eNovel~Darjat Kasih

Assalamualaikum kawan-kawan yang dikasihi serta pengunjung yang dihormati.
Terpanggil untuk saya memaparkan hasil nukilan saya yang masih mentah ini. Kepada yang sudi komen serta mengkritiknya dialu-alukan.
Tidak lupa juga ucapan jutaan terima kasih kepada semua rakan-rakan dan novelist-novelist yang tidak jemu-jemu dalam memberi tunjuk ajar kepada saya. Yang sebelum ini tidak pernah menulis dan hanya menanam cita-cita untuk menulis sebuah novel. Walhal ilmu penulisan kosong di dada. Dengan teguran oleh semua yang perihatin, setakat ini sajalah karya yang mampu saya utarakan buat peminat semua. Sudilah menghayatinya bersama-sama...



Darjat kasih

Biarku padam duka lara ini.

Akanku gendung Cinta dan Cita.


DARJAT KASIH INI TELAH BERADA DI PORTAL ILHAM sejak
05 November 2012,
Oleh kerana Editor menghendaki saya mengubah jalan ceritanya, inilah hasilnya. Dan saya mengutuk sekeras-kerasnya kepada palagiat yang hanya menceduk /merompak hasil kerja orang lain. Sebab saya sudah sedar betapa susahnya untuk menulis sesebuah novel itu.

DARJAT KASIHWan Mazlah Wan Hasan
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Paparan sejak 05 November 2012
Posting ke 52





Sinopsis Darjat Kasih.

Masdiana seorang gadis yang ketandusan kasih sayang keluarganya sejak kecil. Dia sanggup keluar dari kampungnya kerana kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab abangnya sendiri. Dia merantau untuk mencari pekerjaan sehingga ke Johor Bharu mengikut rakannya. Dia tidak memilih pekerjaan untuk meneruskan kehidupannya sendirian.

Di Johor Bharu dia telah disihir dengan ilmu penunduk oleh seorang lelaki Jawa yang bernama Mustapa sehingga melahirkan seorang anak perempuan yang diberi nama Amyra. Masdiana tidak pernah merelakan semua itu terjadi, tetapi seperti ada kuasa lain yang telah merantainya dan mengunci mulutnya. Mustapa telah mempergunakan Masdiana dalam pelbagai cara semata-mata untuk memuaskan nafsu dan kepentingan dirinya sendiri. Masdiana menurut segala kemahuannya. Mustapa juga telah meminjam wang daripada ceti haram, sehingga kehidupan mereka tertekan dan bermasalah.

Suatu hari, dengan tidak sengaja, Masdiana telah terlanggar pantang, sekali gus menghilangkan kuasa ilmu hitam tersebut. Akhirnya berlakulah percanggahan dan pergaduhan. Konflik demi konflik dilalui Masdiana. Mustapa tetap berdegil dan terus mengikut dan mengawal Masdiana. Sehingga Masdiana mencari jalan untuk melarikan diri daripada neraka Mustapa itu.

Kisah pertemuan Masdiana dengan Azizul telah menutup sejarah hitam Masdiana. Mereka berkahwin. Namun tidak semudah itu Masdiana mendapat kebahagiaan yang diharap-harapkannya. Keluarga Azizul, rupa-rupanya bukan calang-calang. Mereka dari keluarga terbilang sejak dahulu. Ramai ahli keluarga Azizul yang berpangkat dan berharta. Disegani kaum keluarga.

Masdiana semakin tertekan kerana dirinya dilihat terlalu kerdil di mata keluarga Azizul termasuk ibu mertuanya yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri. Walaupun segala rahsia itu tertutup rapat, namun Masdiana sering dikejar perasaan bimbang dan terhina. Dia begitu berharap setelah berkahwin, dia akan mendapat kembali kasih sayang keluarganya yang telah hilang itu. Dia teringin untuk menjaga ibu mertuanya dengan penuh kasih sayang. Namun semuanya tidak kesampaian, kerana mertuanya sering memilih kasih. Banyak ujian demi ujian yang dilalui di rumah itu. Dia yang telah letih menanggung lara selama ini, bagaikan mahu segalanya sempurna.

Apakah Masdiana berjaya dalam perjuangannya untuk mengejar impian, mencari kebahagiaan dan kejayaan? Selamat membaca.

1
TAHUN 2005, BULAN JULAI
TERGESA-GESA Masdiana menuruni anak tangga dari tingkat tiga Flat Bijangga itu. Cerita tentang pasangan suami isteri, jiran sebelah rumahnya yang pendiam itu memberi idea kepadanya untuk bertindak. Mertua kepada isteri jirannya itu, memberitahu memang anak lelakinya dan menantunya itu sungguh pendiam tetapi mereka telah berkenalan melalui Ruangan Teman Setaman dari sebuah majalah dan telah mendapat jodoh melaluinya. Mereka kekal bahagia sehingga mendapat dua orang cahaya mata.
Masdiana tidak sabar lagi untuk mencari buku comel yang pernah dibelinya satu ketika dahulu. Dia pernah mengumpul majalah kecil itu sebagai koleksi. Dia tahu apa isi kandungan tetap di dalam majalah kecil itu. Keterujaannya itu menjadikan hayunan langkah demi langkahnya semakin laju meninggalkan flat itu. Bersama satu harapan yang tinggi untuk mendapatkan sebuah majalah kecil itu. Dia mengambil masa lima minit untuk sampai ke Pasar Kuala Dungun itu. Penduduk di kampung sekitar lebih senang untuk pergi membeli belah di situ kerana jarak Flat Bijangga dengan Pasar Besar Kuala Dungun itu hanya kira-kira 500 meter. Dia menelan lelah sebentar. Sebelum dia dapat menggenggam buku itu, dia tidak akan balik ke rumah. Itu nekadnya. Buku itu sangat penting baginya, bagaikan penyambung nyawa.
Sepasang mata Masdiana melilau ke dalam kedai yang menjual akbar dan majalah. Tidak ada buku itu. Dia meronda ke seluruh Pasar Kuala Dungun itu. Dari tingkat bawah ke tingkat satu. Juga tidak ada dijual. Wajahnya tergaris kedutan resah. Tanpa letih dia menuruni tangga dari tingkat satu pasar itu, lalu menuju ke deretan rumah kedai berhampiran. Juga tidak ada dijual. Dia berlari anak pula ke stesen bas. Hanya sebuah lagi kedai yang menjual majalah yang belum dia pergi. Sekali lagi sepasang matanya tanpa putus asa melihat buku-buku yang tergantung di kaki lima kedai itu. Tidak terdapat di situ. Dia masuk ke dalam kedai itu. Diperhatikannya di rak-rak buku. Diperiksanya pada setiap tajuk majalah kecil seumpamanya. Hah, ada!
Akhirnya Masdiana tersenyum lega. Walaupun hanya tinggal sebuah. Cepat-cepat dicapainya majalah itu. Dibayarnya harga majalah itu, sambil mempamirkan sebaris gigi. Tanda misi pertamanya itu telah berjaya. Tanpa berlengah, dia mengatur langkah seribu untuk segera pulang ke rumah. Tidak sabar lagi untuknya membuka helaian pada muka surat yang penting itu.
Berdebar-debar, tatkala Masdiana membelek helaian naskah kecil itu. Tetapi dia tahu, ruangan yang cukup istimewa baginya itu, berada di sepertiga bahagian muka surat terakhir. Dia berasa malu sendiri kerana Ruangan Mencari Jodoh itu selalu diabaikannya selama ini, menjadi sangat penting pula kepadanya. Buku VARIASARI yang banyak mengandungi topik-topik menarik dan kisah masyarakat itu mendapat tempat di hati pembaca sepertinya.VARIASARI juga popular kerana ada Ruangan Mencari Jodoh. Ramai pasangan yang telah berjaya menjadi suami isteri. Masdiana juga berharap begitu.
Dia tidak perlu memilih. Ketika itu, dia tidak peduli lagi, siapa yang bakal menjadi kekasihnya nanti. Yang bakal menjadi suaminya nanti. Dia tidak pernah mengimpikan yang kacak bergaya atau yang kaya berada. Yang penting sebuah keikhlasan dan sikap bertanggungjawab. Masdiana bukanlah jenis yang suka bersosial di luar rumah. Dia tidak reti berkawan-kawan. Tambahan lagi dengan lelaki.
Dia tidak akan menolak, sekiranya ALLAH menjodohkannya dengan seorang yang kurang upaya atau yang sudah tua. Yang dia mahu adalah kesucian diri. Dia mahu bertaubat nasuha. Semoga ada orang yang sudi menerimanya yang kotor itu dengan ikhlas. Dia mahu taat kepada seorang yang bernama suami yang sah. Itulah harapan di dalam doanya ke hadrat ILAHI. Dia mulai pasrah.
“Ibu buat apa tu?” tanya Amyra yang baru berusia 5 tahun ketika itu. Seminggu kemudian.
“Ibu nak hantar kad ucapan hari raya ni, pada kawan-kawan ibu.”
“Cantiknya kad hari raya ni…” Amyra membelek kad-kad ucapan itu tanpa erti. Kad-kad hari raya itu adalah kad ucapan yang telah dibeli Masdiana pada tahun sudah. Masih boleh digunakan.
Kesepuluh kod yang ditandanya itu, telah diperolehi namanya daripada pengarang VARIASARI setelah membayar wang proses sebanyak RM10.00. Kesepuluh nama itu tercatat juga alamat dan nombor telefonnya. Masdiana menulis dan mengepos kad-kad ucapan itu tanpa pengetahuan sesiapa. Selain anak kesayangannya itu, yang belum mengerti keperitan ujian hidup.
Siapa yang balas dulu, dialah yang akan aku pilih! Masdiana bertegas di dalam hatinya. Dia mahu segera lari. Lari dari neraka yang dicipta oleh Mustapa. Mustapa, lelaki Jawa yang telah mengikatnya dengan ilmu penunduk. Sejak Masdiana mulai sedar dari terkena ilmu guna-guna itu, dia tidak rela diperlakukan begitu lagi. Dia tahu hukum hakam agama. Dia tahu dosa-dosa besar. Sebab itu, dia sanggup menyayangi Amyra dengan penuh kasih sayang. Dia tidak mahu menambah dosa yang ada. Amyra dilahirkannya suci bersih.
Sebelum itu, dia tidak berdaya. Kuasa ilmu hitam itu telah menutup mulutnya untuk meluahkan perasaan atau bertindak mengadu kepada sesiapa. Dia terus berazam untuk melarikan diri. Hanya itu sahaja jalan yang ada. Apabila dia jauh, tentu kuasa ilmu hitam Mustapa akan pudar. Tentu dia boleh meminta pertolongan. Tetapi hendak bercerita kepada siapa? Siapakah yang akan percaya dengan ceritanya? Sedangkan keluarganya sendiri menyayangi Mustapa. Mempercayai setiap tipu helah Mustapa. Dia pula menjadi pengikut yang setia tanpa rela. Sering air matanya gugur sewaktu bermohon petunjuk kepada ILAHI. Semoga diberiNYA jalan untuk melepaskan diri.
“Ibu, ada surat!” Amyra terjerit-jerit di luar rumah flat Bijangga.
“Syyy… jangan jerit-jerit…” bisikan amaran daripada Masdiana itu, menerjah ke pelipis Amyra. Masdiana segera mendapatkan anaknya itu, sambil menahan dadanya yang berombak.
“Cepatnya! Baru seminggu. Surat dari mana?” soalan yang diajukan Masdiana kepada anak kecilnya itu, tanpa sabar. Bagaikan anaknya itu tahu melihat cop pada setem.
Amyra mengangkat kedua bahunya sambil berlari menuruni tangga.
“Myra nak pergi ke mana tu nak!?”
“Pergi main kat bawah je…”
“Jangan pergi jauh-jauh sayang!” amaran itu didengari Amyra.
Masdiana sungguh teruja untuk membaca surat daripada orang yang bakal dijadikannya sebagai buah hati. Dia akan membuka seluruh pintu hatinya, kepada orang pertama yang membalas surat itu. Itu niat dan janjinya kepada ALLAH. Dia tidak peduli, tidak ada istilah jatuh cinta pandang pertama. Padanya perasaan cinta itu mesti diberikan kepada orang yang sanggup berbudi kepadanya. Dia kena menelannya bulat-bulat. Dia harus berserah. Harus bersyukur! Ya ALLAH, mudah-mudahan orang ini benar-benar menginginkan pasangan hidup sepertiku dan tidak memilih. Semoga dia menerimaku seadanya. Aamiin! Masdiana meraup mukanya bersama surat yang masih belum dibacanya itu. Dia reda.
Assalamualaikum, saudari.
Terima kasih kerana sudi berkenalan dengan saya. Cantik kad yang saudari hantar tu. Sekurang-kurangnya, saya rasa gembira kerana saudari sudi menjadi teman saya. Pada hari raya ini, saya keseorangan. Tidak ada semangat untuk saya menyambut hari raya.
Biarlah saya bercerita sedikit perihal diri saya. Saya jatuh di dalam perniagaan dan sudah 2 tahun bercerai. Saya harap saudari sudi menjadi teman saya. Saya benar-benar kesepian dan tiada semangat untuk meneruskan kehidupan ini seorang diri. Saya tidak ada teman untuk bercerita.
Saya harap di surat yang akan datang, saudari sudi menceritakan latar belakang saudari dan pekerjaan saudari pula. Di sini, saya kirimkan bersama sekeping gambar buat tatapan saudari.
Sekian sahaja untuk kali ini, semoga bersua lagi di lain warkah. Jika ada kelapangan sudilah kiranya saudari menghubungi saya. Ada saya sertakan nombor telefon saya di belakang gambar itu. Wassalam,
Yang Benar;
Azizul Azrai.

USAI menatap tulisan di dalam surat itu, ada satu getaran harapan yang sedang bertunas di lubuk hati Masdiana. Dadanya berdegup semakin kencang. Tiupan cinta sedang meluru masuk ke sanubarinya. Dalam gugup, dia menatap gambar lelaki itu. Dia tetap akan menerima lelaki yang bernama Azizul Azrai, walaupun dia tahu, Azizul  sedang di dalam kesusahan. Masdiana rela untuk bersusah payah bersama-sama. Dia sanggup berkorban!
          ‘Terima kasih ALLAH! Dia seorang yang cukup sempurna. Tampan dan tinggi lampai. Hidungnya mancung dan wajahnya mirip lelaki Cina.’ Hatinya mulai bercambah riang sebaik sahaja menatap potret Azizul Azrai. ALLAH itu Maha Kaya! Dimintanya yang serba kekurangan, dihantarNYA pula yang sempurna. Hatinya kian hidup laju, segar dan tumbuh sebuah keyakinan. Dia perlu memperkukuhkan lagi perkenalan itu. Biar harapan itu tidak musnah di tengah jalan.
          “Masdiana, buka pintu ni! Biarkan anak di bawah?” suara lantang Mustapa mengejutkan Masdiana. Dia cepat-cepat menyembunyikan surat itu di bawah tilam Amyra.
          “Saya datang ni!”
          “Kenapa biarkan Amyra di bawah?”
          “Dia dah bagitau saya.”
          “Sudah! Amyra, masuk! Pergi mandi. Petang-petang begini, biar anak bermain kotor.”
          Masdiana mencebik, ketika menuju ke dapur.
          ‘Eleh, macamlah dia tu pembersih sangat. Katalah takut rahsianya pecah. Suka mengurung anak tu di dalam rumah. Biar orang tak dapat kesan masalah besar dia tu.’ kata hati Masdiana. Itu saja yang dia dapat menegah. Memberontak di dalam hatinya sendiri. Sehingga badannya kurus kering menanggung seksa dan memakan hati. Beban berat yang digalasnya seorang diri itu, bagaikan dirantai dan dikunci.

 ~Bersambung....
Mari kita sambung lagi bab seterusnya...
2
DAH puas Mus cari kerja di sekitar Kuala Dungun tapi tak dapat.” Mustapa bersuara kecewa pada malam itu. 
          “Jangan putus asa, esok cari lagi di pasar tu. Tentu ada kedai yang nak pakai pekerja.” jawab Masdiana malas.
Mustapa bagaikan mahu menguji ilmu penunduknya itu, samada masih berkesan atau tidak ke atas diri Masdiana. Dia mahu menjadikan Masdiana sebagai pemuas nafsunya terus menerus. Dan dia mahu jadikan Masdiana sebagai hambanya, mencari wang dan dia boleh duduk bersenang lenang. Seperti yang dilakukannya sebelum itu, Masdiana telah ikut segala perintahnya.
Mustapa bimbang dan mulai syak bahawa Masdiana sudah mulai sedar. Namun bagaikan menarik rambut di dalam tepung, begitulah tidak tanduk Masdiana supaya Mustapa tidak perasan perubahannya itu. Kalau tidak, segala perancangannya gagal nanti. Sudah hampir tujuh tahun Masdiana menjadi hamba kepada Mustapa. Dia tidak sanggup lagi untuk menanggung derita zahir dan batin. Ujian yang Allah berikan kepadanya itu sangat besar! Namun dia tetap tabah dan bukan mengambil jalan yang singkat. Jalan yang tidak diredai ALLAH. 
“Sudah lama Mus tak kerja. Sebulan lebih Mus terlantar di hospital sebab kemalangan motosikal tu. Duduk di rumah pula sebulan lagi, sehingga sembuh. Mus kenalah bekerja. Sekarang bulan puasa. Kedai makan tempat saya bekerja tu tutup. Kita nak makan apa?” suara Masdiana mulai meninggi.
“Yalah, esok Mus pergi cari kerja lagi.” janji diucap Mustapa.
“Amyra, jom masuk tidur,” Masdiana mengajak anaknya tanpa menghiraukan perkataan Mustapa.
“Ibu, temankanlah Myra tidur…”
“Ya, ibu kan setiap malam temankan Myra tidur…” Masdiana berkata sambil menjeling kepada Mustapa. 
Mustapa diam. Dia menghidupkan api di hujung rokoknya. Putung rokok itu disedutnya dalam-dalam. Seketika kemudian, dihembusnya asap berkepul-kepul. Mustapa tidak pernah berfikir sesuatu yang membina untuk masa depan. Sekurang-kurangnya masa depan untuk Amyra. Fikirannya kosong. Dia selalu menyerahkan segala masalah untuk diselesaikan oleh Masdiana. Dia tidak pernah menyesal pada apa yang dilakukannya. Orang tidak beriman, selalu bersahabat dengan iblis!
“Masdiana, Amyra sudah tidur ke? Mari sini!” perintah Mustapa.
“Awak nak apa dengan saya?” jawab Masdiana tanpa berganjak dari bilik anaknya itu.
“Masdiana, awak kan tahu, sudah berapa lama kita tidak bersama?” 
“Awak jangan nak paksa saya lagi. Saya sudah kata pada awak, cukuplah jangan ikut saya lagi. Tapi awak nak ikut saya jugak, saya dah tak mahu hidup bergelumang dengan dosa ni,” air mata Masdiana mulai bergenang.
“Baru tahu dosa ya? Hei, nasib baik aku tak jual kau!”
“Apa bezanya kau jual aku ataupun tidak! Aku ni, masih ada perasaan tau? Kalau tak, aku dah tinggalkan kau kat hospital tu.”
Macam anjing tersepit! Hatinya menyumpah Mustapa.
“Cukuplah kau buat hidup aku sengsara, Mus. Aku suruh kau berterus terang dengan abang aku pasal kita, kau tak mahu.” Masdiana mula berani berkau aku dengan lelaki Jawa itu. Dia menapak ke ruang tamu berhadapan dengan Mustapa, supaya percakapan mereka tidak melantum terlalu tinggi. Bimbang didengari pula oleh jiran tetangga.
“Dia tu garang! Cakap dia pun Mus tak faham.”
“Cakaplah takut! Takut masuk penjara. Takut malu. Tapi dengan Allah, tak takut? Tak malu? Mas malu pada ALLAH, Mas takut balasanNYA!” air jernih yang tadinya berkolam di tubir matanya itu gagal untuk tidak mencurah menuruni pipi. Dia menahan tangis.
Dulu, Masdiana tidak pernah berkata begitu. Mustapa mulai gelabah. Dia sudah sedar, ilmu guna-gunanya itu sudah tidak berkesan lagi terhadap Masdiana. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang bakal terjadi. Namun dia tidak pasti apa yang Masdiana akan lakukan kepadanya. Di sini, Mustapa tidak berani berbuat apa-apa. Jika dia terus berkeras, tentu rahsianya akan pecah dan dia pasti akan masuk penjara. Di sini kampung Masdiana. Dia tidak berani.
“Kenapa? Awak hairan dengan sikap saya? Saya sedar sebab tapai yang saya peram dulu tu, masam macam cuka! Walaupun baunya wangi, seperti tersangat manis. Sejak tu, saya sedar awak telah guna-gunakan saya. Patutlah saya rasa pelik. Awak beria benar untuk menghalang saya dari membuat tapai pulut tu. Rupa-rupanya itu pantang larangnya? Saya sungguh hairan, kenapa saya ikut kemahuan awak selama ini, sedangkan saya tidak pernah cintakan awak pun.” sungguh berani Masdiana berkata begitu di hadapan Mustapa.
Mustapa sememangnya tahu, Masdiana tidak akan menyintainya jika tidak disihir. Ketika itu, dia sudahpun beristeri dan mempunyai dua orang anak. Sebab itu dia cuba memiliki Masdiana dengan cara halus. Dia sanggup meninggalkan anak dan isterinya yang sah demi mengikut nafsu serakahnya.
“Sanggup awak guna-gunakan saya, kemudian hidup bersama saya seperti suami isteri yang sah dengan menipu seluruh keluarga saya. Sekarang nasi sudah menjadi bubur. Awak berhutang dengan ceti haram, sehingga saya terpaksa lari ke sini. Tetapi awak masih nak ikut saya. Kenapa? Sepatutnya awak baliklah kepangkuan anak dan isteri awak tu. Tentu mereka boleh menerima awak. Tetapi awak masih bersama saya. Bertaubatlah, Mus.” Masdiana berkhutbah.
“Sekarang kau nak halau aku pulak?” tengking Mustapa.
“Kau sepatutnya tidak ikut aku lagi. Masa aku melarang kau supaya jangan ikut aku, apa kau buat? Kau campak beg baju aku ke tengah jalan. Masa tu, aku tak boleh berbuat apa-apa sebab kita di hadapan sekolah. Kau buat apa pun, tak pernah guna otak! Kalau aku terus berkasar dengan kau, tentu kita semua sudah lama mati disembelih hidup-hidup. Aku terpaksa terima kau atas keselamatan Amyra. Tuh, anak kita yang tidak berdosa tu!”
Mustapa bungkam. Dia menapak perlahan ke biliknya tanpa menoleh kepada Masdiana lagi. Masdiana tidak tahu apa yang sedang berada di dalam fikiran Mustapa. Biarkan! Yang penting Mustapa mahu berubah. Namun di dalam hatinya hanya ada sekelumit perasaan perikemanusiaan.
 Cinta? Tidak mungkin! Dari dulu dan sampai bila-bila pun. Hatinya tidak perlu berasa simpati atau untuk merelakannya buat kali ke dua. Dia sudah sedar dan insaf. Biarlah benih tanpa cinta itu dijaganya seperti nyawanya sendiri. Rasa kasih dan sayang tidak boleh ditukar ganti dengan wang sejuta.
“Ibu berjanji akan sempurnakan hidup Myra. Sabarlah sayang…” bisik Masdiana sambil mencium ubun-ubun anak kesayangannya itu. Air matanya mengalir panas di pipinya. Cepat-cepat disekanya supaya tidak menitis ke wajah anak gadisnya yang sedang lena di dalam pelukannya itu.
Masdiana membayangkan satu perjalanan hidup yang lebih teratur bersama Azizul. Dia tidak sabar lagi untuk mempercepatkan waktu itu. Matanya terkebil-kebil. Ditatapnya sekali lagi potret lelaki harapannya itu. Di dalam hatinya tidak lepas-lepas mengharap dan memohon doa. Akhirnya, Masdiana terlena juga berselimutkan air mata.

