Menu dan resipi dalam Kisah~ 0001& 0002

Tuesday 1 July 2014 4 comments
29
JAM menunjukkan ke pukul Sembilan, tiga puluh minit pagi. Angin sepoi-sepoi bahasa menyegarkan suasana persekitaran. Lambaian dedaun pepohon pauh dan pohon kelapa di tepi rumah Masrifah menambah kesegaran udara. Jauh benar daripada pencemaran. Kelihatan beberapa ekor ayam peliharaan kakaknya yang baru sahaja dilepaskan dari reban, sedang mencari makan di belakang dapur. Sisa nasi dan lauk semalam masih berbaki di tanah.
          “Hari ini, Kak Pah nak masak kerabu pucuk mengkudu dan ikan cencaru bakar.” niat itu disuarakan kepada Ruzdiana. Ketika Ruzdiana ralit menikmati suasana kampung tempat tumpah darahnya itu.
          “Wah, Sedapnya! Lama betul Dian tak makan kerabu pucuk mengkudu,” balas Ruzdiana teruja.
          “Mari!” Masrifah mencuit tangan adiknya lalu berjalan ke belakang rumah. Diikuti Ruzdiana.
          Sepohon mengkudu yang sederhana besarnya itu rendang. Banyak pucuk-pucuk yang muda tidak dipetik.
          “Lebar-lebar daunnya. Suburnya tanah di sini. Ingat lagi dulu, masa arwah mak masih ada. Kebun cili dan tembikainya subur.” Ruzdiana bermonolog tentang ibunya yang begitu tekun berkebun untuk menyara persekolahannya.
          “Tapi itu tanah kebun kat dalam kampung.” jelas Masrifah.
          “Ya, kat sini semuanya pohon getah. Ingat lagi masa tu, Dian bela kucing, main sorok-sorok dengan dia. Rindu masa kecik-kecik. Lasak!” kata Ruzdiana sambil ketawa kecil.
          “Orang lain tak suka makan ke pucuk mengkudu ni Kak Pah?”
          “Makan jugak. Kak Pah bagi je siapa-siapa yang nak petik. Kalau rajin petik, lagi banyak pucuk baru akan bercabang. Benih ni, kawan Kak Pah yang duduk kat Jerteh bagi. Dah banyak jasa pokok ni pada Kak Pah. Kak Pah selalu masak lemak pucuk mengkudu ni. Penjual ikan yang tolong jualkan. Tak sempat sampai jauh, dua puluh paket selesai.” Masrifah memberitahunya dengan perasaan gembira. Masrifah memang pandai memasak. Penduduk kampung itu semua mengakuinya.
          Mereka memetik pucuk mengkudu itu sambil berbual dan ketawa. Masrifah selalu menantikan kepulangan adiknya. Dia cukup gembira kerana dapat melayan satu-satunya adik yang dia ada. Nak bermanja dengan Awang, bagaikan mendekati seekor harimau.
          Banyak juga tips-tips masakan yang Ruzdiana salin dan kumpulkan. Berguna untuk masa depannya nanti. Sedang leka mereka mengutip pucuk mengkudu itu, mereka dikejutkan dengan bunyi hon daripada penjual ikan.
          “Van ikan dah sampai tu. Cepat!” Masrifah termengah-mengah mendapatkan van ikan itu. Ruzdiana membututinya.
          “Ini siapa pulak Kak Pah?” tanya penjual ikan itu.
          “Adik dari Kuala Lumpur. Baru balik…”
          “Oh, patutlah tak pernah nampak,” penjual ikan itu mengerling kepada Ruzdiana. Ruzdiana hanya mengangguk sambil melihat ikan yang dijual itu.
          “Kak Pah nak ikan apa hari ni?” tanya penjual ikan itu lagi.
          “Timbang ikan kerongan ni, 7 ekor. Ikan selayang sekilo.”
          Orang Pantai Timur memanggil ikan yang berkulit keras itu dengan nama ikan kerongan. Kalau di Kuala Lumpur, ikan cencaru. Budak-budak muda pula memanggil ikan itu dengan gelaran ikan jaket.
          Kak Pah bersegera untuk ke dapur pula. Ruzdiana hanya menjadi pengikut yang setia. Sedia mendengar segala arahan kakaknya.
          “Miji, kait buah kelapa muda! Untuk minum tengahari nanti. Nor, belah dua biji kelapa! Parutkan sekali.” arah Masrifah kepada kedua-dua anaknya itu sambil melangkah naik ke tangga di pintu hadapan rumahnya itu.
          “Apa yang Dian boleh tolong ni, Kak Pah?” Ruzdiana sedia memberikan perkhidmatannya.
          “Hiris pucuk mengkudu itu halus-halus dan rendam dengan air garam 10 minit.” Ruzdiana mengikut arahan kakaknya itu tanpa bantahan.
Dia mengambil pengalas kayu untuk menghiris pucuk-pucuk mengkudu itu. Dia tidak sabar lagi untuk belajar menu baru daripada kakaknya itu. Bau maung daun mengkudu yang telah dihirisnya itu menyucuk hidungnya. Sementara itu Masrifah sedang menyiang ikan cencaru untuk dibakar sebentar lagi. Juadah masakan kampung tengahari itu sungguh istimewa.
“Ramas-ramas pucuk mengkudu tu. Salin air garam empat lima kali. Lepas tu, bilas dengan air bersih.” suruh Masrifah lagi kepada Ruzdiana. Bertujuan untuk membuang rasa pahit pada daun mengkudu itu. Ruzdiana mengikuti setiap langkah dan cara yang telah ditunjukkan oleh kakaknya itu dengan tekun.
