagi. Sedapnya tentu tidak dapat diucap dengan kata-kata.
“Tok Wan nak makan nasi,” pinta cucu bongsu
Masrifah. Apabila tidak tahan terhidu bau ikan bakar yang sungguh menyelerakan
itu.
“Belum siap lagi. Tunggu siap masak semua dulu,
boleh kita makan sama-sama. Pergi main-main dulu. Cucu Tok Wan ni baik…” pujuk
Masrifah kepada cucunya.
Cucu Masrifah itu masih berada di sisi Masrifah.
Memerhati. Dia menunjukkan minatnya ke dapur. Dia juga rajin mencuci pinggan
mangkuk walaupun tidak sebersih mana. Dan suka bermain sabun pencuci pinggan.
Kadang-kadang Masrifah gelihati dengan gelagat cucunya yang seorang itu. Suka
mencuba dan mengikut apa yang Masrifah lakukan di dapur. Pernah telur ayam
sesangkak dipecahkan dan digorengnya. Masrifah hanya mengucap panjang.
“Kita nak buat kerabu pucuk mengkudu pulak ni.”
kata Masrifah.
“Ambil lima ulas bawang merah, secubit serbuk lada
hitam, isi ikan.” Masrifah memberi resipi untuk membuat kerabu pucuk mengkudu
itu.
Ruzdiana menyalinnya ke dalam buku catatannya.
“Semuanya tadi hendaklah ditumbuk. Masukkan ke
dalam besin kecik ni. Masukkan mengkudu yang dah dihiris tadi tu, santan pekat,
garam dan gula. Gaul sampai sebati. Kelapa tadi ditumbuk untuk dijadikan
kerisik. Masukkan sekali dalam besen ni, gaul lagi.” Masrifah menjamah sedikit
kerabu itu, lalu dirasanya. Ada sesuatu yang belum cukup.
“Nor, pergi ambil buah limau nipis di pokok!”
jerit Masrifah kepada anaknya yang ralit menonton televisen.
“Berapa biji?” tanya Nor.
“Ambillah lebih pun tak apa, kan kita nak letak
dalam budu jugak!” balas Masrifah.
Limau yang telah dipetik oleh Nor tadi dibelah dua
dan diperah ke dalam bekas berisi kerabu mengkudu tadi. Masrifah menggaulnya
sehingga sebati. Kecur liur Ruzdiana apabila melihat kerabu mengkudu itu telah
sempurna.
“Sedapnya, cukup rasa!” Ruzdiana memuji kesedapan
kerabu mengkudu itu.
“Miji, buah kelapa muda dah siap ke!?” Masrifah
menjerit pula kepada Miji yang berada di tanah, melalui tingkap dapur rumahnya.
“Sekejap, tengah korek isi kelapa muda ni!”
Air kelapa muda dibelahnya dua biji. Dapat satu
jag besar airnya. Apabila dicampur dengan air batu, akan bertambah kesegaran
rasanya. Nyaman sekali diminum pada waktu makan tengahari.
Kedengaran teksi Iqbal sedang menuju ke halaman
rumah Masrifah. Seketika kemudian terdengar pula bunyi pintu teksi itu dibuka
dan ditutup. Berdecit bunyi kunci keselamatan kereta itu sebaik sahaja Iqbal
menekan punat kunci kereta yang berada di tangannya itu.
“Kak Pah, Iqbal dah sampai.” beritahu Ruzdiana,
walaupun kakaknya juga mendengar riuh rendah suara Iqbal yang sedang bercakap
dengan Miji di belakang dapur. Dia menolong Miji mengangkat jag air kelapa itu
naik ke atas rumah.
“Sedapnya bau… Kebetulan abang pun tengah lapar ni.
Maklumlah baru bangun tidur.” kata Iqbal sambil menuju ke dapur.
“Astaghfirullahal ‘Azim…” Masrifah mengucap
panjang.
“Ada apa Kak Pah?” tanya Ruzdiana cemas.
“Kak Pah belum masak nasi lagi…” kata Masrifah
sambil tergelak besar.
Semua penghuni rumah itu ketawa.
“Apa nak buat, tunggu dululah biar Kak pah masak
nasi. Sementara tu, celur pucuk ubi dan buah terung tu, buat ulam cicah budu.”
suruh Masrifah. Ruzdiana terus melakukannya tanpa bantahan sambil tersenyum
gelihati.
Dua puluh minit kemudian, semua sudah terhidang.
Iqbal dan semua anak-anak saudara serta cucu-cucu saudaranya itu dipanggil
untuk makan bersama.
“Wah! Sedap-sedapnya lauk. Membuka selera betul
ni. Hidangan masakan kampung yang jarang-jarang abang jumpa.” Iqbal memuji
keenakan hidangan itu.
“Inilah masakan Kak Pah bang, dia memang pandai
memasak.” puji Ruzdiana pula.
“Dian kena belajar nih,”
“Mestilah bang, dah banyak Dian belajar dengan Kak
Pah, janganlah risau.” Ruzdiana meyakinkan Iqbal.
Masing-masing menikmati hidangan tengahari itu dengan
berselera sekali. Kak Pah tersenyum puas. Walaupun penat, tetapi berbaloi.
“Tapi Kak Pah, saya terpikat dengan Ruzdiana ni,
kerana dia pandai masak laksam. Laksamnya sedap. Tak boleh tanding dengan
laksam orang lain masak. Mas belajar dengan Kak Pah jugak ke?” tanya Iqbal.
“Tak adalah, Dian ubah citarasanya sendiri,
setelah merasa laksam seorang jiran Dian ketika berada di Dungun dulu.” jelas Ruzdiana
tanpa berselindung.
Alhamdulillah… Puas sungguh Iqbal menikmati makan
tengahari hari itu. Setelah semuanya selesai makan tengahari, Ruzdiana dan Nor
mengemas dapur dan mencuci pinggan mangkuk. Selepas itu mereka menunaikan solat
zohor.
P/S Petikan ini diambil daripada Novel #DarjatKasih. Tunggulah kemunculannya nanti!
Untuk membacanya sedikit bolehlah klik ke link ini;
http://penailhamhatiku.blogspot.com/p/novel.html
Untuk membacanya sedikit bolehlah klik ke link ini;
http://penailhamhatiku.blogspot.com/p/novel.html
4 comments:
hehe, sumi y?
Sy taip ikon jari yang tunjuk Good tuuu.....tp keluar jd tanda soal lah pulakkk.....alahaiii....Heeeeeheee
~Apa2 pun memang besT Bonda,2 dalam 1 !
ツ
ooo..tQ tQ selamat mengikutinya ya sumie? :*
Post a Comment