MAS, Mus dah dapat kerja di pasar. Kerja mesen kelapa. Jadilah pada tak ada kerja langsung,” beritahu Mustapa selepas makan malam, hari berikutnya.
          “Eloklah tu.” jawab Masdiana ringkas. Dia tidak ada masa untuk bersembang dengan Mustapa. Dia menyibukkan diri mengajar Amyra mengeja. Tetapi kelihatan Mustapa ingin berbicara dengannya. Masdiana berhenti mengajar Amyra membaca.
          “Amyra, pergi masuk bilik nak, ibu nak cakap dengan baba.” perintah Masdiana itu diakur Amyra. Tanpa berlengah, anak yang pintar itu kedegaran mengeja-ngeja sendiri di dalam biliknya. Sesekali dia mengintai di celah daun pintu. Di dahi anak kecil itu, kelihatan berkerut-kerut. Dia segera menutup pintu biliknya. Tidak selesa untuk mendengar perbualan ibu dan babanya yang agak keras dan mengecutkan perutnya.
          “Tiga minggu lagi Hari Raya Puasa. Tentu nak guna duit banyak.”
          “Nak pakai duit banyak buat apa? Awak bukan puasa pun. Amalan kita ni, ALLAH sudi terima ke? Tak payah berangan nak sambut hari raya pulak.”
          “Baju Amyra tu, nak kena beli jugak.”
          “Tak payah! Untuk sepasang bajunya tu, saya masih ada duit lagi dan masih mampu nak beli.”
          “Amboi… awak dah mula berani dengan saya?”
“Saya hanya takutkan ALLAH. Awak sepatutnya rasa kesal dan bersalah sebab Amyra tidak dapat ke sekolah seperti budak-budak lain. Tergamak awak tidak daftarkan kelahirannya. Sehinggakan dia tidak ada surat beranak. Bapa apa awak ni?”
Pang! Satu penampar hinggap di pipi Masdiana. Panas cuping telinga Masdiana. Perit terasa. Tangan kasar lelaki Jawa itu singgah dengan derasnya. Pertama kali tangannya naik ke muka Masdiana. Itu adalah satu petanda penamatnya semakin hampir. Masdiana tersenyum, sambil menggosok pipinya. Dia merenung Mustapa tajam.
“Maafkan Mus.”
“Tidak perlu minta maaf. Mintalah ampun kepada ALLAH.”
Masdiana terus meluru ke bilik anak kesayangannya lalu memeluk Amyra erat-erat.
“Kenapa ni ibu? Ibu janganlah nangis…”
“Tak ada apa-apa sayang! Ibu kena kuat. Ibu tak boleh nangis…” kata Masdiana terputus-putus.
“Kenapa ibu dengan baba selalu bergaduh? Myra takut…”
“Syyy… jangan takut sayang. Ibu kan ada. Ibu selalu temankan Myra. Ibu tidak akan berpisah dengan Myra, percayalah.” Masdiana menghadiahkan senyuman kepada anak tunggalnya itu. Pipinya kian merah menyala. Pedih sampai ke hujung jantungnya.
“Myra benci baba!”
“Sudah, sudah! Mari ibu tidurkan Myra.”
Masdiana memeluk Amyra erat-erat. Anak itu ketakutan lalu tertidur. Ada air yang menitis di hujung lurah mata kirinya. Anak sekecil itu juga turut berasa tempiasnya. Sejak diugut oleh ceti haram sewaktu mereka menyewa dan berniaga di Kulai Besar Johor, Amyra menjadi fobia. Ketika melarikan diri dengan menaiki bas henti-henti sehingga ke Dungun, Amyra menahan letih dan lapar. Kasihan Amyra. Anak yang tidak berdosa itu turut menanggung penderitaannya.
~Mari ikuti bab 3.
Terima kasih kepada pengunjung yang budiman.

3
BULAN OGOS 2005
MASDIANA dan Azizul Azrai berbalas warkah. Pada Hari Raya Idilfitri yang ke enam, Azizul Azrai berjanji untuk menemui Masdiana di Kuala Terengganu. Masdiana mengatur satu rancangan khas untuk menjayakan pertemuan pertamanya itu. Dia tidak sabar lagi untuk segera menamatkan episod  keji bersama Mustapa. Namun hari raya tanpa erti baginya itu harus dilaluinya terlebih dahulu beberapa hari lagi. Dia menahan perasaan itu dalam sabarnya dengan berendamkan air mata. Dia percaya, ALLAH Yang Maha Tahu itu, sudah merancang satu perjalanan hidup yang lebih baik buatnya. Sabarlah wahai hati!
          “Ibu masak apa hari ni?” tanya Amyra manja sambil menayangkan baju kurung berwarna merah muda.
          “Cantiknya anak ibu… awalnya sudah siap,” Masdiana mendakap dan mencium pipi Amyra berkali-kali dengan penuh perasaan kasih sayang dan hiba. Air matanya mengalir laju menuruni pipinya tanpa disuruh.
          “Tak bestlah, ibu nangis je. Hari raya pun ibu nak nangis jugak?” Amyra menarik muncung.
          “Bukan ibu sedih, sayang! Ibu gembira melihat anak ibu ni, cantik dan sihat hari ni,” Masdiana cepat-cepat menyeka air matanya sambil menghadiahkan senyuman.
          “Mari kita makan,” Masdiana menghidangkan laksam kegemaran Amyra.
          “Baba mana?”
          “Tidur.” jawab Amyra sepatah.
          Dia bukan tahu hari kebesaran! Kalau dia hormatkan agama tentu dia takut untuk melakukan perkara-perkara yang keji. Omel Masdiana di dalam hatinya. Selemah-lemah iman, hanya berjaya menegah kemungkaran dengan hatinya.
          “Biarkan, Myra makan dulu, lepas tu bolehlah pergi rumah Liyana.”
          Liayana, sepupu Amyra hanya berselang satu blok. Keluarga merekalah yang menyambut kedatangan Amyra bersama ibunya sewaktu mula-mula sampai ke Dungun. Dan dia juga yang bersusah payah membantu serta mencari rumah sewa itu. Mona, ibu Liayana itu juga tidak pernah mengetahui status Amyra.

ASSALAMUALIKUM… abang apa khabar? Beraya di mana?” Masdiana menghubungi Azizul melalui telefon awam di kawasan flat tempat tinggalnya. Telefon bimbitnya sudah dirampas ceti haram sewaktu mereka berada di Johor Bharu dahulu kerana Mustapa tidak ada wang untuk membayar hutang. Mujur Masdiana menyimpan sedikit wang. Dapat mereka meloloskan diri ke Dungun.
          “Walaikumussalam… abang sihat. Abang tak beraya di mana-mana pun. Tadi mak saudara abang bawakan ketupat dan rendang sikit. Mas sihat?” Suara Azizul Azrai kedengaran ceria di hujung talian.
          “Sihat… baiklah bang, Mas kena cepat ni, nak pergi rumah anak saudara.” Masdiana berdalih. Dia bimbang kalau-kalau dia diperhatikan Mustapa.
          “Baiklah, tapi Mas jangan lupa pulak janji kita?”
          “Mas ingat! Okey, bye…” Masdiana meletakkan ganggang telefon itu semerta. Wajahnya tidak dapat disorok rasa resah. Dia pura-pura bersahaja.
Hari raya itu berlalu dengan aman dan tenteram. Tanpa ada ombak yang bakal melanda rancangannya. Masdiana tidak berhenti berdoa dan berharap agar segalanya berjalan dengan lancar.
Malam itu, Masdiana memberanikan diri bersuara.
          “Mus, esok pagi Mas dengan Amyra nak pergi ke Kuala Terengganu. Nak bawa Amyra jalan-jalan. Esok hari jadi dia. Mas nak gembirakan hatinya.”
          Mustapa diam. Dia serba salah. Di wajahnya tampak ada riak tidak percayakan alasan Masdiana itu.
          “Kenapa tak bawa jalan-jalan di sekitar Dungun ni je? Apa, kat sini tak cukup barang untuk Myra pilih, kat Dungun ni tak ada kek hari jadi?”
          “Mus, sepatutnya, kemana pun Mas nak pergi tak perlu minta izin dari Mus pun. Mas nak hiburkan hati Myra, salah ke?” soalan Mustapa dijawabnya dengan soalan kembali.
          Mustapa terdiam. Dia terpaksa akur dengan pendirian Masdiana. Esoknya, seperti biasa dia pergi kerja seawal 6.00 pagi. Penjual santan kelapa, kalau boleh hari raya pertama pun kena berniaga. Permintaan tinggi terhadap santan kelapa, lebih-lebih lagi pada musim-musim perayaan.
          “Myra, bangun sayang! Nak pergi jumpa Pak cik Azizul tak?”
          “Ala, awalnya. Myra ngantuk…”
          “Myra, Kuala Terengganu tu jauh sayang… Myra nak ke, kalau baba Myra  tahu rancangan kita nak pergi jumpa Pak cik Azizul tu?”
          “Myra tak nak ibu bergaduh dan sedih lagi…”
          “Ha, dah tu? Cepat pergi mandi!”
          Usai bersiap, mereka berdua menuju ke stesen bas dan bersarapan. Sebentar kemudian, mereka terus menaiki bas dan bertolak ke Kuala Terengganu. Dalam hati Masdiana bergetar-getar debaran hebat yang tidak terkata. Perasaan cinta yang bermula di atas kertas itu sungguh bermakna. Semoga percintaan yang suci dan ikhlas, dapat memutuskan rantai dan mengheretnya keluar dari neraka itu. Dia memasang harapan yang tinggi menggunung.         
          “Ibu, itu macam pak cik!” Amyra menunding jari telunjuknya ke arah seorang lelaki yang tinggi lampai. Dia berdiri di stesen bas itu sambil sepasang matanya melilau-lilau.
          Mereka turun daripada bas itu dan berjalan menghampiri lelaki itu. Ternyata benar, itu Azizul Azrai. Dia sampai di Kuala Terengganu lebih awal kerana menaiki bas malam, dari Butterworth ke Kuala Terengganu. Kuat sungguh tumpuan mata Amyra dapat mengecamnya walaupun hanya melihat melalui sekeping gambar yang kecil.
          “Pak cik!” tegur Amyra.
          Azizul Azrai terkejut serta berpaling sambil tersenyum sebaik sahaja terpandang wajah Masdiana. Walaupun Masdiana tidak pernah menghantar potreknya buat tatapan Azizul. Namun Azizul dapat meneka dengan perasaannya.
          “Ini, Amyra? Masdiana?”
          “Ya, betul.” jawab Masdiana tersenyum simpul.
          “Jom, kita ke restoran makanan segera. Di tepi pantai tu.”
Di wajah Azizul terpancar keceriaan yang ketara. Begitu juga Masdiana dan Amyra. Tetapi Masdiana masih kekok.
          “Mari,” Azizul cuba untuk memimpin tangan Masdiana sewaktu menyeberangi jalan. Tetapi Masdiana mengalihnya cepat-cepat.
          Azizul menghormati pendirian Masdiana. Dia hanya berjalan beriringan. Dalam hati Masdiana berkata-kata, tentu Azizul menganggapnya seorang yang tahu menjaga maruah diri. Dia sendiri mahu termuntah apabila teringatkan dirinya yang bergelumang dalam kehidupan yang penuh kotor itu. Satu ketika dahulu, dia pernah menyimpan hasrat yang sungguh murni.  Kehormatan dirinya hanyalah untuk lelaki yang bergelar suami. Namun kewarasan fikirannya itu, telah diragut Mustapa mentah-mentah.
          “Mas, masuklah, sudah sampai ni,” Azizul membuka pintu Restoran Mc Donal itu sambil mempersilakannya masuk.
          “Oh, ya. Myra, mari sayang!” Masdiana memimpin tangan Amyra lalu menuju ke kerusi paling hujung.
          “Amyra nak makan apa?” tanya Azizul mesra.
          “Ikut pak ciklah.” Amyra tersengeh-sengeh.
          “Hari ini hari jadi Myra, jika ikut kalendar Islam. Dia dilahirkan pada hari raya ke 6.” balas Masdiana. Dia tersenyum sambil memeluk bahu Amyra.
          “Oh, selamat hari jadi Amyra… Semoga panjang umur dan murah rezeki.” ucap Azizul.
          “Terima kasih pak cik,” Amyra menghadiahkan senyuman kepada kedua mereka.
          “Tunggu pak cik pergi order makanan sekejap.” kata Azizul sambil beredar dari situ. Sesekali Azizul memandang kepada mereka berdua sewaktu beratur untuk memesan makanan di kaunter, sambil tersenyum-senyum. Bahagia sekali dengan pertemuan itu.
          “Ha, silakan Amyra, Masdiana. Ini sajalah yang dapat saya beli. Nanti tengahari kita makan nasi pula.”
          “Baiklah pak cik. Terima kasih.” Amyra segera menikmati hidangan itu.
          Mereka bertiga menjamah makanan itu tanpa sepatah kata. Masing-masing  hanya berkata-kata di dalam hati. Melayan perasaan dan anganan yang indah-indah belaka. Di anak mata mereka berdua terlukis perjalanan masa depan yang sama. Sedang terpahat satu persatu. Di wajah Masdiana dan Azizul itu, terpacul satu tarikan magnetik cinta yang mulai merapat. Di bibir mereka berdua sedang menguntum senyuman kebahagiaan. Dan Amyra sebagai pemerhati juga saksi pertemuan pertama mereka.
“Ibu, pak cik, Myra nak ke sana sekejap. Nak tengok laut.”
“Boleh, tapi jangan jauh-jauh. Bahaya!”
“Baik ibu. Myra nampak ibu ikut dinding cermin ni, jangan risau.” kata Amyra sambil berlari anak menuju ke tepi pantai. Di bawah pepohon rhu yang sederet.
Anak mata Azizul dan Masdiana bertembung seketika, setelah mengalihkan pandangan dari mengekori Amyra sebentar tadi. Masing-masing tersenyum. Hanya makna yang tersirat itu belum dapat diluahkan Masdiana. Dia tidak boleh mengatakannya.
Azizul dan Masdiana berhenti makan. Azizul memulakan bicaranya.
“Mas, biarlah abang bagitahu hal abang dulu.” Azizul membetulkan tempat duduknya. Masdiana tenang sambil mengangguk.
“Dulu, abang bekerja di Port Klang. Setelah ekonomi jatuh pada sekitar tahun 1990an, abang diberhentikan kerja. Abang cuba berniaga dalam pelbagai bidang dengan diberi modal oleh bekas isteri, tetapi abang tidak dapat untuk menjalankan perniagaan itu seorang diri. Sedangkan banyak lagi tanggungjawab lain seperti menjaga anak-anak, menghantar dan mengambil anak sekolah serta hantar mereka ke tusyen. Bekas isteri pada masa tu terpaksa bertugas di luar daerah. Jadi banyak akaun keluar masuk yang tidak dapat disemak dengan baik. Setiap kali bekas isteri pulang, dia marahkan abang sebab banyak duit yang short.” Azizul berhenti bercerita. Dia mengeluh, bagaikan mahu mengeluarkan batu besar yang tersekat di dalam dadanya ketika itu. Masdiana diam sambil berharap Azizul dapat menyambung lagi kisahnya itu.
“Akhirnya api keretakan berlaku, hari demi hari, bulan demi bulan. Satu hari, setelah abang diberitahu, dia mahu berkahwin dengan bekas kekasihnya. Abang terpaksa melepaskannya. Walaupun abang sangat sayangkan perkahwinan kami.” Azizul berhenti bercerita. Di hujung matanya ada air jernih yang tergenang. Tetapi dia pandai menyembunyikan kesedihannya. Azizul menelan liurnya. Dan air matanya itu pun turut sirna. Masdiana masih menyepi. Dia masih tekun dan ingin mendengarnya lagi.
“Abang berterima kasih kepada Mas sebab sudi menjadi teman abang. Kalau boleh biarlah untuk selama-lamanya.”
Masdiana tunduk apabila mendengar ucapan itu. Dia terkesima. Dalam hatinya terucap syukur.
“Kini, abang hanya membuat penghantaran surat. Teringin untuk berniaga kembali. Tetapi abang seperti tiada semangat. Bagaikan putus asa. Tiada sesiapa lagi di sisi abang sekarang.” kata Azizul sedih.
Masdiana masih membisu. Dia tunduk. Sesekali anak matanya mencuri keluar mencari Amyra. Dan berasa lega apabila melihat Amyra masih berada di situ. Di bawah pepohon rhu yang mengadap laut nan biru.
“Kisah Mas bagaimana pula? Boleh abang tahu?” pinta Azizul.
“Aa, rasanya masa tak begitu sesuai untuk Mas bercerita di sini. Nanti di lain kali. Bagi Mas sedikit masa.” Masdiana masih belum dapat untuk membuka peti rahsianya. Kuat tersimpan dan terpatri. Kukuh!
“Baiklah, tapi jangan lama-lama. Buat abang suspen.
“Insya-Allah. Takkan lama.”
“Kalau macamtu, kita pergi jalan-jalan dulu, lepas tu kita pergi solat zohor dan makan tengahari.” Azizul segera bangkit dan keluar seiringan.
“Myra, mari nak!”
“Baik ibu!” Amyra berlari mendapatkan ibunya. Dia memaut tangan ibunya dan menggenggamnya erat.

~Jangan lupa menunggu sambungannya...
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

4
 “CANTIK gambar ni. Gambar Myra dengan ibu pun cantik jugak.” Azizul berkata dengan senyuman yang penuh makna. Masdiana hanya membalas senyuman itu.
“Terima kasih, sebab Mas sudi bergambar dengan abang. Gambar ini adalah detik pertemuan kita yang pertama dan sungguh bererti dalam hidup abang. Kenangan kita berdua.” Azizul memegang erat gambar itu.
Senyuman yang terukir di setiap wajah mengandungi sebuah erti kebahagiaan yang akan digapai bersama.
“Abang, makan pun sudah. Jalan-jalan pun sudah. Hari pun sudah lewat petang, biarlah kami balik dulu. Bas ke Dungun dah nak bertolak tu…” kata Masdiana dengan perasaan berat hati.
“Baiklah, tapi kita pasti akan bertemu lagi.”
“Selamat jalan. Insya-Allah. Kita akan bertemu jika jodoh kita kuat.”
Masdiana memimpin tangan Amyra sambil menaiki tangga bas dengan membawa bersama sekeping hati yang sangat berharga. Dia sudah bertemu dan dia pasti akan menyayangi hati itu seperti hatinya sendiri. Azizul melambai-lambai ke arah Masdiana dan Amyra yang duduk di tepi mengadap pandangannya. Bas itu bertolak dan meluncur laju bersama deruman yang mendebarkan. Kian jauh…

MUSTAPA sedang berada di koridor. Menunggu kepulangan mereka berdua. Dia menyedut asap rokok dengan rakusnya. Bersama api amarah yang sedang terbakar!
          “Sekarang baru nak balik?” tengking Mustapa ketika mereka melaluinya.
          “Kalau kami tak balik pun, bukannya kami berdosa,” balas Masdiana, semakin berani.
          “Siapkan nasi, aku nak makan!” perintah Mustapa.
          “Mus jangan nak buat hidup Amyra seperti saya hidup dengan awak. Jangan heret dia sama di dalam neraka awak tu,”
          “Apa kena mengena saya mintak makan dengan hidup Amyra?”
“Itulah awak, tidak pernah tahu nak jaga hati orang lain. Terutama Amyra. Kalaupun kita ni banyak dosa, tapi Amyra yang bersih suci tu, jangan kita comotkan!”
“Apa yang awak merepek nih?”
“Jaga pertuturan awak dengan saya. Cuba menghormati saya kali ini, setelah lama saya tunduk dengan awak. Untuk Myra. Jangan sampai Myra tu takut untuk hidup dengan kita!”
Mustapa terpaksa mengalah. Benar atau tidak kata-kata Masdiana itu, dianggapnya sebagai benar. Dia mulai belajar. Belajar dari kesilapannya yang banyak itu.
Siap juga makanan untuk Mustapa.
“Huh, kamu berdua tu dah kenyang ke, tak nak makan?” soal Mustapa.
“Ya, kami dah kenyang dan kepenatan. Kami dah nak masuk tidur.” jawab Masdiana sambil berlalu ke bilik Amyra seperti selalu. Sejak mereka berpindah ke Dungun.
Hari berganti minggu, minggu berganti bulan. Mustapa dan Masdiana bekerja mengumpul wang untuk sesuap nasi serta membayar sewa rumah. Namun agenda yang telah dirancang Masdiana itu tidak pernah terpadam diingatan. Masdiana membeli sebuah telefon bimbit, untuk memudahkan perhubungannya dengan lelaki harapannya. Mustapa pun turut membelinya sebuah, untuk kemudahannya menjejaki Masdiana.
Malam itu seperti biasa, Masdiana bekerja di warung masakan panas setelah sebulan bercuti kerana berpuasa dan menyambut Hari Raya Idilfitri. Setelah hampir waktu pulang, Masdiana menghubungi Azizul. Rindu di hati mereka tidak dapat dibendung-bendung.
“Abang sihat? Mas ingat, pada Hari Raya Haji nanti Mas nak menyambutnya bersama abang di sana. Boleh ke?” Masdiana menyatakan hasratnya setelah memberi salam di hujung talian.
“Kecik tapak tangan, seluas lautan abang tadahkan! Datanglah, tapi kena bagitahu awal-awal tarikhnya, biar abang buat persediaan.”
“Lemaslah Mas nanti, terjatuh dalam lautan! Nanti Mas SMS abang. Baiklah bang, Mas dah nak kena balik sekarang. Boss dah tunggu kat dalam kereta.” Masdiana mematikan talian telefon bimbitnya.
“Amboi… tersenyum-senyum, cakap dengan buah hati ke?” usik Ayu, isteri majikannya.
“Tak adalah kak. Yang kat rumah tu, saya nak campak kat mana?” Masdiana cuba berselindung.
Sampai di rumah biasanya pukul 12.30 minit malam. Amyra selalu menunggu kepulangan ibunya. Apabila terdengar sahaja daun pintu terkuak, dia pasti meluru menyambutnya.
“Ibu, malam ni ibu bawa apa?”
“Ini ada tomyam. Myra lapar ke sayang?”
“Ya, Myra lapar.”
“Baba tak bagi Myra makan?”
“Myra makan nasi tengahari tadi je. Malam nasi dah habis.”
“Tak apalah sayang, mari kita makan.”
Amyra membututi ibunya ke dapur. Masdiana menemani anaknya makan, dengan perasaan yang sungguh sayu. Ada bapa yang hanya pandai membuat anak. Tetapi tidak bertanggungjawab dan melepas tangan. Hati Masdiana bergelojak. Dia tidak sabar lagi untuk membawa Amyra lari dari cengkaman Mustapa. Dari neraka ciptaan lelaki Jawa itu. Tunggulah harinya!
“Mus, Raya Haji ni, Mas nak pergi rumah Kak Pah awal sikit. Nak tolong dia buat tapai dan ketupat. Nak Sembahyang Raya dengan dia di sana. Kalau Mus takut nak ceritakan pasal kita pada abang Mas, baik Mus tak payah ikut. Tentu tokey kelapa tu marah kalau Mus cuti lebih awal kan?”
          “Habis tu, kau nak biarkan aku beraya sorang-sorang kat sini?”
          “Ai, kan anak-anak buah awak ramai. Semua sayangkan awak. Semua percayakan kelentong awak tu. Takkan mereka nak biarkan awak kebulur pada Hari Raya?”
          “Apa diaorang akan kata nanti?”
          “Mereka tidak tahu perkara yang sebenar, tentu mereka akan mengata. Mus tak payah risau. Kalau mereka mengata pun, mereka hanya memburuk-burukkan Mas. Tapi Mus tetap lelaki terbaik pada mereka, sebab Mus telah guna-gunakan mereka dengan ilmu hitam tu. Mus hanya fikir apa yang diorang akan kata? ALLAH akan balas perbuatan kita, Mus tak takut? Tak risau? Sudahlah Mus. Kalau selama ini Mus boleh berbohong dengan keluarga Mas, untuk kali ini tentu Mus lagi bijak untuk menutup malu kan?” Masdiana terus membasuh Mustapa.
          Mustapa terpaksa akur lagi untuk sekali ini. Perasaan percaya dan tidak di hati Mustapa bermain-main di fikirannya. Baru pertama kali dia menggunakan fikirannya itu. Namun sudah terlambat. Masdiana sudah bernekad untuk melarikan diri. Lari dari kehidupan yang tiada nokhtahnya itu.

