Menu dan Resipi Dalam Kisah ~ 0006

Friday 3 October 2014 0 comments
                                                  AYAM GORENG BERSANTAN


Assalamualaikum. Selamat berbuka puasa kepada kawan-kawan yang berpuasa sunat pada hari ini, iaitu pada 9 Zulhijah. Hari wukuf. Semoga mendapat keberkatan Allah SWT dan tunggulah janji Allah. Kerana janji-janji Allah itu benar!
Menu Ayam Goreng Bersantan ini adalah Resipi Turun Temurun daripada arwah ibu bonda. Semoga resipi ini dapat dipanjangkan lagi kepada yang berminat. Dan dengan harapan, semoga roh arwah ibu bonda dicucuri rahmat-Nya dan bersama orang-orang yang beramal soleh serta dikasihi Allah dan Rasul-Nya. Aamiin.
Mari ikuti resipi dan cara-cara penyediaannya. Sangat ringkas. Wangi sungguh bau aromanya. Menambat selera sesiapa sahaja. Tidak pedas dan sesuai dimakan oleh semua peringkat umur.
Resipi;
Setengah ekor ayam. Dipotong mengikut kesesuaian dan dibersihkan. Tumbuk bawang putih, sedikit halia dan bawang merah, gaul bersama ketulan ayam tadi dengan sedikit garam, sedikit gula dan sedikit serbuk kunyit. Ketepikan.
Ambil satu cawan santan pekat dan satu cawan air, masukkan ke dalam kuali. Didihkan santan tadi sehingga naik minyak sedikit. Masukkan ketulan ayam yang sudah diperap tadi. Masukkan sekeping asam. Balik-balikkan dan tutup kuali itu. Sesekali balik-balikkan. Sekiranya ayam tadi masih belum masak dan santan sudah hampir kering, bolehlah tambah sedikit air. Kacau lagi dan tutup kuali itu. Biar mendidih dengan api yang sederhana. Perasakan.  Balik-balik-balikkan lagi, sehingga ayam itu masak.
Apabila santan sudah mulai kering, masukkan bawang besar yang sudah dipotong bulat-bulat dan lada hijau yang sudah dikerat-kerat. Goreng bersama selama 3 minit.
Sedia dihidangkan. Subhanallah...Sedapnya! Wanginya! Rindunya kepada arwah ibu...
Selamat mencuba kawan-kawan!

0 comments:

Post a Comment

 

©Copyright 2011 Pena Ilham Hatiku | TNB