HARI yang dijanjikan itu telah tiba. Sejak malam tadi lagi, Masdiana telah menyiapkan beberapa helai baju dan semua dokumennya termasuk dokumen kelahiran Amyra yang belum sempurna itu, ke dalam sebuah beg kecil. Biar Mustapa tidak perasan bahawa dia akan pergi jauh. Meninggalkannya buat selama-lamanya.
          “Myra, baba dah nak pergi kerja tu, salam dengan dia nak. Kita nak pergi rumah Cek Der kejap lagi ni.”
          Amyra mendengar arahan ibunya lalu menghampiri babanya.
          “Maafkan Myra, baba.” Amyra menghulurkan salamnya. Lalu disambut Mustapa dengan air mata yang tergenang. Dia memeluk Amyra sekali. Dalam hatinya seperti berkata-kata bahawa dia akan berpisah dengan anaknya itu. Namun dia tidak dapat untuk menekanya dengan tepat.
          “Maafkan saya jugak Mus. Duduklah elok-elok. Lama jugak saya pergi ni. Mintak tolonglah dengan Mona, kalau Mus perlu apa-apa.” Masih ada perikemanusiaan yang ditunjukkannya terhadap Mustapa.
          Mustapa diam, dia hanya melangkah keluar pintu dan menyarungkan seliparnya. Dia terus menapak dan menuruni anak tangga dengan longlai. Dia sudah mulai terasa bahawa dirinya sedang terhukum. Namun dia tidak berdaya untuk berpatah balik. Di dalam kepalanya berkecamuk seribu persoalan jikalau.
          Masdiana memerhatikan Mustapa yang sedang mengatur langkah sehingga jauh. Ayunan kakinya pun belum kuat gara-gara betisnya yang telah patah tertimpa motosikal di dalam perlanggarannya tiga bulan lalu. Namun Masdiana tidak boleh bersimpati lagi. Cukuplah apa yang telah dilakukannya terhadap Mustapa itu. Cukup baik dia telah bersabar sehingga Mustapa sembuh, biarpun perbuatannya itu tidak mulia di sisi ALLAH. Dia tiada pilihan lain kerana pada ketika itu dia benar-benar buntu. Ah, lupakan semuanya itu! Kalau dia terus bersimpati, sampai mati pun dia tidak dapat mengecapi kehidupan yang sempurna seperti orang lain.
          “Myra, mari sayang! Kita pergi mandi sekarang,” Masdiana mengajak Amyra sambil melipat selimut dan disusunnya bersama bantal di kepala katil di bilik Amyra.
          “Betul ke kita nak pergi beraya rumah Cek Der ni ibu?”
          “Tidak sayang, sebenarnya kita nak pergi ke rumah Pak cik Azizul di Butterworth.”
          “Jauh ke?”
“Jauh sayang, sebab tu kita kena mandi dan bersiap sekarang.”
“Baiklah ibu.”
Masdiana bukan mahu mengajar anaknya berbohong, tetapi kehidupan mereka sekarang ini pun di atas dasar pembohongan. Semoga kali ini adalah pembohongan yang terakhir. Tetapi pembohongan juga perlu ada untuk menutup keaiban atau untuk melepaskan diri daripada bahaya. Dia tiada pilihan untuk tidak berbohong.
~Bersambung lagi...



5
NOVEMBER 2005
ABANG, Mas dah naik bas dari Dungun menuju ke Kota Bharu sekarang.”
“Ya ka? Hati-hati. Nanti kalau dah sampai di Kota Bharu, jangan lupa telefon abang.”
“Baiklah bang.”
Masdiana dan Azizul mematikan talian telefon masing-masing. Di dalam hati mereka ada taman yang dipenuhi rama-rama yang berterbangan. Taman yang penuh bunga-bunga cinta dan rindu. Sedang Masdiana mengelamun di sepanjang jalan menuju ke Kota Bharu, Amyra pula lena di ribaannya.
Azizul ligat mengemas dan menyediakan keperluan untuk tetamu kehormatnya. Hatinya bernyanyi riang. Rumah pusaka yang hampir roboh itu akan menjadi saksi kepalang gembira hatinya ketika itu. Rumah itu bakal berseri kembali setelah dua tahun kesunyian.
Hari itu, Azizul mengambil cuti. Kerja-kerjanya ditugaskan kepada rakan baiknya. Dia tidak mahu tetamunya datang nanti tidak selesa. Maklumlah rumah pusaka itu sudah uzur benar dan tidak berkemas. Kotak dan barang-barang milik bekas isterinya masih banyak tersimpan di merata ceruk.
Rumput di sekeliling rumah dimesennya. Dapur disapu habuk dan disediakan makanan di dalam peti. Biliknya dikemas dan disapu bersih. Tingkat atas pula dibersihkan segala sawang di alang. Kerja-kerjanya itu untuk menghambat masa supaya tidak begitu letih menanti. Kerana sebuah penantian itu sangat menyeksakan jiwa.
Sesekali dipandangnya jarum jam yang tidak pernah berhenti berdetik itu. Ah, masih awal! Tentu masih belum sampai di Kota Bharu. Dia meneka-neka sendiri sambil tersenyum. Dia begitu ghairah sehingga terlupa untuk makan tengahari.
‘Ya, ALLAH! Zohor sudah banyak… Astaghfirullahal ‘Azdim…’ ucapnya. Dia menghidupkan injin motosikal lalu pergi ke warung untuk membeli nasi bungkus. Segera dia pulang untuk menunaikan solat zohor.
‘Abang, Mas baru saja sampai di Jerteh. Tiga jam lagi sampailah kami ke Kota Bharu. Tetapi tentu masih awal. Bas untuk ke Butterworth tentu lewat.’
Masdiana menghantar pesanan ringkas kepada Azizul.
‘Sabarlah, bawalah Amyra jalan-jalan di sekitar bandar. Jangan lupa beli tiket lebih awal, sebab bila musim perayaan macamni, tiket selalu habis cepat.’ Azizul membalasnya.
Sebaik sahaja habis dia berbalas pesanan ringkas itu, ada nada panggilan masuk.
“Mas ada di mana sekarang?” suara Mustapa di hujung talian menyoal.
“Di Jerteh. Tak perlu risaulah. Ini tempat saya.” jawab Masdiana. Dia terpaksa berbohong lagi. Masdiana segera mematikan talian itu. Dia tidak mahu dihubungi Mustapa lagi.
“Myra, tak nak turun ke? Nak beli makanan tak?”
“Tak naklah ibu, Myra ngantuklah.”
“Kalau macamtu, tidur je. Bila sampai di Kota Bharu kita makan dan jalan-jalan.”
Bas terus bergerak menuju ke Kota Bharu setelah menurunkan penumpang di Jerteh dan ada pula penumpang yang baru naik. Masdiana membetulkan kedudukannya. Lenguh disandar Amyra. Masdiana juga cuba melelapkan matanya. Sedar-sedar, mereka sudah sampai di Kota Bharu.
“Jom sayang, Kita turun!” Masdiana menggerakkan Amyra lalu memimpinnya turun.
“Mari kita ke surau. Basuh muka, ambil wuduk dan solat dulu. Biar segar sikit. Lepas makan, kita beli tiket. Kemudian kita jalan-jalan sampai masa kita bertolak.”
“Baiklah ibu.”
Usai makan Masdiana ke kaunter untuk membeli tiket.
“Mahu kemana cik?” tanya penjaga kaunter tiket itu.
“Ke Butterworth, dua.”
“Tiket untuk ke Butterworth dan ke Pulau Pinang dah habis,” jelas wanita penjaga kaunter itu.
Masdiana ternganga. Buntu. Dia juga bertanya di kaunter lain, pun jawapan yang serupa. Masdiana takut dan bimbang keselamatannya dan Amyra. Duit yang ada pun tidak begitu banyak untuk bermalam di hotel pada malam itu.
“Abang, semua tiket bas ke Butterworth dan Penang dah habis. Macamna ni?” Masdiana menelefon buah hatinya.
“Dengar cakap abang, Mas pergi tanya tiket untuk ke Sungai Petani, ada lagi ke tidak? Lepas tu, telefon abang semula. Tapi kenapa tadi abang cuba call tak dapat?”
“Baik bang, Mas pergi tanya sekarang. Oh, tadi tu Mas matikan telefon ni takut bateri habis, susah pulak nak hubungi abang.” semoga alasannya itu, tidak menimbulkan syak.  
Masdiana meluru ke kaunter tiket lalu bertanyakan tiket untuk ke Sungai Petani. Nasib baik masih ada satu kekosongan, tetapi terpaksa duduk di tempat duduk paling belakang.
“Encik, saya bawa anak umur lima tahun. Harap boleh tumpang sama,” Masdiana merayu penjual tiket itu.
“Tidak ada masalah puan.”
“Terima kasih banyak.”
“Sama-sama.”
Masdiana begitu senang hati. Dia membawa Amyra berjalan-jalan di sekitar Bandar Kota Bharu.
“Myra, jom kita naik beca!”
“Masa di Kuala Terengganu dulu tu, ibu tak mahu naik beca dengan pak cik,” kata Amyra sambil tersengeh.
“Ibu malu ke?” tanya Amyra lagi, mengusik perasaan ibunya.
“Pandainya Myra ni…” mereka berdua ketawa.
Mereka berdua makan angin dengan menaiki beca. Setelah penat, mereka berehat dan makan malam. Pukul 9.30 malam, bas mulai bertolak ke Sungai Petani. Kerana keletihan, mereka berdua tertidur di sepanjang lebuh raya. Lagipun suasana malam, tidak menarik untuk menyaksikan pemandangan pergunungan itu.
“Abang, Mas sudah sampai di Sungai Petani.” Masdiana menghubungi Azizul seawal lima pagi.
“Mas, ambil kereta sapu atau van sapu. Kemudian bagitahu alamat rumah abang. Kalau pemandu itu tidak tahu, bagi je telefon kepada pemandu tu, biar abang bercakap dengan dia. Hati-hati semoga selamat sampai.”
“Baiklah bang.”
Masdiana dan Amyra menaiki sebuah van yang mengangkut penumpang secara tidak sah. Akhirnya sampai juga mereka di rumah lelaki harapannya itu. Bayaran yang agak mahal di waktu pagi itu memang berbaloi. Sekurang-kurangnya Masdiana sudah lepas bebas. Jauh beribu batu daripada Mustapa.

MUSTAPA sudah mati akal. Beberapa kali dia menghubungi Masdiana namun setiap kali itu juga operator yang menjawabnya, ‘nombor yang anda dail, tidak dapat dihubungi.’
          Dia juga sudah menelefon rumah Kak Pah, kakak Masdiana itu. Namun jawapannya Masdiana belum sampai. Kak Pah, Mustapa dan seluruh keluarga menjadi bimbang dan risau.
          “Kita report polis saja!” cadang suami Mona.
“Jangan! Kita tengok esok macamna. Mungkin telefonnya kehabisan bateri atau dia singgah di rumah kawannya di mana-mana dulu.” tegah Mustapa. Dalam hal ini, dia benar-benar bimbang. Dia takut jikalau dia melapurkan hal ini kepada pihak polis, tentu dia akan disoal siasat. Dia tidak mahu masuk penjara!

MAS, Amyra, masuklah. Inilah gobok buruk abang.”
          “Bersyukurlah, ada juga tempat tinggal percuma.” balas Masdiana sambil tersenyum puas. Dia memerhati seni bina rumah tua itu. Cantik! Kerana masih awal pagi, belum begitu jelas keseluruhan bentuk dan keluasan rumah itu. Dia pasti akan menjelajah ke setiap ceruk rumah pusaka yang indah itu.
          “Hari ni, Mas berehatlah dulu, abang nak pergi kerja. Bersihkan diri Mas dan Amyra. Lepas sarapan, bolehlah tidur. Abang balik petang nanti, kalau nak masak, semua ada di dapur tu.” Azizul berpesan. Dia begitu ceria dan terasa seperti beristeri kembali. Gembiranya hanya ALLAH sahaja yang tahu. Begitulah perasaan Azizul pagi itu.
          Azizul menghidupkan injin motosikalnya lalu meluncur laju. Masdiana dan Amyra membuat rumah itu seperti rumah mereka sendiri. Hebatnya perancangan ALLAH. Dia perhatikan Azizul , adalah seorang yang sungguh teliti. Semua telah disediakannya, termasuk tuala, berus gigi dan segala kelengkapan yang diperlukan tetamu. Sehingga dia tidak kekok atau tercari-cari. Setelah sarapan, mereka pun tertidur sehingga ke tengahari.
          “Ibu, Myra laparlah.”
“Oh, ya. Nanti ibu masak.”
Masdiana pergi ke dapur. Ruang dapurnya yang besar dan teratur. Banyak barang-barang antik. Pinggan mangkuk berjenama luar negara tersusun rapi di dalam sebuah almari kaca yang besar. Terdapat set sudu dan garpu daripada tembaga. Masdiana terkesima dengan kekayaan dan kemewahan peninggalan datuk dan nenek Azizul. Tetapi kesemuanya ditinggalkan begitu sahaja tanpa diusik. Masdiana hairan. Kalau keluarganya sendiri, sebaik sahaja arwah ibu pergi menyahut panggilan Ilahi, semua harta benda habis direbut saudara. Rumah arwah pun berani diroboh abang kandungnya sendiri.
“Myra, mari makan nak! Ibu dah siap hidang ni,” Masdiana siap juga memasak ala kadarnya mengikut apa yang ada di dalam peti sejuk itu.
“Baik ibu.”
Amyra memakan nasi itu, dengan berselera sekali. Lapar dan kepenatan di sepenjang perjalanan yang jauh itu membangkitkan selera setelah bangun dari tidur.
“Pak cik tak balik lagi ke ibu?”
“Belum lagi, Myra. Nanti bolehlah kita melihat-lihat di dalam rumah ini. Cantik rumah ni kan Myra? Ibu suka dengan bentuk ukiran lama tu.”
“Rumah ni tak berhantu ke ibu?”
“Ish, jangan cakap camtu? Nanti kalau pak cik dengar tentu dia kecil hati.”
“Ya lah… ibu tak makan ke?”
“Ibu nak makanlah ni.” Masdiana menyenduk sedikit nasi ke pinggannya. Fikirannya yang masih berkecamuk itu memutuskan seleranya untuk makan. Digagahinya juga mengunyah dan menelan nasi itu. Dia tidak mahu perasaan hatinya nanti terserlah pula di wajahnya. Perasaan Amyra harus dijaga. Jangan sesekali keceriaan anaknya itu terusik.

Usai makan Masdiana naik ke tingkat atas. Jendela rumah kampung orang dulu-dulu itu dibukanya satu persatu. Banyak tingkapnya, rapat-rapat. Dari lantai sehingga melepasi kepala. Separas lutut, dibuat palang-palang penghadang daripada kayu. Langsir yang berwarna biru itu padan sekali dengan cat dinding juga berwarna biru. Ada satu tiang seri di tengah-tengah tingkat atas rumah itu. Orang dahulu kala, selalu membina satu tiang seri berbentuk bulat. Ada maksud yang tersirat disebalik pembinaan tiang seri tersebut. Hanya tuan rumah sahaja yang tahu.

~Jumpa lagi di bab yang ke 6.



6
KELIHATAN dari jauh motosikal yang ditunggang Azizul itu, kian merapat ke pintu pagar besi yang sudah berkarat itu. Dibukanya kunci pagar itu perlahan-lahan agar tidak tercedera atau tertusuk karat yang sudah menebal.
          Tangga batu di beranda yang hampir senget, yang mengadap jalan itu, ditumbuhi rumput dan diteduhi dengan rimbunan pokok bunga berdaun hijau. Pokok bunga itu sudah berusia berpuluh tahun. Kurus dan banyak daunnya yang kering. Rimbunan pepohon mangga di sekeliling rumah itu meredupkan lagi suasana sekitar. Dari jauh pemandangan rumah pusaka itu bagaikan gersang. Tidak berseri. Seram!
          Azizul disambut Amyra dan Masdiana di muka pintu tingkat bawah melalui pintu dapur. Hanya pintu itu sahaja laluan keluar masuk Azizul selama dia menumpang di rumah pusaka itu. Ruang tamu dan pintu di beranda luar tidak pernah dibukannya. Lantai-lantai papan di tingkat atas itu, banyak yang sudah tidak kukuh lagi kerana dimakan anai-anai.
          “Mas masak apa hari ni?”
          “Abang nak makan sekarang ke?” soalan Azizul itu dijawabnya dengan soalan kembali. Azizul tersenyum.
          “Abang nak mandi dulu, solat asar lepas tu baru boleh makan. Kalau Amyra lapar, bagilah dia makan dulu.”
          “Tadi, Myra dah makan banyaklah pak cik. Myra dah kenyang sangat.” Amyra mencelah. Azizul mengusap rambut Amyra dengan mesra. Hilang rasa rindunya terhadap anaknya sendiri.
Masdiana menghidangkan makanan, sementara Azizul membersihkan diri. Dia sudah lupa tentang Mustapa di Dungun itu. Dia tidak perlu lagi untuk memikirkan hal itu. Biarlah apapun yang bakal terjadi, dia tetap akan menyelesaikan masalahnya terlebih dahulu dengan lelaki harapannya.
“Ai, mengelamun nampak? Ingat kat buah hati ke?” Azizul cuba memancing.
“Apalah abang ni, terperanjat tau!”
Azizul tersenyum lagi. Bibir mereka tidak pernah gagal untuk tersenyum yang sehabis manis. Semuanya bagaikan indah belaka.
“Wah, kalah hidangan di restoran ni,” Azizul mula memuji.
“Mana ada, bang… lauk ni biasa-biasa saja.” Masdiana malu dipuji begitu. Dia malu-malu kucing.
“Memang lauk yang biasa tetapi, Mas macam tahu lauk kegemaran abang. Dah lama abang tak makan masak lemak cili padi ikan dengan belimbing buluh ni,” Azizul menimba kuah masak lemak cili padi itu sehingga banjir di dalam pinggan nasinya. Masdiana hanya memerhatikan sahaja.
“Mas jemputlah makan sama. Janganlah malu. Buat macam rumah sendiri.”
“Dari tadi kami pun dah buat macam rumah sendiri…” kata Masdiana sambil tersenyum lagi.
Senyum setaman itu bagaikan mahu menjemput rama-rama. Seandainya boleh, tentu mereka berdua mahu saja berlari berkejaran seperti sedang berada di tanah pergunungan yang dingin. Beraneka warna bunga-bungaan. Bernyanyi riang.
Tangan mereka menyuap nasi, sedang mata mereka bertemu dan hati mereka menerawang jauh. Bagaikan bertaut di dalam mimpi yang indah-indah.
“Mas!” panggilan dari bibir Azizul itu melenyapkan anganan Masdiana tiba-tiba.
“Er, ya. Ada apa bang?”
“Abang nampak Mas termenung jauh. Tak selesakah datang di rumah abang ni? Maklumlah rumah ini sudah teruk benar. Bersepah-sepah.” Azizul berkata sedikit kesal, kerana dia tidak mampu. Tidak mampu untuk membuatkan tetamu selesa dan gembira.
“Ti, tidak bang. Mas gembira datang bertemu abang di sini. Tenang…”
“Lepas magrib nanti, bolehlah Mas bercerita kisah Mas pula. Tak sabar abang nak tahu.”
“Insya-Allah…” tiba-tiba dada Masdiana dilanda gemuruh. Dapatkah dia meluahkan segala-galanya? Dia sendiri pun belum pasti. Alang-alang menyeluk pekasam. Dia akan teruskan juga niatnya itu sambil tidak putus-putus berdoa ke hadrat ILAHI semoga dipermudahkan olehNYA.

MAGRIB sudah berlalu pergi. Mereka bertiga, berkumpul di bilik Azizul di tingkat bawah. Bilik batu sekerat itu, lengkap dengan pelbagai kemudahan. Ada pendingin udara, televisen, kipas angin dan set katil. Ada juga sebidang permaidani dan sebidang tilam. Mungkin kesemuanya itu adalah tempat tidur Azizul bersama bekas isteri dan anaknya dahulu. Masdiana tidak perlu memikirkan hal itu terlalu mendalam. Tujuan dia ke situ adalah untuk mencari dahan untuk berpaut.
          “Mari kita minum dulu… abang dah siapkan teh ‘O’ panas dengan biskut Oreo. Kacang pun ada. Sambil kita menonton TV, boleh kita minum sambil mendengar cerita.” Azizul menjeling. Masdiana tunduk. Tidak berani untuknya bertentang mata. Debaran semakin berombak.
          “Eh, Mas. Minumlah… abang tak jampi serapah pun. Atau letak pil khayal. Janganlah takut.” lawak Azizul itu agak menakutkan Masdiana. Tetapi dia menahan perasaannya itu.
          “Mas sudah sampai di sini, bererti Mas kena hadapi segala kemungkinan.”
          “Wah, berani sungguh! Kalau begitu apa tunggu lagi? Minumlah. Tak apa, biar abang minum dulu.” Azizul meneguk teh ‘O’ panas itu sambil melepaskan bunyi tanda ada kepuasan selepas menghirupnya.
          “Lihat, abang tak pening pun?” Azizul berkata sambil tersengeh.
          “Nanti Mas minumlah… tengah nak ambil mood ni…”
          “Baiklah, abang tunggu. Berapa lama Mas nak ambik mood tu. Abang tak kesah, asalkan jangan sampai abang tertidur pulak,” Azizul berkata lagi sambil ketawa kecil.
Amyra ralit menonton televisen. Dia belum mengerti tujuan asal pertemuan ibunya dengan lelaki yang dipanggil pak cik itu. Yang dia tahu, pak cik itu seorang yang baik dan dia pun suka. Berlainan sekali dengan babanya yang bengis dan selalu membuat ibunya menangis sedih. Amyra pun senang apabila melihat ibunya gembira bersama pak ciknya.
“Abang, Mas tak tahu hendak mula dari mana dulu.” Masdiana memulakan bicaranya.
“Apa yang memaksa Mas untuk bertemu dengan abang? Untuk menceritakan masalah kan?” tanya Azizul.
“Kalau abang boleh bantu, abang akan cuba menolong sedaya mungkin. Mas ceritalah dulu, dari mana pun asalkan abang faham duduk perkara yang sebenarnya.” tambah Azizul lagi.
“Tetapi cerita Mas ini panjang. Tidak sampai maksudnya jika Mas bercerita sekerat-sekerat.”
“Baiklah, Mas boleh cerita sedari mula kehidupan Mas sehinggalah Mas datang menemui abang di sini. Abang akan menjadi seorang pendengar yang setia.”
“Tapi abang jangan tidur pulak?”
“Insya-Allah tidak. Kalau ceritanya tak sedap, memang mengantuk…” usik Azizul sambil ketawa kecil.
“Abang ni main-main pulak. Mana ada cerita hal masalah tu sedap. Tentu membosankan. Entah-entah abang tak suka dengar masalah orang lain.”
“Kalau abang tak suka nak dengar, buat apa abang beria-ria seperti ini? Siap dengan teh ‘O’ semua ni? Dah masuk dua cawan abang hirup. Mas belum minum pun lagi.”
“Ya, selepas Mas minum air ni, Mas cerita. Biar panas sikit badan ni.”
“Minumlah dulu, sambil susun cerita tu baik-baik. Menang dah tak sabar benar nak tahu kisah hidup Mas.”
Masdiana menghirup teh ‘O’ itu perlahan-lahan. Disuanya juga kepada Amyra, tetapi Amyra hanya menggeleng. Dia memang tidak suka minum teh. Tetapi biskut Oreo sudah hampir habis ditelannya.
“Pandai abang bancuh teh? Manis serata,” Masdiana memuji.
“Kalau Mas bancuh teh tak manis serata ke? Hebat! Esok Mas bancuhkan teh untuk abang, tentu sedap berlainan rasa dalam satu cawan.” kata Azizul sambil ketawa mengekek-ngekek. Sebaris giginya itu, ditayangkan kepada Masdiana. Manis juga apabila Azizul tersengeh begitu, walaupun giginya itu bukan yang asli lagi.
“Abang pakai gigi palsu?” soal Masdiana inginkan kepastian.
“Ya, beberapa tahun lepas, abang kemalangan motosikal. Abang terjatuh ke dalam parit. Empat gigi depan abang patah. Sebab tu, abang pakai gigi palsu ni. Kenapa Mas tanya?”
“Sebenarnya, dulu Mas pernah berkata, Mas tak mahu kahwin dengan orang yang pakai gigi palsu,” terang Masdiana sambil menutup mulutnya menahan perasaan gelihati.
“Oho, hina orang yang pakai gigi palsu ya? Yalah… gigi Mas memang cantik. Putih tersusun. Asli lagi, tentulah geli tengok gigi palsu ni.” Azizul bagaikan merajuk. Dia menarik muncung!
“Alahai, merajuk pulak. Myra, tengok pak cik ni merajuk dah. Tak tahu, siapa nak pujuk nih?”
“Biar Myra pujuk… ala, pak cik. Tak handsomelah merajuk,” pujukan Amyra itu mencuit hati Azizul.
“Myra, pak cik ni handsome  ke?” tanya Azizul sambil tersengeh-sengeh. Masdiana menutup mulutnya menahan gelak.
“Mestilah handsome! Kalau tak, Myra takkan sampai kemari…” Amyra menayangkan giginya yang putih bersih itu. Tersusun rapi. Cantik seperti gigi ibunya.
“Pandainya Myra…” kata Azizul sambil ketawa terbahak-bahak.
“Bang, kita solat Isyak dululah. Lepas tu, Mas cerita.”
“Apalah susah sangat nak cerita ni Mas? Okeylah, abang naik atas dulu. Kejap lagi abang turun.”
Mereka pun bersurai untuk menunaikan solat Isyak. Amyra masih tidak berganjak di hadapan televisen. Lepas satu siaran, ke satu siaran dia menontonnya tanpa bosan. Daripada duduk sehingga menyandar, kemudian kepalanya hinggap pula ke bantal. Letih perjalanan yang jauh itu belum habis lagi.
~Okey... jumpa lagi di bab 7. Selamat membaca...



7
MUSTAPA terkebil-kebil di atas katil. Bersilang lengan di atas dahi. Kesunyian dan kesepian yang mula dirasainya itu sungguh memeritkan tangkai hatinya. Tiada guna lagi dia menggunakan fikirannya untuk mengembalikan Masdiana dan Amyra semula. Sudah terlambat. Dia tidak dapat untuk melelapkan matanya. Bingung dan gusar. Dia mula memikirkan seandainya Masdiana terus meninggalkannya sendirian. Dia mati kutu. Mana pernah dia berfikir tentang masa depan. Tentang masalah dan jalan keluar. Hanya otak Masdiana yang selalu diperah, bagaikan santan kelapa. Dan otaknya tidak ubah seperti hampas kelapa yang layak diberi makan kepada binatang!
          Sebab itu Masdiana berjaya melepaskan diri. Kerana otaknya selalu ligat berputar. Mencari ruang dan peluang. Dan dia, hanya mengharap belas saudara Masdiana yang tidak ada kaitan darah dengannya. Tidak tahu malu!
Bolehkah dia bertahan kerana Masdiana tiada lagi bersamanya? Tentu dia takut jika ditanya dengan pelbagai soalan. Hatinya kecewa dan luluh gara-gara perbuatannya sendiri. Kesal sudah tidak berguna lagi.

DI BUTTERWORTH, Masdiana sedang menyusun bintang-bintang di langit harapan untuk dijadikan tangga buat menuju ke bulan idaman.
“Sudah bersediakah wahai Tuan Puteri? Hamba tersangat suka untuk mendengar al-kisah Tuan Puteri itu. Sudah tidak sabar lagi rasanya hati patik ini. Tersangatlah terujanya.” Azizul berlawak pula.
Azizul membetulkan kedudukannya sambil bersandar di tiang yang berada di tengah-tengah bilik tingkat bawah itu sambil tersengeh. Masdiana sedikit tersenyum mendengar kata-kata Azizul sebentar tadi, sambil membetulkan kedudukan kepala Amyra yang sudah terlentuk di atas pahanya. Dia membetulkan simpuh sambil mengusap rambut Amyra berkali-kali dengan perlahan.
Azizul memandang ke wajah Masdiana dengan sebaris kerutan yang diperjelaskan di dahinya. Tanda dia sudah tidak sabar lagi untuk mendengar masalah kehidupan Masdiana pula.
“Abang, Mas tak pernah menyalahkan takdir walaupun sejak Mas lahir ke dunia ini, Mas tak dapat apa yang sepatutnya Mas perolehi seperti kanak-kanak lain.” Masdiana mula bersuara setelah lama berdiam diri.
“Maksud Mas?” Terlukis garisan kedutan ingin tahu di dahi Azizul.
“Semua yang Mas alami itu menjadikan hati Mas ini setabah sungai yang mengalir. Seteguh teratai yang tumbuh di tasik. Walaupun akarnya jauh dan tetap berusaha menjejak ke dasarnya. Membuatkan teratai itu utuh mengembangkan daun dan bunga. Untuk tatapan orang lain.” Masdiana tunduk, sebaik sahaja menghabiskan ayat terakhir. Dia memandang Amyra dengan perasaan sayu.
Azizul cuba memahami mukadimah yang cuba diluahkan Masdiana. Dia mencari-cari sebuah makna yang terpancar di wajah wanita di hadapannya ketika itu. Namun tiada jawapan yang pasti. Masdiana mengalih pandangannya ke wajah Azizul.
“Mas tak dapat merasakan kasih sayang dan belai manja daripada adik beradik perempuan, kerana mereka sudah berumah tangga dan seorang kakak lagi sedang belajar menjahit. Mas diasuh oleh seorang gadis yang buta ke dua-dua belah matanya, dengan penuh kasih sayang. Pada masa itu Mas berumur tiga tahun. Arwah ayah dan Ibu pula berkebun sayur. Belum pun Mas mengenal erti keseronokan zaman kanak-kanak, seawal 10 tahun, arwah ayah pula dijemput Ilahi.” Masdiana bermonolog sendiri tentang masa kecilnya. Kedua matanya terpaku di permukaan siling bilik itu. Dia memejamkan matanya seketika, lalu menghembus nafasnya dalam-dalam. Dia tunduk semula memandang Amyra. Lalu membelai rambut anaknya itu.
Azizul mendengar kisah hidup Masdiana dengan tekun. Berbeza sekali dengan kehidupan di zaman kanak-kanaknya yang serba cukup. Keluarganya yang besar. Makanan yang mewah. Di bawah jagaan ibubapa serta datuk dan nenek. Bahagia dan bebas untuk melakukan apa saja. Hendak menonton wayang, hendak berbelanja atau hendak menonton televisen. Semuanya disediakan. Imbas kembali di zaman kanak-kanaknya terhenti apabila Masdiana menyambung kisahnya lagi.
“Mas ada seorang abang. Tetapi dia ‘anak mas’ dalam keluarga. Apa yang dia mahu, semuanya dituruti arwah ayah dan arwah ibu. Dia jadi besar kepala. Jarak usia kami berbeza tujuh tahun. Sewaktu Mas masih bersekolah menengah, dia sudah berumah tangga dan sudah tahu mengumpul harta. Begitu juga dengan kakak-kakak yang lain. Masing-masing menuntut bahagian tanah daripada arwah mak. Pada masa tu, Mas masih di bawah tanggungan penjaga, jadi nama di atas geran tanah adalah di atas nama mak. Tambahan pula, mak seorang yang buta huruf dan tidak tahu undang-undang jual beli hartanah. Akhirnya tanah yang ada bahagian Mas itu, turut dijualnya.”
Masdiana berhenti bercerita seketika. Dia menelan liur. Air jernih mulai mencuri keluar lalu bertakung di kelopak matanya. Dia menahannya dari meluncur ke pipinya. Dia menelan liur lagi. Kemudian dia menyambung semula ceritanya itu.
“Satu hari tu, Awang, satu-satunya anak lelaki mak, memaksa arwah mak membahagikan tanah kepadanya. Pada waktu tu, Mas tengah nak makan nasi tengahari. Baru  Mas nak suap, Awang dengan sekuat hatinya menyepak pinggan nasi Mas. Pinggan itu terpelanting terkena bendul dan serpihan kacanya terkena pada lutut Mas. Luka dan berdarah. Sampai sekarang, parutnya masih ada.” Masdiana memegang lutut kanannya dan pada wajahnya terbias luka yang pedih.
“Kenapa Awang tu marah sangat?” soal Azizul.
“Salah Mas jugak sebab Mas menjawab. Dia tu memang mudah naik angin dan panas baran. Mas kata, semua tanah arwah ayah dah habis dijual. Yang tinggal hanya tanah arwah mak. Mana boleh bagi-bagi camtu je, sebab arwah mak pada masa itu masih hidup.”
“Lepas tu, apa jadi?” Azizul semakin teruja untuk mengetahuinya lebih lanjut.
“Apa lagi, Awang terus berang dan kata Mas ni cikgu bodoh! Jari telunjuknya ditundingnya tepat ke mata Mas.” mata Masdiana membulat semasa menghabiskan ayat itu.
“Masa tu Mas dah mengajar ke?” tanya Azizul mahukan kepastian.
“Ya, Mas dapat jadi cikgu sandaran, tetapi Guru Besar kata boleh serap menjadi guru tetap lepas berkursus di Maktab Perguruan.” balas Masdiana dengan nada kecewa.
“Mas pergi kursus tu?” pantas Azizul menyoal lagi.
“Tak, Mas merajuk dan tak suka tinggal di rumah lagi. Mas dah lama tak tahan dengan perangai abang. Sejak kecil Mas selalu didera abang. Banyak parut di badan gara-gara perbuatan abang sendiri. Dia bencikan Mas sejak Mas masih bayi. Kata kakak, pernah Mas makan pasir. Kakak tersembam ke tanah kerana dipukul Awang dengan sebatang kayu yang besar. Sehingga pinggang kakak sakit berbulan-bulan. Salahnya hanya gula pasirnya pecah sewaktu kakak mematahkannya untuk dibahagikan sedikit kepada Mas. Masa tu Mas merengek mintak gula pasir tu di atas dukung kakak.” Masdiana memuncungkan bibirnya. Geram dengan sikap Awang.
“Teruknya perangai Awang tu,” berkerut dahi Azizul menahan marah dalam hatinya terhadap sikap seorang abang. Sedangkan dia juga seorang abang yang sulung. Tidak tergamak untuk melakukan perbuatan kejam seperti itu, terhadap adik-beradiknya sendiri.
“Banyak lagi perbuatan buruknya. Selepas dia berkahwin, ingatkan dia boleh berubah, tetapi makin teruk. Isterinya yang menjadi batu apinya. Dia juga tidak bertegur sapa dengan kakak-kakak Mas. Sampai berpuluh tahun. Malah sampai kakak yang sulung tu meninggal dunia. Dia kata kakak mampus. Dia pun pernah menampar pipi anak saudara Mas sampai bernanah telinga. Itu yang buat Mas tak tahan untuk tinggal di rumah mak. Sebab rumahnya sebelah rumah mak. Dia tidak pernah menanggung perbelanjaan sekolah Mas walaupun lima sen. Dia tidak pernah tandatangan buku pencapaian murid. Padahal dialah yang menjadi penjaga Mas setelah arwah ayah meninggal. Dia tidak bertanggungjawab langsung!” Wajah Masdiana sangat serius ketika bercerita tentang Awang.
“Mas terpaksa tanda tangan sendiri buku rekod sekolah tu, sebab serik apabila setiap kali Mas hulur kad tu kepada Awang, dia akan mencampakkannya ke lantai.” cerita Masdiana lagi. Sedih hatinya apabila mengenangkan sikap abangnya yang seorang itu. Ingatkan boleh menumpang kasih. Tetapi terpaksa pula ditanggungnya semua tekanan itu.
“Mas kata, tak suka duduk kat kampung, Mas pergi mana lepas tu?” tanya Azizul lagi. Dengan pertanyaan itu, dia akan mendapat jawapan dengan lebih cepat.
“Mas masuk IKM ambil jurusan Lukisan Rangkabina. Kononnya nak lawan Awang. Sebab masa tu Awang sudah menjadi kontraktor kelas ‘F’. Sebenarnya matlamat Mas ke IKM tu bukan nak belajar, tetapi nak lari dari rumah. Mas tidak dapat beri tumpuan masa minggu suai kenal. Mas rasa lebih tertekan ketika itu. Mas seperti sakit jiwa. Tak dapat mengawal rasa sedih kerana sikap abang yang tidak seperti abang kawan-kawan Mas yang lain. Semuanya menyayangi adik sendiri dan sanggup buat apa saja demi kejayaan adiknya. Awang tidak langsung pedulikan Mas. Sebab tu Mas benar-benar sedih. Emak juga tidak pernah marah pada abang atau menyebelahi Mas jika pergaduhan berlaku antara kami berdua.” cerita Masdiana itu agak laju sedikit. Nada suaranya tinggi rendah. Geram dan ingin mencabar abangnya, tetapi dia kalah apabila teringatkan kisah pedih.
“Mas gagal ke?” Azizul bertanya lagi. Dia semakin teruja.
“Tidak, masa mula-mula Mas masuk IKM tu, Mas dirawat di hospital kerana tekanan perasaan. Selepas tu, Mas dapat belajar dengan baik dan lulus. Walaupun tidak begitu cemerlang. Mas layak untuk masuk ke UITM tetapi Awang sekali lagi menegahnya dengan alasan tanah sudah habis dijual. Rupa-rupanya sewaktu Mas berada di IKM, dia berjaya memujuk mak dan dia telah dapat bahagiannya.” Masdiana bercerita dengan nada kecewa.
Masdiana mengubah posisi kedudukannya kerana sudah penat meriba Amyra. Tetapi dia suka berbuat begitu sambil membelai rambut Amyra. Sesekali air mata yang mengalir di pipinya itu disekanya dengan hujung selendang yang dipakainya. Azizul menghulurkan sekotak tisu ke hadapan Masdiana.
“Sebab tu lah, Mas terus ke Johor Bharu untuk mencari kerja di sana. Tetapi sekali lagi malang menimpa Mas kerana tidak ada jawatan kosong di bidang yang Mas ceburi. Pada masa tu ekonomi Malaysia jatuh teruk. Semua pembinaan dibekukan. Jadi, pekerja baru tidak diambil. Kalau ada pun hendaklah yang sudah mempunyai pengalaman bekerja.” Masdiana menyambung ceritanya lagi.
“Pastu, apa yang Mas buat? Saudara-mara Mas tak adakah di JB pada masa tu?” semakin ghairah Azizul bertanya dan ingin tahu.
“Mas hanya bekerja di kilang sebagai operator pengeluaran. Mas sendirian saja dan tak ada saudara mara. Hanya kawan sekolej sahaja pada masa tu. Itupun sewaktu Mas menumpang di rumahnya, keluarganya tidak suka. Akhirnya Mas tinggal di asrama pekerja. Nasib malang terus menerus menimpa. Tetapi pada masa tu, tidak ada apa yang Mas ingatkan hanyalah untuk menyara kehidupan. Masa tu bulan puasa. Gaji masih lambat, duit dalam tangan dah dekat nak habis. Lepas balik dari kilang, Mas bekerja pula di warung makan dengan gaji RM5.00 setiap malam. Balik pukul 5.30 pagi dengan baju yang basah kuyup. Kerana terpaksa membasuh periuk dan pinggan mangkuk. Tetapi Mas dapat belajar bagaimana hendak memasak pelbagai masakan gerai dan masakan panas serta membuat minuman panas dan sejuk. Balik ke asrama, tanpa rehat terus mandi dan tukar pakaian untuk bekerja di kilang pula.” cerita Masdiana lagi. Air matanya tidak meluncur lagi. Ketika itu, perasaannya dapat dikawal. Dia menelan liur dan malu untuk menatap wajah lelaki di hadapannya itu. Kerana Azizul tidak lepas-lepas memandangnya.

~Nak baca sambungannya lagi? Tunggu ya!
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
8
TIBA-TIBA  perasaan sayu di hati Masdiana berkunjung semula. Air jernih yang tidak henti-henti menakung di tubir mata Masdiana itu gagal untuk disekanya. Titisan jernih jatuh juga ke ribanya. Matanya mulai merah dan di keliling matanya kelihatan sembab, kesan tangisannya sejak tadi.
          “Menangislah Mas… luahkanlah segala-galanya. Biar tenang rasa di hati tu. Kalau kita simpan dan kumpul semuanya, akan bertambah derita dan sarat dengan kesedihan.” Azizul cuba menenangkan perasaan sedih Masdiana itu dengan kata-kata.
          “Belum habis di situ, beberapa hari selepas itu Mas pengsan di kilang. Manager kilang itu marah. Sebab telah melakukan kerja lain sehingga menjejaskan prestasi kerja di kilangnya. Bukan Mas sengaja nak bekerja di warung tu, tapi bila duit tinggal sikit, mana Mas tahan untuk berbuka dengan meneguk air paip dan bersahurkan maggi sepanjang bulan puasa? Nak dijadikan cerita, apabila balik ke bilik asrama, kawan sebilik pula menuduh Mas mencuri cincinnya. Dia tetap menuduh, walaupun Mas nafi sekeras-kerasnya. Betapa terhirisnya hati ini. Sedangkan Mas bekerja kuat untuk menyara kehidupan sendiri demi sesuap nasi di bulan puasa tu. Mas dituduh pula melakukan perkara yang tidak pernah terfikir untuk Mas lakukannya di sepanjang hidup ini.” Detik itu mengundang perasaan sedih di hati Masdiana.
Dahi Azizul berkerut-kerut. Dugaan yang Masdiana lalui seorang diri itu sungguh mencabar sekali. Dia berasa malu sendiri kerana dimanjakan keluarga sejak kecil.
“Mas memang suka lari dari masalah apabila Mas tak diberi peluang untuk membela diri. Akhirnya Mas setuju dengan cadangan seorang kawan supaya bekerja dengan emak angkatnya di warung makan di Taman Tun Aminah. Di hadapan stesen minyak Caltex. Mas dibenarkan untuk tinggal bersama majikan. Tidak lama Mas bekerja dengan mak angkat kawan, sebab anak perempuannya pula tak sukakan kehadiran Mas di rumah itu. Bila Mas fikir-fikirkan, diri ini seperti apa? Semua orang tak sukakan Mas dan semua pekerjaan tidak pernah bertahan lama dan berhasil. Pada masa tu, tak pula Mas terfikir untuk mencari kerja di dalam akhbar. Lagi pun pada masa tu, tidak ada banyak peluang pekerjaan.” tersekat-sekat cerita Masdiana itu. Ketika sedih, kerongkongnya menjadi sakit apabila menahan air mata yang sedang merembes keluar.
“Jadi Mas kerja apa selepas tu?” tanya Azizul lagi, untuk memudahkan jalan cerita.
“Mas memohon kerja sebagai pump attendant di stesen minyak di depan warung tersebut. Kebetulan ada kosong.” jawab Masdiana sambil membetulkan simpuhnya.
Masdiana berhenti bercerita sampai di situ. Dia menarik nafas panjang berkali-kali sambil menyeka air matanya yang mengalir kian deras ke pipinya.
Azizul sedang ralit mengunyah kacang sambil menghadamkan cerita kisah hidup seorang wanita tabah di hadapannya itu. Sesekali dia merenung ke wajah Amyra dan tertanya-tanya apakah kaitannya Amyra dengan kehidupan Masdiana. Dia merenung pula ke wajah Masdiana yang basah bersiramkan air mata tanpa henti sejak tadi. Sehinggakan penceritaan Masdiana menjadi tersekat-sekat, apabila sampai saat sedih dan menyentuh hatinya. Cerita itu ternyata mengundang sebak di dada Azizul, biarpun dia seorang lelaki.
“Jadi senanglah setelah Mas dapat kerja baru? Mas tinggal di mana pula lepas tu?” soalan Azizul itu tidak dapat dijawab oleh Masdiana. Dia cuba berkata-kata namun bibirnya bagaikan terkunci rapat. Bermula dari situlah kehidupannya menjadi lebih gelap. Hitam!
Masdiana menghembus nafas dan menariknya kembali. Ada sedu di hujung kerongkongnya. Berasa sakit menahan air mata agar tidak bercucuran keluar. Namun dia gagal untuk memujuk hatinya sendiri agar lebih tenang.
“Ada ujian yang lebih hebatkah? Sebab tu Mas tak dapat nak sambung?” tanya Azizul dengan wajah yang tidak tenang.
Masdiana mengangguk. Sedunya semakin berlagu. Dia mulai menangis teresak-esak. Air matanya bercucuran jatuh menimpa bahu Amyra. Lalu Amyra terjaga dari tidurnya.
“Kenapa ni ibu? Kenapa ibu menangis lagi?” Amyra menyoal ibunya dengan wajah yang gusar.
Masdiana cepat-cepat menahan esakan itu sambil menyeka air matanya entah yang keberapa kali. Walaupun masih mengalir deras.
“Ubahlah Myra ke atas tilam tu. Biar dia tidur dengan lena,” cadangan Azizul Azrai itu dipatuhi Masdiana.
“Sayang, tidur di sini nak,”
Amyra akur lalu mencari bantal. Dia yang tadinya mamai, terus terlena setelah diselimut oleh Masdiana.
“Kalau Mas tidak dapat menyambung cerita itu, biarlah. Tidurlah dulu. Esok boleh sambung semula. Abang tidak mahu mendesak Mas. Patutlah Mas kata di Kuala Terengganu dulu tu tidak sesuai untuk Mas meluahkan apa yang terbuku. Rupanya terlalu banyak perkara yang Mas tanggung. Baru abang faham sekarang.”
Setelah bertahan seketika, Masdiana mula bersuara, “biarlah. Biar Mas teruskan cerita ini sampai selesai malam ni jugak. Sebab Mas tidak mahu mengganggu masa abang lama-lama.”
“Apa maksud Mas berkata begitu?” pantas Azizul bertanya.
“Mas tidak mahu nanti menyusahkan abang. Jikalau abang sudah tahu keseluruhan kisah hidup Mas ini, seandainya abang tidak sanggup atau tidak mampu untuk menolong Mas. Mas boleh pergi dari sini secepat mungkin.”
“Mas takut abang ini orang yang salah untuk Mas mencurahkan perasaan?” tanya Azizul dengan nada kecewa.
“Ya. Mas tak boleh untuk memaksa siapa-siapa pun supaya sukakan Mas. Jika kisah hidup yang lepas pun, tidak ada siapa yang sukakan Mas. Walaupun orang yang paling dekat dengan Mas. Inikan pula abang, yang tiada kena mengena dalam kehidupan Mas. Tak salah jika abang tidak menolong Mas. Abang tidak rugi apa-apa pun,” kata-kata Masdiana itu bagaikan menghiris tangkai hati lelaki di hadapannya itu.
“Tapi kenapa pula, Mas sanggup datang bertemu dengan abang? Kalau tidak mengharap?” tanya Azizul lagi, seperti ada perasaan terluka.
“Mas datang ke sini di atas dua sebab utama.” Jawab Masdiana ringkas. Dia memandang tepat ke wajah lelaki harapannya itu. Dibiarkannya sahaja air jernih meniti pipinya perlahan.
“Apa sebabnya?” Azizul semakin ingin tahu. Banyak rahsia yang terkandung di dalam diri Masdiana. Azizul ingin mengoreknya sampai dalam. Biar puas hatinya.
“Abang kena tahu keseluruhan cerita, barulah abang dapat jawapan itu,” Masdiana bagaikan mengelak untuk berterus terang.
“Kalau begitu, teruskan. Abang pun tak sabar nak tahu kisah Mas selanjutnya.” Azizul mula berlembut kembali. Sambil bersila, dia mengambil bantal kecil, lalu dikepitnya dengan kedua siku di ribanya.
Bagi Mas beberapa minit. Biar Mas betul-betul kuat untuk bercerita lagi.” Masdiana menghela nafas. Matanya berkedip laju. Bagaikan mahu menyekat air matanya supaya tidak berjaya jatuh ke pipinya.
“Baiklah. Tunggu, abang bancuhkan kopi panas. Biar mata, lebih segar.”
Azizul ke dapur untuk menjerang air. Masdiana mengambil kesempatan itu untuk terus berdoa kepada ALLAH, mudah-mudahan dia dapat meluahkan segala rahsianya kepada orang yang tepat. Dia cuba bertenang sambil menatap wajah Amyra. Dia merenung wajah jernih anaknya itu, tanpa cacat cela. Manis sekali. Sungguh indah hadiah dari syurga buatnya. Dia mengucup ubun-ubun Amyra lembut untuk beberapa minit. Diusapnya rambut Amyra yang halus dan lembut itu. Keperangan dan sedikit ikal. Warna kulit Amyra yang kuning langsat itu menyerlahkan lagi benih lelaki Jawa itu. Namun kacukan Melayu Jawa itu menjadikan wajah Amyra manis dan ayu. Tentu dia sangat anggun apabila dewasa nanti. Tentu menjadi rebutan ramai jejaka. Masdiana berangan tentang masa depan anaknya itu.
“Ini dia, kopi kaw cap Hang Tuah! Kopi yang tersohor di Utara ni…” Azizul membawa seteko kopi panas sambil memuji kesedapan dan keharuman kopi tersebut. Dia menuangkan kopi itu secawan untuk Masdiana.
“Minumlah dulu. Lepas tu boleh sambung lagi.” Kata Azizul sambil tersengeh. Walaupun dia berasa kasihan apabila melihat keadaan masdiana ketika itu. Dengan kedua mata yang merah dan bengkak. Namun dia tidak boleh menyentuh wanita itu. Dia wajib menjaga batasan.
Masdiana dan Azizul menghirup kopi panas itu perlahan-lahan. Beberapa kali. Kedengaran Amyra berdengkur kepenatan. Azizul memandang Masdiana dengan tanda tanya yang belum terjawab.
Masdiana cuba untuk bercerita lagi tetapi dia teringatkan Mustapa. Mustapa yang telah merosakkan kehidupannya dan Amyra. Lelaki Jawa, yang hanya ikut telunjuk nafsu syaitan itu, tidak bertanggungjawab di atas apa yang dilakukannya. Dia bagaikan telah merosakkan nama keturunan orang-orang Jawa yang sangat tersohor lagi digeruni. Orang-orang Jawa adalah keturunan yang sangat kuat berpegang kepada adat dan agama. Tetapi lain pula dengan sikap dan perangai Mustapa. Jika keluarganya tahu, tentu Mustapa akan dihukum.
Madiana sungguh kecewa. Kecewa dengan kehidupannya sendiri. Dia bukan seorang yang bijak untuk menangani setiap ujian. Dia sering lari dan lari dari setiap masalah yang datang. Semakin dia melarikan diri, semakin banyak dugaan yang ditempuhinya.

Dia tidak pasti berapa kali lagi dia harus melarikan diri. Lari dari kongkongan Mustapa adalah pelarian yang benar-benar berjaya baginya. Dan dia tidak boleh membuat kesilapan lagi selepas ini. Tetapi dia hanya manusia biasa. Wanita yang lemah. Di hadapannya, ada dua kemungkinan yang besar. Mungkin dia terpaksa lari lagi dari situ atau dia diterima oleh lelaki di hadapannya itu. Semuanya dengan perancangan Yang Maha Hebat. Dia hanya mampu berdoa dan berserah.

~Sila tunggu bab 9 pula ya? Esok jangan lupa jengok lagi! Muahz!! 



9
“ABANG adalah orang pertama yang akan mendengar kisah sebenar kehidupan Mas. Lebih tujuh tahun Mas menyimpan rahsia ini. Tak ada sesiapa pun yang tahu termasuk keluarga Mas sendiri.” Masdiana memulakan bicaranya setelah sepuluh minit membisu.
“Luahkanlah Mas. Jangan berahsia lagi, nanti Mas sakit kerananya. Tentu berat masalah yang sedang Mas tanggung kan?” Azizul mendorong.
“Ya bang, kalau kisah-kisah biasa seperti yang Mas ceritakan sebentar tadi tu, taklah terasa sangat. Bila-bila pun boleh buang dan datang semula walaupun kita lari. Tetapi kita kena ingat, sebab kisah-kisah biasa itulah yang menjadi puncanya.” Masdiana cuba berkias.
“Cuba Mas terangkan. Abang kurang faham.” Kelihatan kerutan halus di dahi lelaki harapan Masdiana itu.
“Tanggungjawab penjaga yang tidak peduli orang di bawah jagaannya. Anggap remeh dan tidak penting. Akhirnya yang tidak berdosa terkorban. Mas tak dapat nak maafkan abang Mas.” Masdiana merenung ke dalam anak mata Azizul. Di raup wajah Masdiana tergambar perasaan marahnya yang sungguh.
“Kerana diakah, semuanya ini berlaku?” Azizul kurang mengerti.
“Ya, kerana dialah! Dia yang tak jalankan tanggungjawabnya. Kalau dia seorang abang yang baik, tentu Mas tak jadi begini. Merempat ke sana ke mari.” Wajah Masdiana berkerut. Bertambah teruk lagi kerana bengkak di keliling matanya itu, belum surut.
“Sabarlah, semua orang ada ujiannya masing-masing. ALLAH tak uji jika ujianNYA itu tak dapat ditangani hambanya yang beriman.” Azizul memberi ceramah pendek.
“Itu betul bang, tapi sejak Mas keluar rumah, tak ada saudara mara pun yang bertanya kemana Mas pergi. Sakitkah? Hidup ataupun mati.” Hatinya tersentuh. Mulalah air matanya mahu meluncur keluar lagi tanpa dipaksa. Namun ditahannya. Dia mengambil sehelai tisu lagi. Ditekapnya ke hidung dan menyapu cecair yang keluar sedikit.
“Apa yang benar-benar buat Mas sedih sepanjang hidup Mas? Adakah sebab Mas sudah janda? Bagaimana Mas boleh bercerai?”  soalan yang ditanya Azizul tanya itu seperti menumbuk hati Masdiana. Dia bertambah pilu.
“Kalaulah Mas ini seorang janda… tak perlulah Mas bersusah payah datang ke mari,” jawapan yang terbit dari kedua bibir Masdiana itu memeranjatkan Azizul.
“Eh, abang tak boleh bersama isteri orang begini? Astaghfirullah! Nanti akan menimbulkan fitnah, Mas!” Azizul bergerak menjarak ke tepi dinding. Dia menghenyakkan punggungnya lalu telapak tangannya menampar dahinya sendiri.
Masdiana tunduk dan esakan kecil mula kedengaran. Dia mengambil tisu sehelai lagi. Malah berhelai-helai. Hendak disekanya rembesan air jernih itu, namun tidak mahu juga berhenti. Lalu dia menutup mukanya dan menyembamkannya ke bantal di tepi Amyra. Sayu benar hatinya ketika itu. Bagai dihiris-hiris. Seketika kemudian, dia mengangkat kepalanya.
Air mata Masdiana merembes keluar lagi setitis demi setitis. Dipandangnya wajah Azizul yang sedikit cemas ketika itu. Kemudian dia segera mengambil sehelai tisu  lagi dari kotaknya. Lalu dihembusnya cecair yang juga turut keluar dari rongga hidungnya. Dia menyapu air matanya itu dan cuba bertenang semula. Dia menarik nafas dan menghembusnya sekali lagi.
Fikiran Azizul sudah tidak keruan. Bala apa yang bakal diterimanya jikalau Masdiana adalah isteri orang. Dia resah sambil membetulkan kedudukannya. Gelisah.
“Abang, Mas belum pernah bernikah,” Masdiana tidak dapat menghabiskan ayatnya. Air mata yang disapunya tadi meluncur kian laju. Bagaikan meminta simpati daripada insan yang berada di hadapannya ketika itu. Masdiana tunduk menahan esakan.
Azizul memandang Amyra dengan seribu tanda tanya.
“Habis tu, Myra ni anak siapa?” Azizul inginkan kepastian.
          “Biar Mas ceritakan dari mula. Selepas Mas dapat kerja di Caltex tu, Mas menyewa satu rumah dengan kawan-kawan yang lain. Di belakang Caltex tersebut. Sebulan bekerja, Mas dapati gaji dipotong kerana duit berkurang dari sepatutnya. Mungkin masa tu, Mas belum berpengalaman memegang duit atau berurusan dengan wang.” cerita Masdiana dengan nada yang lemah dan tersekat-sekat dihambat sedu.
          Azizul masih membisu dan tidak sabar untuk mengetahui siapa Amyra yang sebenarnya. Mengapa pula Masdiana datang menemuinya jika dia bukan seorang janda? Soalan itu terus berlegar di mindanya. Namum dia terus bersabar untuk mengetahui cerita selanjutnya. Dia ingin mencari jawapan  dua sebab utama mengapa Masdiana sanggup datang menemuinya.
          “Pada Mas masa tu, tak pernah terlintas pun untuk mencari lelaki atau kekasih. Tujuan utama adalah untuk terus menyambung kehidupan. Sendirian. Ada juga jejaka yang bermotosikal mengorat Mas dengan membawa makanan, mengajak keluar makan, namun Mas tak terpikat dengan mereka. Macam ada satu kuasa lain yang menyekat Mas dari berkawan dengan lelaki.” Masdiana cuba bercerita dengan lebih lancar.
          Azizul mengambil beberapa biji kacang. Dikunyahnya kacang itu dan masih tekun ingin mendengar kisah itu selanjutnya.
          “Tetapi yang Mas ingat, sejak Mas selalu short duit setiap kali Mas habis kerja dan nak tukar shif, supervisor dan Mustapa sering nampak bercakap-cakap.”Masdiana menyambung ceritanya lagi. Sekali lagi dia membetulkan simpuh. Selindangnya juga dirapikan supaya anak rambut tidak kelihatan.
          “Mustapa tu siapa pulak?” pintas Azizul.
          “Mustapa tu, ambil sub mencuci kereta di Caltex tu. Dia selalu lepak-lepak kat pump ketika Mas bekerja sambil menghisap rokok dan menghembusnya ke muka Mas. Mas jadi tak kesah pada masa tu. Mas tak tahu sebenarnya Mustapa telah guna-gunakan Mas dengan ilmu penunduk. Dia telah meniupnya dengan asap rokok tu. Sehinggakan Mas jadi suka dan sayang kepadanya. Sedangkan dia sudah berumur. Sudah ada isteri dan dua orang anak.” Masdiana memandang lantai. Dia malu untuk menghabiskan ceritanya. Namun, dipaksanya juga untuk menceritakan hal yang sebenarnya kepada Azizul. Supaya rahsianya itu tidak membelenggu kehidupannya lagi.
          “Habis tu apa jadi?” Azizul semakin teruja ingin tahu. Dia berhenti mengunyah kacang, lalu menghirup kopi yang hampir sejuk. Kedua matanya mencuri pandang ke wajah Masdiana yang murung.
          “Mula-mula dia menunjukkan kebaikannya. Dia selalu top up wang yang short. Kemudian dia bagi pula duit lain untuk bayar rumah sewa. Katanya suruh Mas guna, sebab dia tahu Mas tak cukup duit sehingga hujung bulan seterusnya. Mas sangka dia jujur, sebab dia dah tua. Mas anggap dia sebagai abang angkat sendiri.” Matanya berkedip laju, untuk mengekang air panas yang mahu tumpah ke birai mata. Dia ditekan perasaan rendah diri dan berasa begitu kotor.
          “Ha, lama-lama terangkat!” Azizul mencelah sambil tersenyum.
          “Tak lama, beberapa hari je, Mas sudah terjerat dengan perancangannya. Mas diajak bersiar-siar…”
          Masdiana tidak dapat meneruskan lagi ceritanya itu. Dadanya bagaikan ditikam besi yang menyala. Dia tidak berani untuk mendongak. Dia menarik nafas panjang dan menghembusnya deras. Dia malu untuk menatap wajah Azizul. Sehelai tisu ditekapnya ke muka dengan kedua telapak tangannya. Dia kemudiannya, menarik dan menghela nafasnya lagi. Payah benar untuknya meneruskan cerita itu. Dia mendongak pula ke siling untuk menghilangkan lenguh dan perasaan yang sedih itu. Dia tunduk kembali. Tidak ada satu ayat pun yang keluar dari bibirnya buat seketika.
          “Mas, teruskanlah. Tak perlu berahsia lagi. Kalau Mas tak sanggup untuk berterus terang, abang tak tahu macamna nak tolong Mas.” Azizul terus memujuk supaya Masdiana tidak menyimpan lagi rahsia hidupnya itu.
          Masdiana mengangkat mukanya perlahan-lahan sambil mencuri pandang  ke wajah Azizul. Lelaki yang mempunyai wajah setenang tasik. Pegun berada di hadapannya itu. Lelaki harapannya. Dia akur untuk terus bercerita lagi. Membuka pekung di dadanya. Biarpun terlalu payah untuk diluahkan. Sesekali dia menarik sehelai demi sehelai tisu dari kotaknya. Banyak sudah tisu yang digunanya. Tong sampah kecil hampir penuh dengan gumpalan tisu yang telah lencun. Namun penceritaannya masih tergantung. Sebak dalam dadanya semakin menekan dan memerah air matanya. Dia cuba sedaya upaya untuk menciptakan satu ayat lagi. Perkataan itu, akan menyebabkan maruahnya menjunam ke dasar kumbahan.
          “Mas dirogol Mustapa,” kata-kata Masdiana tersekat di situ. Kelihatan Azizul sedikit ternganga.
“Tapi Mas bagaikan menyerah kepadanya. Sejak itu, setiap kali dia mengajak, Mas tidak berdaya untuk menolaknya. Mas tahu itu salah, tetapi Mas seperti ditarik!” Masdiana tunduk sebaik sahaja menyudahkan ayat itu. Sungguh memalukan! Semakin banyak tisu ditariknya. Semakin berjuraian pula air matanya  meluncur ke pipi kian laju. Bertahun rahsia yang beku itu tiba-tiba menjadi cair, bagaikan sungai yang dilanda banjir. Bagaikan sebuah empangan yang sarat dengan takungan. Melimpah dan menghanyutkan segalanya…
          Azizul hanya berdiam diri. Dia tidak mahu mengganggu penceritaan dan emosi Masdiana ketika itu. Wajahnya diraup dengan kedua tapak tangannya. Dia mendengar sambil memaksa fikirannya mencari jalan penyelesaian. Bagaikan ada awan mendung yang telah menyelubungi wajah Azizul ketika itu. Berat ujian yang Masdiana tanggung itu. Kini perasaan itu, telah mula berpindah kepadanya. Dia beristighfar.
          “Mas sendiri berasa hairan sebab, Mas tidak pernah menyintai Mustapa. Alih-alih Mas sudah serahkan segalanya kepada lelaki Jawa itu!” Masdiana berhenti beberapa saat, sambil menatap wajah Azizul yang semakin serius.
          “Sejak itu tanggungjawab Mustapa kepada isteri dan anaknya terabai. Isterinya datang merisik. Sahlah suaminya itu telah berlaku curang kepadanya. Dia berjaya membawa Mustapa pulang. Sedangkan Mas seperti tidak ada perasaan apa-apa pun. Seperti orang bingung,” mulut Masdiana sedikit terbuka menunjukkan kebenaran kata-katanya itu.
          Masdiana meneruskan lagi ceritanya.
          “Mustapa dikatakan sudah dibawa berubat oleh isterinya dengan keluarga mereka. Kononnya Mas telah memberi makan barang kotor kepada Mustapa. Pelik!” wajah Masdiana semakin serius dan marah. Dia marah benar kepada tuduhan isteri Mustapa itu.
          “Yang hairannya, pada masa tu, Mas belum sedar apa-apa. Tidak pernah ada pengalaman tentang ilmu-ilmu hitam macam tu. Pada malam tu, isteri Mustapa datang dan bawa Mas pergi berubat untuk membuang segala benda yang selama ini kononnya telah merosakkan suaminya. Mas sungguh sedih pada masa tu, sebab niat Mas datang ke situ, semata-mata untuk bekerja dan mencari sedikit duit untuk menyambung kehidupan, tetapi dituduh macam-macam.  Masa tu, Mas masih muda, baru habis sekolah. Manalah Mas tahu pasal ilmu-ilmu hitam segala? Hanya ALLAH saja yang tahu, perasaan Mas ketika itu. Tapi Mas tak boleh menolak ajakan mereka. Bagaikan dipukau untuk mengikuti mereka. Sedangkan Mas tidak tahu arah dan jalan. Kami menaiki bas.” Tona wajah Masdiana kemerahan. Dia bagaikan sedang berada di masa lalu. Sedang mengalami keadaan tersebut.
          Wajah Azizul berkerut-kerut. Dia memandang jam yang berada di dinding.
          “Sekarang sudah pukul 2.00 pagi. Mas belum mengantuk?” Azizul bimbangkan kesihatan Masdiana.
          “Mas tidak boleh tidur jika sudah mula bercerita. Tolonglah dengar sehingga abang tahu jawapannya.” rayu Masdiana.
          “Memang abang tak mengantuk dan nak tahu. Tapi abang tak boleh paksa Mas.” jelas Azizul pula.
          “Mas akan cerita lebih ringkas. Lepas tu, Mas kononnya telah diubati oleh seorang bomoh keturunan mereka. Mas ditanya macam-macam. Dia tanya kenapa Mas beri makan barang kotor pada Mustapa. Walaupun Mas menafinya, mereka tak percaya. Bomoh itu tetap mendesak Mas dan mengatakan, Mustapa telah memuntahkan segalanya setelah diubatinya.” beritahu Masdiana dengan perasaan marah dan mencuka.
          “Kalau dia tu seorang bomoh yang bijak, sepatutnya bomoh tu tahu, Mas yang telah disihir? Tentu Mustapa akan terperangkap ketika itu.” ujar Azizul.
          “Ya, betul tu. Mas rasalah bomoh tu tahu, tapi dia terpaksa berpura-pura mengatakan Mas yang bersalah. Sebab Mustapa tu, keluarga mereka. Mereka tak mahu Mustapa dan isterinya berpisah. Sebab itulah mereka menuduh Mas.” Wajah Masdiana serius.
          “Betul juga. Bomoh tu buat apa?” Azizul ingin tahu.
          “Masa tu Mas ingat lagi. Bomoh tu picit jari-jari kaki kanan Mas dengan sebiji lada hitam kuat-kuat. Mas menjerit kesakitan. Apabila Mas menjerit, dia kata hantu belaan Mas yang dah sakit. Padahal mana tak sakitnya, lada hitam yang keras tu ditekan di hujung jari kaki?” Masdiana tidak boleh lupa peristiwa itu.
          Azizul berhenti mengunyah dan menghirup kopi yang sudah lama dingin itu, sekali lagi.
          “Kerana terlalu sakit, Mas menggelupur. Bomoh itu menyuruh beberapa orang lelaki memegang tangan dan badan Mas. Dia kata Mas akan jadi kuat dan meronta untuk melepaskan diri. Kaki kiri mas melecet dan berdarah, kerana bergesel dengan hamparan permaidani. Dalam hati Mas menyumpah-nyumpah bomoh tu.”
Masdiana meneruskan lagi cerita saat-saat genting itu dan bagaimana perasaannya ketika dia seorang diri pada waktu dibomohkan.
          “Kalaulah Mas mati pada masa tu, tentu keluarga Mas tak tahu, sebab mereka pun tak kenal siapa Mas. Hanya dalam hati ni, tak putus-putus berdoa, minta dilindungi ALLAH. Syukurlah Mas dihantar pulang oleh Mustapa dan isterinya dengan selamat. Itupun setelah Mas mengaku tak akan ganggu Mustapa lagi di hadapan seluruh keluarganya dan orang-orang kampung  yang melihat upacara itu.” cerita Masdiana lagi. Perasaanya semakin reda. Dan air matanya kian surut.
          “Kemudian, apa yang berlaku?” Azizul bertanya lagi.

Masdiana berhenti bercerita. Dia kehausan lalu meneguk kopi yang sudah dingin itu. Dia menarik nafas lagi dan menghembusnya lega. Seolah-olah duri yang selama ini tertusuk di hatinya itu, sudah tercabut. 
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

10
MASDIANA membetulkan simpuhnya untuk yang keberapa kali. Kali ini dia berada lebih dekat dengan Amyra. Tangannya tidak sudah-sudah membelai rambut anak kesayangannya itu dengan lembut dan penuh perasaan kasih. Dia mencari sebuah harapan pula di wajah lelaki di hadapannya. Keikhlasan itu masih belum dapat dikesannya. Namun dia terus bercerita.     
“Lepas peristiwa tu, bukan kami terpisah, malah jadi semakin rapat pula. Mustapa telah jadikan Mas sebagai perempuan simpanannya  di sebuah rumah dan hidup sebagai suami isteri sehingga Amyra dilahirkan. Tapi dia tak daftarkan kelahiran tu. Dia berhenti kerja di Caltex dan bekerja di tempat lain. Mas terus menjadi hambanya,” air mata tidak kelihatan lagi menuruni pipi Masdiana. Dia semakin tabah bercerita.
“Mustapa boleh buat apa saja yang dia mahu terhadap Mas. Apa yang dia suruh, Mas pasti melakukannya. Dia bagaikan seorang Raja. Dia hanya memerintah. Dia tidak perlu berfikir apa-apa. Semua akan sampai di hadapannya tanpa sebarang bantahan. Satu hari Mustapa mahu berniaga, dia telah meminjam wang dengan ceti haram. Nama Mas sebagai penjamin. Mas bagaikan akur tanpa bercakap banyak. Walaupun jiwa Mas meronta mengatakan tidak mahu terlibat. Namun sudah terlambat. Akhirnya Mustapa terjebak dengan ramai ceti haram.” Masdiana menarik dan menghela nafas lagi. Dia meniupkan hujung selindangnya yang telah ditekapnya ke mulut, lalu mendemah ke matanya yang bengkak itu. Beberapa kali.
“Macam tu pulak? Tak habis-habis dengan masalah.” Azizul bersuara dan mulai terbit perasaan meluat dengan sikap Mustapa. Memalukan kaum lelaki!
“Itulah, jika hidup bergelumang dengan dosa dan maksiat! Hidup pun lintang pukang. Tapi dalam hati Mas tidak pernah lupa bermohon kepada ALLAH, semoga di satu hari akan ada jalan untuk Mas keluar dari masalah itu.” kata Masdiana dengan penuh yakin.
“Tapi kenapa waktu tu, Mas tidak bercerita atau melapurkan saja kejadian itu kepada jiran? Biar mereka buat lapuran ke pihak yang berwajib?” pertanyaan daripada Azizul itu segera dijawab Masdiana.
“Bang, Mas telah diguna-gunakan oleh Mustapa dengan ilmu penunduk. Ilmu inilah yang telah mengunci mulut Mas supaya ikut segala arahannya. Walaupun pada hakikatnya Mas tahu itu adalah salah, namun Mas tak berdaya untuk bertindak. Seperti ada kuasa lain yang telah menghalangnya. Waktu itu, badan Mas kurus kering seperti mayat yang sedang berjalan.” jelas Masdiana.
Penjelasan itu, didengar oleh Azizul dengan kerutan di dahi. Derita yang ditanggung Masdiana itu dapat dibayangkan betapa tersiksanya. Apatah lagi derita zahir dan batin.
“Tapi pada satu hari tu, Mas teringin nak buat tapai. Mustapa menghalang dan seboleh-bolehnya mahu menggagalkan niat Mas untuk membuat tapai pulut itu. Pada masa tu, sedikit pun Mas tak syak apa-apa. Keesokan harinya, tapai itupun masak. Mas teruja sangat sebab tapai itu berbau wangi dan pastinya manis. Sebaik saja mas sua tapai itu ke hujung lidah, Ya Rabbi! Masam bagaikan asid! Tahulah Mas dan mulalah Mas sedar, Mas  sedang disihir. Segala ilmunya sudah menjadi kian tawar. Mungkin Mustapa pun tahu dan sedar akibatnya itu. Atau Mustapa memang sudah tahu itu adalah pantang kepada ilmu yang dituntutnya itu.” Berkerut-kerut dahi Masdiana seperti rasa cuka yang masam itu masih terlekat di lidahnya.
“Keluarga Mas tidak tahu ke?” tanya Azizul lagi. Dia merubah tempat duduknya seperti semula. Dia bersandar di tiang tengah bilik itu. Di situ adalah tempat kegemarannya.
“Keluarga Mas hanya tahu kami sah bernikah sebab kami duduk berjauhan dari wali. Dan mereka tak pernah minta untuk melihat sijil nikah kami. Semuanya gara-gara ilmu hitam Mustapa tu,” terang Masdiana kesal.
Masdiana berhenti beberapa saat untuk menarik nafas lagi. Dia menghembusnya perlahan. Tisu tidak lagi ditariknya dari kotak itu. Dia sudah boleh mengawal air matanya untuk tidak terjun ke riba.
“Setelah Mustapa tak dapat nak membayar hutang ceti tu, mereka telah mengepung rumah kami siang dan malam. Mereka mengugut dan mendesak kami supaya membayar hutang-hutang tersebut. Mereka tahu pada masa tu, Mustapa sudah tak boleh berniaga lagi kerana sudah kehabisan modal pusingan. Tapi Mustapa hanya bersembunyi di dalam bilik. Mas yang terpaksa berdepan dengan ceti haram itu dan menjawab segala pertanyaan atau membayar serta memberi apa-apa saja barang berharga kepada ceti haram itu,” wajah Masdiana bertukar serius dan marah.
“Kerana takut Amyra diapa-apakan, Mas telah meminta seorang jiran menghantar kami ke satu tempat yang jauh tersorok daripada pengetahuan ceti haram itu, supaya kami boleh melarikan diri. Mas tahu, ceti-ceti haram itu akan membuta apa awal pagi. Waktu itulah Mas mengambil kesempatan untuk melarikan diri. Masa tu, Mas bagaikan sudah ada kekuatan untuk bertindak.” laju, Masdiana menyusun ceritanya itu.
“Habis tu, Mustapa pergi mana? Dia tak marah, dia tak ikut?” tanya Azizul yang semakin teruja untuk mendengarnya.
“Mau dia tak ikut? Orang yang tak pernah berfikir tentang masa depan tu selalu gunakan Mas untuk melepaskan dirinya sendiri. Setelah jiran tu letak kami di tepi jalan, Mas melarang Mustapa supaya jangan ikut Mas lagi. Sebab masa tu Mas sudah sedar daripada perbuatan sihirnya dan mulai berani melawannya.”
“Lepas tu, apa Mustapa buat? Geram pulak abang dengan sikap Mustapa tu,” balas Azizul.
“Dia mencampak beg baju Mas ke tengah jalan. Mujur pada masa tu tak ada kereta yang lalu. Sejak tu, Mas terpaksa menerima dia. Biar dia ikut, sebab takut disedari orang sekitar dan keselamatan Amyra lebih utama. Mas tak mahu gara-gara itu nanti rancangan Mas turut gagal.” semakin rancak Masdiana bercerita.
“Lepas tu, Mas kemana?” Azizul juga turut teruja dan berasa lebih lapang.
“Kami menaiki bas ganti-ganti sehingga sampai ke Dungun. Malam baru kami sampai. Kesian Amyra…” setitik air mata Masdiana mencuri jatuh ke pipinya. Dia memandang wajah Amyra dengan perasaan hiba.
“Tidak habis di situ, kami menumpang pula, di rumah kakak di Jerangau. Tapi di situ pun anak-anak buah tak sukakan Mas. Mereka semua lebih menyanjungi Mustapa. Sakit hati Mas ketika itu, sebab mereka telah terpedaya oleh tipu muslihat Mustapa. Hanya Mona yang banyak ambil berat dan tolong carikan rumah sewa untuk kami, setelah salah seorang anak saudara perempuan Mas menghasut kakak, supaya tidak membenarkan kami menumpang di rumah itu. Bimbang kalau-kalau ceti haram itu datang mencari kami di kampung tu. Kakak percaya dan bimbang. Sebab tulah Mas berpindah ke rumah sewa. Mas tetap panjangkan doa kehadrat Ilahi semoga diberikan jalan untuk Mas melepaskan diri daripada cengkaman Mustapa.” Masdiana berhenti bercerita. Dia menghembus nafas lega.
“Oh, jadi sebab itulah Mas menjari jodoh di dalam buku VARIASARI tu?” tanya Azizul sambil tergelak kecil. Gelihatinya apabila mengingatkan hal itu. Sedangkan dia juga tidak tahu punca bagaimana dia pun boleh mencari jodoh di dalam buku comel itu.
“Sebelum Mas dapat idea untuk cari abang dalam buku kecil tu, sebenarnya Mas kena jaga Mustapa sebulan di hospital.”
 “Dia sakit apa?”
“Dia tak sakit, tapi kemalangan jalan raya dengan motosikal.”
“Kenapa Mas tak tinggalkan saja dia di hospital tu? Baik pulak Mas jaga dia,” kata Azizul seperti ada nada cemburu.
“Kemanalah Mas nak pergi waktu tu, Mas baru mula bekerja nak kumpul duit. Lagipun kita belum kenal. Tapi tersiksa jugaklah dengan musibah yang berlaku tu. Bertambah lagi bebanan yang Mas tanggung ketika itu. Bayangkan betapa fikiran Mas berserabut, sedih dan penuh dosa. Mas menjadi bertambah kurus kering menanggung penderitaan tu, seorang diri. Tetapi Mas tetap cekal. Yang Mas boleh buat hanyalah memohon petunjuk ALLAH. Mas yakin ALLAH itu tetap menerima taubat dan pasti menujukkan jalanNya.” Masdiana mempamirkan seulas senyuman buat lelaki harapannya itu.
“Abang bangga dengan Mas sebab Mas seorang yang tabah menghadapi setiap dugaan hidup. Tapi, bagaimana pula Mas terlintas nak cari jodoh?” teruja di hati Azizul ingin mengetahui bagaimana tercetusnya perkenalan mereka. Itu saat yang paling indah buat mereka untuk mencipta seribu impian bersama.
“Setelah Mustapa balik dari hospital, sebulan lagi dia hanya makan tidur di rumah. Tetapi Mas tidak lagi mengikut telunjuk dia. Mas sering bertekak dengan dia. Mungkin dia pun telah sedar ilmu guna-gunanya sudah tidak berkesan lagi pada Mas. Tapi dia tidak boleh berbuat apa-apa. Ada hikmahnya Mustapa itu kemalangan. Supaya dia berkeadaan lemah dan dia akan terus memerlukan Mas. Kalau dia kuat dan gagah tentu Mas tidak dapat melepaskan diri seperti sekarang ni. Tentu dia akan cari mana-mana bomoh untuk mendapatkan kembali kuasa ilmu hitamnya itu. Mungkinlah…”
“Bila pula Mas terlintas untuk mencari buku VARIASARI tu?” tak habis-habis perasaan ingin tahu terbit di bibir Azizul.
“Begini, jiran sebelah rumah Mas, sangat pendiam. Mas tak pernah dengar suara mereka suami isteri. Dia ada sepasang anak yang masih kecil. Sampaikan Mas tak tahu mereka tu ada di rumah atau tak. Satu hari mak mertua wanita tu datang. Mas ambil kesempatan bertanya, sebab rasa pelik sangat sikap mereka tu. Rupa-rupanya mereka bertemu jodoh melalui sebuah majalah dalam Ruangan Teman Setaman. ALLAH telah menunjukkan jalan ini mengikut perancanganNYA yang tidak kita ketahui.” beritahu Masdiana sambil senyum meleret.
“Oh, patutlah…” kata Azizul sambil tersenyum-senyum bila mengingatkan peristiwa itu.
“Yalah… lagipun Mas tahu buku comel tu yang ada ruangan mencari jodoh. Kalau ruangan kembang setaman, untuk remaja-remaja. Mungkin jiran Mas berkawan lama di ruangan tu. Sebab mereka tu lebih muda dari kita.”Masdiana membuat andaian.
          “Berani Mas datang ke mari. Kalaulah abang ni buaya? Tentu Mas keluar dari mulut naga tu, masuk pula ke mulut buaya,” kata Azizul bergurau.
          “Abang ni buaya ke?”
          “Mas nampak abang ni ada rupa buaya ke? Ada tak macam rupa buaya tembaga?” tanya Azizul sambil ketawa kecil.
          “Macam Bujang Senang je,” jawab Masdiana spontan. Mereka berdua ketawa.
          “Kalau abang ni Bujang Senang, tak payah Mas cerita panjang-panjang macamni. Abang tak peduli dan tak nak dengar cerita tu semua. Baiklah abang ‘ngap’ Mas dan lepas tu tidur lena-lena.” Azizul ketawa sambil mengawal suaranya takut didengari jiran tetangga pula.
          “Boleh tahan abang ni ye, Ada jugak nafsu buaya?” Masdiana cuba mengusik.
          “Jangan ditanyalah… hahaha.” Azizul bergaya dengan tawa lelakinya.
          “Abang dah dapat tak jawapannya tu?” tanya Masdiana. Dia tidak mahu melayan lelaki yang telah mula ditimpa perasaan itu. Takut lain pula jadinya.
          “Abang dah dapat jawapannya. Pertama, sebab Mas nak larikan diri dari Mustapa. Kedua, Mas nak cari tempat untuk bernaung. Abang sangkakan Mas ni janda. Patutlah Mas tak bagi abang pergi ke Dungun, rupanya ada masalah besar!” kata Azizul sambil tersenyum puas.
          “Jadi apakah kesimpulan yang abang dapat dari cerita Mas tadi?” Masdiana pula mahukan jawapan ikhlas dari lelaki harapannya itu.
          “Memang masih tersimpul, malah lebih terbelit.” balas Azizul dengan nada bersahaja, membuatkan Masdiana tunduk dan sedih.
“Kalau macamtu, setelah siang, Mas nak pergi dari sini bang. Mas tak nak abang susah sebab Mas pulak. Nanti Mak saudara abang akan pandang serong pula pada kita. Apa-apa pun Mas ucapkan terima kasih banyak-banyak sebab sekurang-kurangnya hati Mas dah lega sekarang dan Mas semakin kuat. Mas yakin, Mas boleh teruskan kehidupan ini di mana-mana pun.” kata Masdiana sambil menundukkan wajahnya merenung riba. Jemarinya diramas-ramas, bagaikan menujukkan sebuah kesalan yang tidak terucap.
          “Eh, eh… merajuk pulak! Ada abang kata abang tak boleh terima Mas? Abang sangat menyanjungi Mas dan sungguh berbangga. Mas dengan ikhlasnya datang bercerita pada abang di sini. Sekotak tisu habis sebab menyapu air mata dan sepanjang malam abang tak tidur sebab mendengar kisah hidup Mas yang penuh liku. Sehingga abang sendiri tak dapat nak bayangkan betapa sukarnya kehidupan Mas. Mungkin ini adalah satu amanah ALLAH kepada abang disaat abang sedang kesusahan begini. Abang yakin dengan janji ALLAH, jika kita membantu insan lain yang di dalam kesusahan padahal kita juga di dalam kesempitan, Insya-Allah, akan digantikanNYA dengan kebahagiaan hidup di masa depan.” jelas Azizul bersunguh-sungguh.
          Lega hati Masdiana sebaik sahaja mendengar ucapan lelaki impian di hadapannya itu. Dahan tempat berpaut itu telah diberi ALLAH. Rasa penuh syukur disebutnya bertalu-talu dalam hati.
          “Beginilah Mas, abang sudah fikirkan apa yang harus kita lakukan bersama lepas ni. Mula-mula kita bersiap untuk menyambut Hari Raya Haji dua hari lagi. Kemudian selepas hari raya tu, abang akan hantar Mas ke rumah kawan abang di Sungai Petani. Kat situ, Mas boleh belajar memasak nasi lemak dan cara membungkusnya. Nasi lemak dia sangat sedap dan laris. Dia berniaga makanan gerai di Pasar Kepala Batas. Apabila Kita sudah stabil, kita sama-sama akan kumpulkan maklumat kelahiran Amyra dan daftar kelahirannya. Mas janganlah risau. Dah, lupakan segala yang telah berlaku tu. Pelarian Mas kali ini tak sia-sia. Percayalah cakap abang.” Azizul memberi segunung harapan buat Masdiana.

          Air jernih di tubir kedua belah mata Masdiana berjaya meluahkan kegembiraan, lalu meluncur laju ke pipinya. Segala beban yang tersengkang di lubuk jiwanya hampir sepuluh tahun itu bagaikan termuntah sudah. Lega benar terasa. Ringan di segenap tengkuk dan kepala daripada bebanan yang begitu lama tergalas sebelum itu. Keceriaan terpancar di wajah Masdiana bagaikan cahaya fajar pagi. Embun nan dingin menyejukkan ke segenap ruang nadi. Menjadi pelincir bagi menggerakkan perjalanannya yang masih panjang. Namun dia terus berdoa di dalam solat subuhnya lama sekali. Bersujud syukur dan memohon doa agar kehidupannya selepas ini akan lebih teratur sebagaimana orang lain yang bahagia bersama pasangannya yang sah.

~Bersambung lagi dalam bab ke 11. Tunggu! ^-----^ v




11
PAGI itu, Mustapa pergi juga bekerja di pasar. Fikirannya digunakan secara mendadak untuk memikirkan seribu perkara. Dia tidak boleh menumpukan perhatiannya kepada pekerjaannya.
          “Abang Mus, tangan abang Mus berdarah!” jerit rakan sekerja Mustapa sambil menekan suiz untuk memberhentikan mesen pemarut kelapa itu. Mustapa pada masa itu tidak perasan, jari tangannya sudah dimamah mesen tersebut. Darah mengalir keluar dengan banyaknya. Merah kelapa di dalam besen tadahan. Mujur juga kelapa itu baru dua biji yang sudah diparutnya. Kalau banyak, tentu majikannya kerugian besar.
          Mustapa dibantu dan dirawat oleh rakan sekerjanya. Majikannya memberikan Mustapa cuti untuk hari itu sehingga selepas Hari Raya Haji. Diberinya duit untuk berbelanja.
          “Sudahlah Mus, janganlah fikir sangat. Nanti mudarat kesihatan pula.” nasihat majikannya itu dibalas dengan anggukan.
          “Baliklah berehat. Nanti saya ambil anak buah yang sedang bercuti sekolah tu, untuk tolong saya di sini.” jelas Majikannya.
          Mustapa sungguh malu, sekejap sahaja berita dia ditinggalkan ‘bini’, tersebar ke seluruh pasar itu. Kelihatan orang bersosek-sosek sebaik memandang kepadanya. Dia kebingungan. Dia berjalan menyusuri benteng di sepanjang Sungai Dungun bagaikan orang tidak siuman. Kadang-kadang tersenyum. Kadang-kadang marah dan kadang-kadang ada air mata tergenang di tubir matanya.
          Mustapa tidak dapat menahan rasa sedihnya apabila dia pulang ke rumahnya. Buat pertama kali di dalam kehidupannya, dia menangis. Tetapi dia tidak pernah kesal dengan perbuatannya itu. Dia menyimpan satu dendam.

PAK SU sudah nampak perubahan mak su kau, sejak akhir-akhir ni. Dia telah menyimpan semua gambar-gambar dan perhiasan dinding. Sikap dia lain benar. Tapi Pak su tak mahu syak apa-apa.” Mustapa memberitahu Mona dan suaminya tentang sikap Masdiana itu setelah diasak dengan pelbagai soalan oleh mereka berdua, ketika mereka datang menziarahinya. Dia tidak segan-segan membahasakan dirinya sebagai pak su, kerana anak-anak buah Masdiana memanggilnya mak su disebabkan Masdiana adalah mak saudara yang bongsu. Sebenarnya Mustapa rimas, takut kalau-kalau rahsianya terburai. Sedaya upaya dia menjawabnya untuk membela diri sendiri.
          “Pak su rasa dia ada lelaki lain,” pengishtiharannya itu telah berjaya menutup kesalahannya. Masdiana dijadikan kambing hitam sekali lagi untuk melepaskan dirinya. Dan secara tidak langsung, sahlah Masdiana telah berlaku curang dan meninggalkannya.
          “Astaghfirullahal ‘Azim… saya tak sangka mak su sanggup buat pak su macam ni.” ucap Mona yang tidak tahu apa-apa.
          “Kita report polis je,” ujar suami Mona pula.
          “Tidak payahlah susah-susah. Kita tengok dulu lepas Raya Haji ni macamna.” Mustapa masih mahu berdalih.
          “Nak tengok apa lagi, pak su? Lihatlah tangan pak su ni. Dah cedera, dah tak boleh nak buat kerja. Saya pun sakit hati dengan sikap mak saudara saya tu pak su!” kata suami Mona dengan nada yang cukup marah untuk membela orang yang dia tidak pernah dia kenal asal usulnya itu.
          Berita Masdiana lari meninggalkan ‘suaminya’ dan mengikut jantan lain itu, telah tersebar ke seluruh kaum keluarga terdekat. Perayaan Hari Raya Haji itu disambut dengan umpatan keji terhadap Masdiana. Mustapa dilayan begitu baik oleh keluarga Masdiana. Mereka tidak habis-habis mengucapkan rasa simpati terhadap Mustapa.
          “Habis tu, apa yang pak su nak buat lepas ni?” tanya suami Mona yang begitu mengambil berat tentang Mustapa.
          “Mona, ambillah semua perabut yang ada di dalam rumah ini. Pak su mintak, kau benarkanlah suami kau ni, hantarkan pak su ke rumah adik pak su di Kuala Lumpur. Pak su dah tak nak duduk kat sini lagi. Pak su nak kerja kat KL.” Mustapa meminta pertolongan.
          “Baiklah pak su. Bila paksu nak ke sana?” soal suami Mona.
          “Esok,”
          “Baiklah, siap-siaplah. Esok, bagilah kunci pada Mona, biar dia angkut barang-barang tu semua. Lepas tu, dia akan serah kunci rumah tu kepada pengurus flat ni. Pak su janganlah bimbang. Saya akan tolong pak su.” Kata-kata dari mulut suami Mona itu memberi sedikit rasa lega di hati Mustapa.

SAMBUTAN Hari Raya Haji bersama buah hati cukup membahagiakan Masdiana serta Azizul. Keceriaan menyambut hari raya itu menjadi satu titik permulaan untuk mengumpul lebih banyak lagi peristiwa manis. Amyra juga cukup riang di situ tanpa bertanyakan tentang babanya.
          “Esok, pak cik akan hantarkan ibu dan Myra ke rumah kawan pak cik. Nanti Myra akan dapat kawan baru. Anak kawan pak cik tu sebaya Myra.” Azizul memberi harapan yang baik kepada Amyra dan Masdiana.
          “Baiklah pak cik.” Amyra bersetuju.
          “Bila abang bagitahu kawan abang tu?” Masdiana ragu-ragu.
          “Pagi semalam, abang jumpa dia di pasar dan meminta dia menerima Mas dan Amyra buat sementara waktu.”
          “Dia setuju ke bang? Risau pulak Mas. Menyusahkan abang dan kawan abang pula.”
          “Insya-Allah… janganlah Mas risaukan.”
          “Kalau begitu, Mas ikut saja.”
          Keesokkannya, Masdiana bergerak ke Sungai Petani, manakala Mustapa pula menuju ke rumah adiknya di Kuala Lumpur. Masdiana menanam harapan untuk mencari kehidupan yang lebih sempurna dan diredai ALLAH. Semoga Mustapa juga begitu. Namun, hatinya yang sekeras batu dan sehitam arang itu, adakah dia boleh berubah? Jika dendam masih tersemat. Adakah terkesan atau berbekas di hatinya, setelah ditinggalkan oleh Masdiana itu? Tidak ada siapa yang mengetahuinya kecuali ALLAH. Tanpa hidayahNYA tetap tidak akan berubah.

DI DUNGUN, Mona tidak jemu-jemu mendail nombor telefon bimbit  Masdiana. Dia begitu rindu dan ingin mengetahui cerita sebenar daripada mulut mak saudaranya itu. Dengan izin ALLAH, kebetulan Masdiana telah membuka talian telefonnya kerana dia telah menumpang di rumah Mak Aji, kawan Azizul. Tentu dia akan terus membuka talian itu untuk memudahkan Azizul menghubunginya.
          “Assalamualaikum, mak su ke tu? Mak su apa khabar?”
          “Wassalam… ya, mak su sihat.”
          “Mak su duduk kat mana sekarang? Semua orang risaukan mak su.”
          “Mak su duduk di Sungai Petani. Bekerja di sini. Pak su kau sihat?” Masdiana cuba merisik khabar.
          “Pak su dah pergi ke rumah adiknya di KL. Kenapa mak su tinggalkan pak su?” tanpa berlengah Mona cuba mengorek rahsia sebenar.
          “Orang tak tahu masalah dalaman kita boleh berkata apa saja. Nanti di satu hari, Mona akan tahu jugak. Baiklah Mona, sampaikan salam mak su pada semua. Mak su dan Myra sihat di sini.” sebaik berkata begitu, Masdiana terus mematikan talian.
          Masdiana akur pada setiap liku-liku kehidupan yang harus ditempuhinya. Dia berserah dan reda. Di dalam keadaan yang tersepit itu, dia tetap bersyukur kerana masih ada tempat untuk menumpang teduh dan makan minum. Mak Aji seorang yang baik. Masdiana dapat belajar banyak perkara melalui Mak Aji. Ilmu-ilmu itu disimpan kemas, tentu berguna untuk masa depannya nanti.
          Setiap awal pagi, Masdiana sudah siapkan beberapa jenis kuih untuk diniagakan oleh Mak Aji. Sesudah itu, dia akan menolong membersihkan halaman rumah, mengemas dan menyapu. Semua kerja-kerja rumah dibantu Masdiana. Setelah tengahari, Mak Aji pulang dari pasar. Dia tersenyum kerana semua kerja-kerja rumah telah siap dilakukan Masdiana.
          Sebulan sudah berlalu, tibalah masanya Mak Aji memberikan wang upah kepada Masdiana.
          “Ini ada duit sikit untuk Mas.” kata Mak Aji sambil menghulurkan sampul duit.
          “Terima kasih Mak Aji.” ucap Masdiana sambil tersenyum.
          “Sama-sama.”
          Masdiana terus ke biliknya. Amyra tidak ada di situ. Tentu dia sedang bermain di dalam kebun. Di bawah pohon sukun yang redup itu. Amyra suka bermain-main di situ bersama anak Mak Aji dan anak-anak jiran. Main masak-masak.
          Masdiana membuka sampul duit itu, ditariknya note kertas di dalamnya. Sekeping. Mata Masdiana berair sebaik sahaja mendapat wang gaji pertamanya itu. Dia segera mencapai telefon bimbitnya dan mendail nombor telefon Azizul.
          “Abang, boleh tak bawakan surat khabar hari ini?”
          “Boleh, nanti petang abang bawak. Macamana, semua okey ke?”
          “Semuanya okey bang. Baiklah bang, Mas ada kerja sikit ni. Jumpa petang nanti.”
          Mereka mematikan talian telefon itu. Masdiana termenung seketika.
          “Ibu, kenapa ibu cam sedih je?” tegur Amyra sebaik sahaja mendapatkan ibunya di bilik.
          “Eh, tak ada apa-apalah Myra. Ibu Cuma berehat je ni.”
          “Bila pakcik nak datang, ibu?”
          “Kenapa, Myra rindukan pak cik ya?”
          “Ya lah, ibu tak rindukan pak cik ke?”

          “Pandailah Myra ni…” Masdiana menggeletek anak tunggalnya itu, sambil ketawa. Amyra mengekek-ngekek menahan geli.

~Terima kasih di atas kesudian anda! Sila tunggu bab ke 12, ~____^ v




12
PETANG itu, Masdiana meminta kebenaran Mak Aji untuk keluar menemui Azizul. Mak Aji tidak pernah menghalang Masdiana dan Azizul bertemu. Hanya yang Mak Aji inginkan, nama baik keluarganya pandai-pandailah Masdiana dan Azizul menghormatinya.
          “Pak cik, ibu rindukan pakcik!” Amyra mengusik ibunya di hadapan Azizul. Masdiana menjeling dan tersenyum.
          “Oh, ya?”
          “Ya, Pak cik tak rindu ibu ke?”
          “Tak…” jawab Azizul sambil ketawa. Gelihati dengan keletah Amyra.
          “Dah, Myra jangan kacau pak cik. Ibu dengan Pak cik nak cakap sikit ni.” Masdiana memberi amaran kepada anaknya.
          Amyra berlalu ke bengkel sambil bermain-main dengan anak kucing. Masdiana dan Azizul berpandangan. Pertemuan di tepi kebun itu hanya sekejap sahaja dibenarkan. Mereka berdua harus menjaga kelakuan kerana kehidupan di kampung tidak sama dengan situasi di bandar.
          Pemandangan petang itu sungguh indah. Kelihatan baruh yang terbentang sehingga ke hujung bukit. Matahari senja yang kian melabuhkan tirainya melimpahi cahaya jingga. Dalam hati Masdiana ketika itu sedang berkecamuk. Dia tidak dapat menikmati suasana yang indah itu sepenuh perasaannya.
          “Ada masalah ke Mas? Abang tengok Mas seperti gelisah saja. Lihat pemandangan sawah tu, cantik. Tapi di wajah Mas bagaikan mendung yang menanti hujan.” Azizul memerhati wajah kekasihnya dengan seribu tanda tanya.
          “Abang, Mas tidak boleh terus-menerus duduk bersama Mak Aji.”
          “Kenapa, Mas tak suka?”
          “Bukan Mas tidak suka, tapi Mas lihat Mak Aji pun tentu tak suka. Sekarang ni anak sulung dia belum balik. Mas boleh guna bilik tu. Kalau anak-anaknya berkumpul? Tentu masalah.” Masdiana tunduk sambil menguis-nguis pasir dengan kakinya.
          “Habis tu, apa pula rancangan Mas?” tanya Azizul, sambil memerhati gerak bahasa badan Masdiana itu.
          “Nanti Mas baca dalam akhbar ni, kalau ada peluang kerja.” Balas Masdiana sambil membongkok, lalu mengambil sebatang ranting kecil. Di pegangnya dengan kedua-dua tangannya. Dari hujung ke pangkal. Matanya memandang ke lautan sawah yang terbentang.
          “Baiklah Mas. Buatlah apa yang terbaik, Mas.” Azizul hanya menyokong apa sahaja rancangan buah hatinya itu. Perasaan sayangnya semakin menebal. Tidak sampai hati untuknya mengguris perasaan hati yang lembut itu.
          “Yang Mas sedihnya, upah yang Mak Aji bagi tu, RM100.00 je,” ranting yang berada di dalam tangannya itu dipatahkan sebaik sahaja ayat itu habis dituturkannya. Wajahnya kelat.
          “Ha, dulu dia janji dengan abang nak bagi RM10.00 sehari. Bermakna RM300.00 sebulan. Kenapa sikit sangat?” dahi Azizul berkerut. Kesal kerana kawannya sudah mungkir janji.
          “Itulah, Mas rasa, dia sengaja buat begitu. Supaya Mas tidak tahan dan akan berpindah.” Masdiana mengutarakan pandangannya.
          “Sabarlah Mas, nanti kita sama-sama ikhtiarkan. Okeylah Mas, hari dah nak gelap ni. Nanti Mak Aji bising pulak.” Azizul bermohon untuk pulang.
          “Baiklah bang, terima kasih kerana bawakan surat khabar ni.” kata Masdiana sambil menghadiahkan sebuah senyuman untuk lelaki harapannya itu.
          “Sama-sama. Duduk baik-baik tau,” Azizul berpesan sambil memandang wajah kekasihnya sayu.
          “Abang minta maaf, sebab sekarang ni abang tak dapat nak tolong Mas atau sekurang-kurangnya menempatkan Mas di tempat yang lebih baik. Abang sayangkan Mas. Abang tak mahu Mas hidup tak tentu haluan. Sebab tu, abang lebih suka jika Mas duduk dengan Mak Aji, sekurang-kurangnya abang tak rasa bimbang.” Luah Azizul ikhlas.
          “Mas faham.” Masing-masing berpandangan. Di sudut hati mereka berdua hanya menyusun tangga-tangga sabar untuk menuju ke puncak tertinggi.
          “Myra! Pak cik dah nak balik ni. Mari salam dengan pak cik.”
          Amyra berlari mendatangi pak ciknya, sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.
          “Myra duduk elok-elok tau, jangan nakal-nakal di rumah orang.” nasihat Azizul itu diangguk Amyra perlahan.
          “Baiklah pak cik.”
          “Baiklah Myra, Mas. Abang balik dulu.”
          Azizul menghidupkan enjin motosikalnya. Sekejap kemudian dia telah jauh menyusuri jalan merentasi batas-batas sawah yang terbentang. Menuju ke jalan besar. Amyra dan Masdiana berjalan beriringan menuju ke rumah Mak Aji kira-kira tiga minit perjalanan.
          Seperti biasa Masdiana menjalankan tugas hariannya di sebelah malam. Membuat kuih-muih memerlukan perhatian dan masa. Sepanjang malam Masdiana hanya tidur kira-kira tiga jam sahaja. Di sebelah petang, Masdiana berehat dua jam. Setelah kerja-kerja menyediakan bahan-bahan untuk membuat kuih pada awal pagi itu selesai, Masdiana membelek helaian akhbar di dalam bilik. Amyra sudah lama tidur bersama anak bongsu Mak Aji di ruang tamu. Mereka berdua tertidur setelah penat menonton tayangan kartun di televisen.
          “Em, ada jawatan kosong sebagai pembantu taska. Dikehendaki segera… tinggal di taska. Boleh jugak ni cuba mintak.” Masdiana berbisik sendiri.
          “Tapi kat Bayang Lepas, Pulau Pinang. Jauh jugak tu,” dia berkata dan termenung sejenak.
          “Kena pergi temuduga cepat ni, tahun baru dah tinggal beberapa hari lagi. Tentu jawatan tu perlu diisi segera untuk sesi persekolahan bermula. Baik bagitahu Azizul cepat, tanya pendapat dia.” dia masih berbisik sendiri.
          Masdiana segera menghantar pesanan ringkas kepada Azizul.
Mereka berbalas-balas mesej sehingga mendapat satu keputusan. Senyuman yang menguntum di bibirnya itu mencerminkan ada satu jalan penyelesaian.
          Masdiana terlena sebentar lalu dikejutkan dengan bunyi jam yang telah dikuncinya sebelum itu. Dia terus bangun lalu menyambung tugasnya untuk menyiapkan kuih-muih. Di pagi itu, sebaik sahaja Mak Aji keluar menuju ke bengkel, Masdiana bersuara.
          “Mak Aji, hari ini saya nak ke Penang sekejap ada hal. Saya tinggal Myra di rumah. Mungkin saya balik malam nanti.”
          “Baiklah.” kata Mak Aji sepatah.
          Mak Aji tidak banyak berbual-bual dengan Masdiana. Mungkin dia penat atau sibuk. Adat menumpang, Masdiana harus pandai menyesuaikan diri. Dia harus banyak bersabar.

AZIZUL memastikan motorsikalnya di dalam keadaan baik. Perjalanan yang jauh melalui jambatan Pulau Pinang itu mengundang masalah jika terjadi pelbagai kecelakaan, terutama kerosakan pada motosikal.
          Dia keluar rumah menuju ke rumah Mak Aji seperti yang dijanjikan  untuk menghantar Masdiana menghadiri temuduga. Azizul selalu berdoa semoga Masdiana mendapat pekerjaan itu dan duduk lebih selesa di tempat baru.
Bunyi enjin motosikal Azizul yang kian mendekat, mendebarkan dada Masdiana. Masdiana bergegas keluar rumah lalu mendapatkan Azizul yang sedang menunggu di luar pagar. Masdiana mengenakan baju muslimah dan berseluar panjang hitam serta bertudung. Itu juga syarat yang dikenakan untuk bekerja di taska tersebut.
“Cantiknya buah hati abang ni…” puji Azizul sebaik sahaja Masdiana menghampirinya. Masdiana hanya tersenyum seceria pagi.
“Pakai topi keledar ni,” topi itu diambil Masdiana.
“Dah, boleh gerak sekarang ni?” tanya Azizul kepada buah hatinya yang sedang duduk dibelakangnya.
“Ya.” jawab Masdiana sepatah.
“Kenapa diam ni, rilex lah…” setelah motosikalnya meluncur ke jalan besar.
“Mas sedang berdoalah…” Masdiana beralasan. Padahal dia masih malu-malu dibonceng begitu. Tetapi dia tidak ada pilihan lain.
“Baguslah tu, mudah-mudahan Mas berjaya temuduga nanti.” Azizul memberi harapan.
Perjalanan dengan motosikal itu sungguh memenatkan. Sungai Petani ke Bayan Lepas memakan masa hampir dua jam perjalanan. ‘Motor kapcai’ itu ditunggang Azizul perlahan. Namun Masdiana mengambil kesempatan itu untuk menikmati keindahan pemandangan di sekitar. Pemandangan tepi laut, pemandangan lautan yang luas di sepanjang Jambatan Pulau Pinang itu menyejukkan mata. Sesekali Azizul bersuara dengan menujukkan beberapa tempat menarik dan kapal-kapal. Sekejap tangan kanannya menunjukkan sesuatu, sekejap lagi tangan kirinya pula menunjukkan pulau. Azizul bagaikan pemandu pelancung. Tidak bosan apabila menghabiskan perjalanan yang jauh bersamanya.
“Mengikut alamat di dalam keratan akhbar ni, inilah taskanya,” mereka sampai juga ke Taska itu, selepas makan tengahari.
“Yalah bang.” Masdiana mengiakan.
Rumah tepi dua tingkat itu dihias indah dengan bendera tiga segi. Cat pada dinding berwarna warni. Ada juga lukisan taman di dasar laut. Masdiana melangkah ke dalam bangunan itu. Setelah 10 minit berlalu, temuduga selesai. Masdiana menghampiri Azizul yang setia menunggu di luar taska.
“Dapat?” tanya Azizul teruja.
“Dapat…”
“Alhamdulillah… apa syarat-syaratnya, Gajinya berapa?” belum apa-apa lagi, Azizul sudah bertanyakan gaji.
“Mas dah bagitahu akan menumpang di sini bersama anak yang berumur enam tahun pada tahun depan. Dia setuju, tetapi gaji dia tak dapat bagi lebih sebab dah kira kos makan, minum dan tempat tinggal sekali.” jelas Masdiana dengan wajah yang serba salah.
“Jadi dia boleh bagi berapa?” tanya Azizul tidak sabar.
“RM 350.00 saja.”jelas Masdiana sambil mengambil topi keledar lalau dipakainya.
“Jadilah Mas, daripada dapat RM100.00,” kata Azizul sambil mengenakan topi keledar juga.
“Ya lah bang. Mas nak kerja dalam 3 bulan je. Lepas tu Mas nak sewa rumah kat Butterworth. Mas nak berniaga nasi.” cadang Masdiana.
“Bagus juga idea Mas tu, abang sokong. Tapi bila nak mula masuk kerja?”
“Dua hari lagi. Abang kenalah hantar Mas.”
“Baiklah, nanti abang pinjam kereta mak saudara abang. Mas jangan risau.”
“Jomlah kita balik.” Masdiana mengajak Azizul pulang kerana bimbangkan Amyra yang ditinggalkannya di rumah Mak Aji.
“Mas tak nak jalan-jalan dulu ke? Abang bawakan Mas pergi ke satu tempat.” pelawa Azizul sambil tersengeh.
“Ha, ni tentu tempat nostalgia abang kan?” tanya Masdiana bersama tekaan.
“Mestilah…” jawab Azizul sambil tersenyum dan menjeling kepada Masdiana. Masdiana menarik muncung. Cemburu.
“Ala, apa yang nak dicemburukan. Itu perkara yang lalu. Sekarangkan abang bersama Mas…” pujuk Azizul.
Masdiana tetap membisu. Dia mengikut sahaja.

“Tapi jangan lama-lama bang. Amyra tu kat rumah, bimbang pulak Mas.” kata Masdiana resah.

~Tunggu pula bab ke 13! Bye.... :)


13
MEREKA meninggalkan taska itu lalu menuju ke Batu Ferringhi. Suasana di situ indah dan nyaman. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Air laut yang membiru begitu menyegarkan pemandangan. Terik mentari petang memantulkan kilauan di permukaan laut. Menyilaukan pandangan mata. Mereka berdua hanya menghabiskan masa berehat itu dengan melemparkan pandangan nun jauh sehingga ke laut lepas. Masing-masing membisu. Tentu di dalam dada mereka bercerita seribu tajuk. Tajuk tentang masa depan yang masih kabur. Biar apa pun yang bakal terjadi, biarlah hubungan mereka sentiasa akrab. Sentiasa memerlukan.
“Mas, hari nak hujan. Jom kita balik cepat!” kata-kata Azizul itu mematikan lamunan Masdiana yang sejak tadi menerawang.
“Baiklah, tentu Amyra risau kalau kita balik lambat.”Masdiana bergegas mencapai topi keledar.
“Jom, jom!”Azizul mengangkat tongkat motosikalnya sambil menghidupkan enjin.
Setelah mengenakan topi keledar, mereka bertolak balik. Masing-masing berdoa semoga mereka sempat ke Butterworth sebelum hujan turun. Mereka merentasi laut melalui Jambatan Pulau Pinang itu sekali lagi.
“Mas, sudah gerimislah!” jerit Azizul kepada Masdiana kerana bunyi enjin motosikalnya agak bising.
“Mas, hujan semakin lebat!” Azizul menjerit sekali lagi.
“Yalah bang, sejuk!” Masdiana memeluk tubuhnya. Hawa dingin mulai menampar-nampar pipinya.
          Azizul memberhentikan motosikalnya di ruangan khas untuk memberhentikan kenderaan di laluan tepi jambatan itu. Dia mengeluarkan baju hujan. Lalu dipakainya.
          “Naik cepat,” Azizul mengarah. Masdiana membonceng motosikal itu semula. Kira-kira  seratus meter mereka bergerak, tiba-tiba motosikal itu meragam.
          “Eh, kenapa ni? Motosikal matilah Mas!” Azizul cemas.
          “Habis tu macamna dengan kita ni… Ya ALLAH! Kita di pertengahan jambatan ni? Jauh kalau nak berjalan.” Masdiana resah. Terbayang di mindanya kalau-kalau perkara buruk pula yang berlaku. Tentu dia tidak sampai pulang malam itu.
          Azizul cuba menghidupkan motosikalnya beberapa kali, tetapi tidak berjaya. Resah bertandang di wajah Azizul dan Masdiana.
          “Apa lagi nak buat, dah tukar spark plug pun tak hidup jugak. Terpaksalah kita berjalan kaki,” kata Azizul kesal.
          “Sebelum datang tadi, abang dah tengok motor ni okey je.”jelas Azizul lagi.
          “Tak apalah bang, kita sabar je. Kenangan ini tentu tak dapat kita lupakan. Malu betul bang, berjalan di tengah hujan di pertengahan jambatan ni.” Masdiana berjalan sambil mengenakan topi keledar, biar tertutup wajahnya di sebalik penutup topi keledar itu.
          Azizul ketawa mendengar kata-kata Masdiana itu. Dia memakaikan baju hujan itu ke badan Masdiana. Dia menyorong motosikal itu dan berjalan laju. Masdiana membututi Azizul sambil berdoa. Semoga dia diselamatkan oleh seseorang.
          “Abang, kenapa dengan motor tu?” tegur Siva, lelaki berbangsa India. Setelah 10 minit mereka meredah hujan lebat ketika itu. Siva lengkap mengenakan baju hujan.
          “Eh, Siva! Awak cam saya?” tanya Azizul. Dia tidak menyangka, Siva boleh lalu di situ pada waktu yang sama.
          “Ya, saya masih ingat lagi nombor plat motor abang ni.” kata Siva sambil tersengeh-sengeh. Dia masih ingat, dia selalu berhutang daripada Azizul ketika sama-sama bekerja di satu tempat dahulu.
          “Tak tahulah kenapa dengan motor abang ni. Dah start tapi tak mau hidup. Dah tukar spark plug pun sama. Tak mahu jugak dia.” Bagitahu Azizul dengan suara yang agak kuat kerana bising dengan deruan enjin kenderaan serta hujan yang lebat.
          “Saya rasa, motor abang ni dah masuk air hujan. Tak apalah, kakak bonceng di belakang saya. Abang pegang tangan saya ni, biar saya pimpin sampai ke bengkel motosikal.” pelawa Siva ikhlas.
          Alhamdulillah… ALLAH telah kabulkan doa Masdiana. Mereka selamat sampai ke bengkel walaupun hujan lebat dan pandangan di jalan raya agak kabur. Lampu kecemasan telah digunakan Siva untuk keselamatan mereka semasa menunda motosikal. Setelah mengucapkan terima kasih kepada bekas rakan sekerjanya itu, Azizul menghela nafas panjang.
          “Bila motor ni boleh siap?” tanya Azizul kepada seorang pekerja di bengkel itu.
          “Abang kena tinggal motor ni kat sini dululah bang. Esok, baru boleh saya tengok apa rosaknya.” jawab pekerja di bengkel motosikal itu.
          Azizul mengangguk. Dia termenung seketika.
          “Mas, tunggu di sini. Abang nak pergi pinjam kereta bapa saudara abang yang tinggal dekat-dekat sini. Jangan pergi mana-mana. Sekejap je, tak lama.” kata Azizul setelah mendapat satu akal.
          “Baklah bang.” Masdiana menganggu. Di wajahnya tampak resah. Dia berjalan beberapa langkah, mundar mandir di sekitar hadapan kedai membaiki motosikal itu. Cemas!
Azizul berlalu dari situ menuju ke rumah bapa saudaranya kira-kira 100 meter dari bengkel motosikal tersebut. Sepuluh minit kemudian, dia muncul semula dengan sebuah van.
“Mas, mari naik. Abang hantarkan Mas balik ke Sungai Petani. Lepas tu esok abang hantar van ni dan ambil motosikal tu.” Azizul membuka pintu van itu untuk kekasih hatinya.
“Baiklah bang. Macam-macam hal yang berlaku dalam kehidupan Mas ni bang. Abang pun terpaksa menanggungnya sama.” kata Masdiana sedih.
“Jangan salahkan takdir Mas. Abang percaya Mas mampu mengharunginya. Dan ALLAH uji kepada umatnya yang mampu menghadapinya. Segalanya itu akan mematangkan Mas. Mas kena kuat dan tabah.” ulas Azizul untuk meredakan gelisah di hati buah hatinya itu.
“Tapi Mas sudah mengheret abang sekali dalam masalah Mas.” Masdiana tunduk sedih. Titis-titis hujan yang membasahi tudung kepalanya merjatuhan ke muka bercampur dengan lelehan air matanya yang hangat itu.
“Mas, abang sudah terima Mas dan abang tetap akan terus bersama Mas walau di dalam keadaan apa sekali pun. Percayalah Mas.” Azizul memberi pengharapan yang sungguh tinggi. Adakah dia dapat bertahan dengan kehidupan yang penuh liku itu? Azizul bagaikan sedang memperjudikan nasibnya bersama Masdiana.
“Untung sabut timbul Mas… sabar dan berserah saja pada ALLAH. Mudah-mudahan ada jalannya nanti.” Azizul menabur harapan itu, setelah melihat raup wajah cuak kekasih hatinya. Rasa simpati telah bertukar rasa sayang yang sungguh mendalam. Semuanya terpacul segar apabila dia menilai kesucian hati dan kejujuran Masdiana.
Malam sudah merangkak dalam gerimis. Rasa sejuk telah menyelinap ke seluruh badan Masdiana dan Azizul. Penyaman udara di dalam kenderaan itu menyerap kedinginan dua kali ganda kerana pakaian mereka berdua telah basah ditimpa hujan sebentar tadi. Masdiana memeluk tubuhnya sambil menggigil. Sesekali Azizul mencuri pandang kepada Masdiana yang kesejukan itu.
“Mas, kita berhenti sekejap. Kita pekena kopi panas di warung kat depan tu. Tak sampai hati abang tengok Mas menahan kesejukan,” Azizul memberhentikan kenderaan itu di hadapan sebuah warung yang menjual burger dan minuman. Di sebelahnya ada juga masakan panas.
“Mas tak nak turunlah bang. Abang beli bungkus je. Kalau duduk kat situ, lambat pulak sampai rumah.” Masdiana berkata dengan mulut yang hanya terbuka sedikit. Menggeletar kesejukan.
“Okeylah, tunggu sekejap,” Azizul ke warung itu lalu memesan dua biji burger special dan dua plastik kopi ‘o’ panas.
Di dalam kenderaan itu, Masdiana terkenang kembali bagaimana perjalanan hidupnya sejak kecil sehingga ke saat itu. Penuh liku dan tidak teratur. Dia sedih. Kejayaannya meloloskan diri dari cengkaman Mustapa telah memberi semangat baru untuknya mencapai kembali kejayaan di masa hadapan. Jika dahulu seluruh pemikirannya telah beku dan dikawal Mustapa seratus peratus. Sehinggakan dia tidak tahu untuk berfikir tentang masa depan dan kejayaan hidup seperti orang lain. Hampir sepuluh tahun hidupnya kosong. Sedang kawan-kawannya yang lain, giat bekerja mengumpul harta dan wang. Dia, hanya hidup di dalam dunia sempitnya sendiri, ibarat sebuah syurga buatan yang teramat indah. Butir-butir jernih yang panas mulai mengalir ke pipinya.
“Mas… sudahlah. Janganlah diingatkan lagi perkara yang sudah-sudah tu. Insya-Allah Mas masih ada masa untuk membina semula kehidupan Mas. Abang berjanji akan bahagiakan Mas,” kata-kata Azizul itu, memeranjatkan Masdiana. Dia tidak sedar Azizul sudah pun menaiki kenderaan itu. Dia cepat-cepat menyeka air matanya lalu mempamirkan senyuman sebaik sahaja Azizul menghulurkan minuman kepadanya.
“Minumlah. Makan burger ni. Kalau hari tidak hujan tadi, kita boleh singgah makan dulu. Mas lapar ke?” tanya Azizul dengan perasaan kasih.
“Cukuplah, burger ni pun boleh kenyang. Sebelum kita ke taska tadi pun kita dan makan di Bayan lepas. Masih terasa kenyang.”
“Itu siang tadi. Sekarang sudah lepas magrib.”
Mereka makan dan minum di dalam perjalanan. Isyak mereka sampai di rumah Mak Aji. Azizul hanya menghantar Masdiana di luar pintu pagar. Tak elok Azizul masuk ke rumah itu, kerana Mak Aji seorang ibu tunggal. Tidak ada lelaki di dalam rumah itu.
“Sampaikan salam abang pada Mak Aji. Katakan abang nak cepat, tak sempat nak singgah. Lagipun baju abang basah,” ucap Azizul sebelum berlalu pergi.
“Baiklah bang. Terima kasih.”
Masdiana menghadiahkan lambaian kepada Azizul. Azizul mengangkat tangannya. Sepasang mata Masdiana menghantar Azizul sehingga hilang dari pandangan, barulah dia menapak masuk ke dalam rumah.
“Ibu, kenapa balik lambat?” Amyra menerpa ke arah Masdiana.
“Eh, baju ibu basah!” jeritan Amyra itu mengundang sepasang mata Mak Aji membutang ke sosok tubuh Masdiana.
“Maaf Mak Aji, Mas lambat sikit. Tadi motor Azizul rosak di pertengahan Jambatan Pulau Pinang. Kami meredah hujan. Nasib baik ada kawan dia lalu di situ dan menolong kami. Sampai Butterwoth Azizul pinjam kereta bapa saudaranya.”jelas Masdiana supaya syak di hati Mak Aji itu tidak berlarutan.
“Dah, pergi mandi. Esok Mas rehat je,” kata Mak Aji.
“Terima kasih Mak Aji. Oh ya, tadi Azizul kirim salam.” Masdiana segera berlalu ke bilik.

“Wassalam…” jawab Mak Aji ringkas. Dia meneruskan melipat kain, sebakul penuh yang telah dicuci Masdiana.
~Terima kasih semua... nanti jangan lupa baca bab ke 14 pula... ^_____^v
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@




14
JANUARY 2006
TIDAK tahu bagaimana hendak memulakan bicara kepada Mak Aji. Terasa bersalah. Berasa terkilan bertindih-tindih di benak Masdiana ketika itu. Persinggahan sementara itu harus dijelaskan juga demi masa depannya. Dia menolong Mak Aji yang baru pulang dari pasar. Dia menyatukan semua sisa-sisa makanan dan nasi lemak yang tidak habis dijual itu, untuk diberikan kepada ternakan Mak Aji. Ayam, itik dan angsa sudah muak dengan makanan yang sama setiap hari. Mereka tidak perlu berebut-rebut kerana makanan mereka sering tidak habis dimakan.
          Masdiana mendekati Mak Aji dan cuba membuka mulut walaupun berat hati untuk meluahkannya. Mak Aji seperti sudah tahu maksud kedatangannya itu. Dia hanya tersenyum apabila memandang wajah serba salah Masdiana yang sedang bermain ranting di hujung jari.
          “Ada apa Mas? Katakanlah jangan segan-segan,” Mak Aji memulakan bicaranya, sambil duduk di atas bangku kayu di bawah sepohon kelapa. Kelapa itu rendah sahaja namum sudah berbuah lebat. Boleh dipetik dengan tangan.
          Masdiana menggosok-gosok buah kelapa itu. Matanya yang teduh bagaikan malu untuk bertatapan dengan Mak Aji. Mak Aji hanya memerhati kepadanya sambil menghela nafas. Kepenatan belum lagi hilang.
          “Kalau tak ada apa-apa, Mak Aji nak masuk mandi.” kata Mak Aji lagi.
          “Er, begini Mak Aji, esok saya dan Amyra akan berpindah dari sini,” cepat-cepat Masdiana menyuarakan hasratnya itu.
          “Nak pindah ke mana?” belum sempat habis cerita Masdiana itu, Mak Aji pula terus memotong cakap dengan pertanyaan.
          “Saya dah dapat kerja di sebuah taska di Bayan Lepas. Saya nak minta maaf Mak Aji, sebab saya datang hanya untuk menumpang sekejap, sementara ada tempat tinggal. Tentu Mak Aji maklum, saya dan Azizul bukan mahram. Kami tidak boleh tinggal bersama.” Masdiana memberanikan diri berbicara.
          “Kalau begitu baguslah. Bukan Mak Aji tak suka. Kau pun tahu, Mak Aji ada anak yang duduk di KL tu, selalu jugak mereka anak beranak balik ke mari. Rumah Mak Aji ni tak cukup bilik.” Benar bagai diduga Masdiana.
          “Itu saya tau Mak Aji, sebab tu saya bertindak cepat. Supaya tidak menyusahkan Mak Aji lama-lama.” ulas Masdiana pula.
          “Baiklah kalau macamtu, kerjalah elok-elok. Binalah masa depan yang lebih baik. Mak Aji doakan semoga Mas berjaya. Mak Aji pun seorang janda, boleh juga membela anak-anak sendirian. Kita wanita ni kena tabah dan kuat, baru hidup senang.” nasihat Mak Aji itu dibalasnya dengan anggukan.
          “Jangan risaulah Mas… Mak Aji nak masuk dulu ni.” Mak Aji menepuk bahu Masdiana sekali. Dia mengatur langkahnya sambil membongkok sedikit kerana kepenatan.
          “Baiklah Mak Aji, biar saya tolong kemaskan barang-barang tu semua ke bengkel.” Mak Aji mendengar kata-kata Masdiana itu, namun dia meneruskan langkahnya.
Mak Aji segera memasuki rumahnya. Bau tengit di badannya setengah hari itu tidak selesa untuknya bersembang lama-lama. Peluh yang melengas di seluruh badan iu, bagaikan memaksa untuk dibersihkan segera.

PAGI esoknya, Mak Aji seperti biasa keluar berniaga. Masdiana membuat kerja-kerja rumah terakhir untuk Mak Aji. Kepulangan Mak Aji ditunggunya. Keberangkatannya wajib dilihat Mak Aji supaya tidak timbul salah sangka dan syak. Dia tidak mahu nanti, sebaik sahaja dia meninggalkan rumah itu, ada barang-barang yang hilang pula. Dia takut benar perkara seperti itu terjadi. Biar Mak Aji lihat sendiri apa yang dia bawa pergi itu hanyalah milik peribadinya sendiri. Dia mahu pergi secara baik sebagaimana dia mula-mula datang dahulu.
          Phon! Phon! Bunyi hon kereta yang dipandu Azizul.
          “Ibu, pak cik dah datang!” Amyra berlari menuju ke kereta pak ciknya itu.
          Kedatangan Azizul itu mengundang rasa resah dan pilu. Rumah Mak Aji direnungnya buat kali terakhir. Tentu dia tidak akan lupa tempat itu. Tempat mula-mula dia mengutip banyak ilmu dan mengumpul segala kekuatan. Masdiana keluar dan menuju ke kereta Azizul.
          “Abang, kita tunggu Mak Aji. Tentu dia sedang dalam perjalanan balik.”
          “Boleh…” jawab Azizul sepatah sambil tersenyum melihat telatah Amyra yang sudah duduk di kerusi belakang.
          “Myra dah tak sabar ke nak ke sekolah tadika tu?” Azizul aju pertanyaan. Amyra tersenyum-senyum.
          “Myra nak ikut ibu…” kata Amyra sambil memeluk leher ibunya dari belakang.
          “Takkanlah ibu tergamak nak tinggalkan Myra. Kemana ibu pergi, pasti ibu bawa Myra.” Masdiana berkata sambil menghadiahkan sebuah senyuman penuh kasih untuk anaknya. Dia meramas tangan anaknya itu mesra. Lalu dikucupnya.
          Phon! Phon! Van buruk Mak Aji memasuki halaman, menuju ke bengkel masakan. Masdiana dan Amyra pergi menyambut kepulangan Mak Aji. Azizul juga ikut sama.
          “Mak Aji, kami nak berangkat sekarang. Kami anak beranak nak minta maaf seandainya ada kelakuan kami yang telah menyinggung perasaan Mak Aji.” Masdiana menghulurkan salam lalu mereka berlaga pipi seketika.
          “Mak Aji, maafkan Myra jugak ya,” Amyra juga menghulurkan salam.
          “Jaga diri Mas dan Myra baik-baik. Kalau senang-senang nanti jangan lupakan Mak Aji pulak. Datang selalu jenguk Mak Aji kat sini.” ucapan daripada Mak Aji itu terkandung rasa sedih. Tentu dia akan terasa kehilangan dan sunyi.
          “Baiklah Mak Aji, kami tidak akan lupa budi baik Mak Aji. Sekarang Mas nak ambil beg pakaian,”
          “Kenapa tak ambil siap-siap tadi?”
          “Tak manis pulak bila saya tidak ambil barang-barang saya di hadapan Mak Aji.”
          “Ala, Mak Aji tahu, kau seorang yang jujur. Takkanlah kau tergamak nak buat benda-benda yang tak elok. Dah, mari Mak Aji tolong!”
          “Eh, tak apalah Mak Aji, bukan banyak mana pun barang saya. Hanya dua buah beg baju kecik je.” Masdiana menghalang Mak Aji, lalu dia pergi ke bilik untuk mengambil beg baju itu.
          “Terima kasihlah sebab sudi menumpangkan Masdiana dua beranak tu.” ucap Azizul. Mak Aji hanya tersenyum.
          “Tak apalah, hari ni hari dia. Nasib anak-anak saya pun belum tahu lagi macamana.” balas Mak Aji pula
          “Maaflah Mak Aji sebab, saya tak berkenan dengan gadis-gadis yang Mak Aji kenalkan kepada saya dulu tu. Mungkin kami tak ada jodoh dan tak serasi. Tapi dengan Masdiana ni, saya boleh terima pulak dia.” terang Azizul dengan diikuti ketawa kecil.
          “Ya lah, dulu tu, aku tengok kau macam ayam berak kapur. Dah di berikan perempuan tak berkenan pulak. Itu yang aku malas nak masuk campur. Tapi baguslah, aku tengok Masdiana ni baik orangnya. Bimbinglah dia. Bantulah dia. Aku doakan semoga kau ada jodoh dengannya dan kekal bahagia kali ni.” berkau aku adalah perkara biasa bagi mereka. Itulah kemesraan yang selalu berlaku di pasar. Doa dan harapan Mak Aji itu dibalas anggukan oleh Azizul dan setelah itu, Azizul serta Masdiana bermohon diri.
          Keberangkatan Masdiana dan Amyra itu diperhatikan Mak Aji dengan perasan yang sayu. Dia juga teringat sewaktu dia mula-mula diceraikan oleh suaminya. Bukan mudah untuk memulakan penghidupan baru bersama tiga orang anak.
Dari berniaga gerai tepi jalan, sehingga mendapat satu lot kedai di pasar dan sekarang sudah senang sedikit kerana perniagaannya bertambah maju. Pelanggan yang tidak putus-putus dan kuih muih bertambah banyak, memaksa Mak Aji menyewa lagi satu lot gerai makan. Menjadi dua lot berkembar. Gerai Mak Ajilah yang paling besar dan laris di Pasar Kepala Batas itu. Dia mampu tersenyum sekarang. Dengan hasil titik peluhnya sendiri dia mempunyai rumah dan sebuah kereta baru.
          Sebaik sahaja kereta yang dipandu Azizul melepasi sawah, kelihatan anak Mak Aji baru pulang dari sekolah dengan menaiki basikal.
          “Ibu, itu Dyna!” jerit Amyra.
          Azizul memberhentikan kereta. Amyra membuka pintu kereta lalu mendapatkan Dyna yang lebih tua dua tahun daripadanya itu.
          “Dyna, maafkan Myra ya, Myra dah nak pindah.” Amyra menghulurkan salam kepada Dyna.
          Dyna terkulat-kulat memerhatikan Masdiana dan Azizul di dalam kereta.
          “Maafkan Mak cik jugak, Dyna.” Masdiana mengulurkan salam dari dalam kereta.
          “Sama-sama mak cik.” ucap Dyna, sambil ke tepi memberi laluan.
          Masing-masing melambai-lambai. Amyra turut memberi lambaian kepada Dyna, seperti dia tidak akan pernah bertemu lagi selepas itu.
          Ada air jernih tergenang di kelopak mata Dyna. Dia pasti sunyi semula. Kucingnya nanti akan mengambil tempat semula, untuk menghilangkan  kehilangan di hati. Dyna mengayuh basikalnya laju-laju. Dyna menjerit kepada emaknya sebaik sahaja mencampakkan beg sekolahnya di muka pintu.
          “Mak! Kenapa biarkan Myra ikut ibunya? Dyna nak berkawan dengan siapa?” Dyna bagaikan mahu menangis. Dia mencebek.
          “Dyna, Amyra dan ibunya tu hanya menumpang kita. Mana boleh kita biarkan mereka duduk di rumah kita ni lama-lama?”
          “Mak tak suka Mak cik Mas dengan Myra tu ke?” tanya Dyna sambil mencuka. Setitis air mata kecewanya hangat terjun ke pipi mongelnya.
          “Mak suka mereka berdua tu. Mereka tu baik, ringan tulang. Tapi kan Dyna ada Kak Ana dan Abang Zul yang tinggal di KL tu. Anak-anak saudara Dyna tu, nak tidur mana kalau mereka semua balik? Sabarlah, lama-lama nanti Dyna boleh lupakan Myra tu.” semoga pujukan Mak Aji itu, dapat meredakan sedikit perasaan terkilan di hati Dyna.

          “Kita sama-sama berdoa semoga Amyra dan Mak cik Mas berjaya di dalam kehidupan mereka. Mereka pun mahu kehidupan yang lebih baik.” pujukan Mak Aji itu telah meredakan perasaan Dyna. Dia akur lalu memeluk ibunya.

~Ikuti lagi membaca bab yang ke 15... stay tune! (O.o)v 

1 comments:

Post a Comment

 

©Copyright 2011 Pena Ilham Hatiku | TNB