“Setelah siap, tapis dan biarkan sekejap. Ambil kelapa parut tu dan sangrai sehingga kuning.” suruh Masrifah lagi.
Sedang Ruzdiana sangrai kelapa patrut itu, Masrifah memberitahu langkah seterusnya.
“Ikan selayang ni kena rebus dulu. Letak garam dan asam keping. Bila dah masak, biar sejuk dulu. Ambil isi ikan saja, agak-agak cukup dengan pucuk mengkudu tadi.” Ruzdiana mengangguk sambil menulis resipi tersebut ke dalam buku catitannya, yang selalu di bawanya ke mana sahaja.
Sementara itu, kakaknya menyuruh Nor memotong serai, kunyit basah, dan halia. Bawang putih dan bawang merah dikisar. Cili kering yang telah direndam dengan air panas terlebih dahulu itu, dikisar bersama cili merah. Ketepikan. Santan pekat diambil dari sebiji kelapa yang telah diparut. Sedikit air asam jawa dan sedikit cuka untuk penambah rasa kepada kuah ikan bakar tersebut. Nisse atau gula Melaka ditumbuk hancur serta garam dicampur sekali dengan bahan-bahan yang telah dikisar tadi ke dalam sebuah bekas.
“Bahan yang kita tumbuk tadi biarlah lebih banyak. Yang lebih tu kita boleh masakkan untuk kuahnya.” Terang Masrifah lagi. Ruzdiana mengangguk sambil menyiapkan kerja-kerjanya.
Ikan cencaru yang telah dibersihkan, dilumur dengan bahan yang telah ditumbuk tadi. Ikan itu telah dibelah belakang supaya bahan-bahan yang telah dikisar dan ditumbuk tadi dapat meresap sehingga ke dalam isi. Waktu untuk membakar ikan pun bermula. Asap mulai memenuhi ruang dapur sehingga ke ruang tamu. Bau harum menusuk ke hidung jiran tetangga. Masrifah hanya membakar ikan-ikan itu di dalam kuali yang diletakkannya ke atas dapur gas.
Ikan yang telah siap dibakar itu diatur ke dalam pinggan besar. Ikan cencaru bakar yang bersaiz besar itu cukup untuk menjamu anak-anak dan cucu-cucunya itu. Lebihan rempah yang dilumur kepada ikan tadi itu, dididihkan. Kemudian disiram ke atas susunan ikan bakar itu.
Emm… Aromanya! Ruzdiana menghidu hidangan ikan bakar itu dengan mata yang terpejam. Tidak sabar untuk menikmati hidangan itu sebentar lagi. Sedapnya tentu tidak dapat diucap dengan kata-kata.
“Tok Wan nak makan nasi,” pinta cucu bongsu Masrifah. Apabila tidak tahan terhidu bau ikan bakar yang sungguh menyelerakan itu.
“Belum siap lagi. Tunggu siap masak semua dulu, boleh kita makan sama-sama. Pergi main-main dulu. Cucu Tok Wan ni baik…” pujuk Masrifah kepada cucunya.
Cucu Masrifah itu masih berada di sisi Masrifah. Memerhati. Dia menunjukkan minatnya ke dapur. Dia juga rajin mencuci pinggan mangkuk walaupun tidak sebersih mana. Dan suka bermain sabun pencuci pinggan. Kadang-kadang Masrifah gelihati dengan gelagat cucunya yang seorang itu. Suka mencuba dan mengikut apa yang Masrifah lakukan di dapur. Pernah telur ayam sesangkak dipecahkan dan digorengnya. Masrifah hanya mengucap panjang.

“Kita nak buat kerabu pucuk mengkudu pulak ni.” kata Masrifah.
“Ambil lima ulas bawang merah, secubit serbuk lada hitam, isi ikan.” Masrifah memberi resipi untuk membuat kerabu pucuk mengkudu itu.
Ruzdiana menyalinnya ke dalam buku catatannya.
“Semuanya tadi hendaklah ditumbuk. Masukkan ke dalam besin kecik ni. Masukkan mengkudu yang dah dihiris tadi tu, santan pekat, garam dan gula. Gaul sampai sebati. Kelapa tadi ditumbuk untuk dijadikan kerisik. Masukkan sekali dalam besen ni, gaul lagi.” Masrifah menjamah sedikit kerabu itu, lalu dirasanya. Ada sesuatu yang belum cukup.
“Nor, pergi ambil buah limau nipis di pokok!” jerit Masrifah kepada anaknya yang ralit menonton televisen.
“Berapa biji?” tanya Nor.
“Ambillah lebih pun tak apa, kan kita nak letak dalam budu jugak!” balas Masrifah.
Limau yang telah dipetik oleh Nor tadi dibelah dua dan diperah ke dalam bekas berisi kerabu mengkudu tadi. Masrifah menggaulnya sehingga sebati. Kecur liur Ruzdiana apabila melihat kerabu mengkudu itu telah sempurna.
“Sedapnya, cukup rasa!” Ruzdiana memuji kesedapan kerabu mengkudu itu.
“Miji, buah kelapa muda dah siap ke!?” Masrifah menjerit pula kepada Miji yang berada di tanah, melalui tingkap dapur rumahnya.
“Sekejap, tengah korek isi kelapa muda ni!”
Air kelapa muda dibelahnya dua biji. Dapat satu jag besar airnya. Apabila dicampur dengan air batu, akan bertambah kesegaran rasanya. Nyaman sekali diminum pada waktu makan tengahari.
Kedengaran teksi Iqbal sedang menuju ke halaman rumah Masrifah. Seketika kemudian terdengar pula bunyi pintu teksi itu dibuka dan ditutup. Berdecit bunyi kunci keselamatan kereta itu sebaik sahaja Iqbal menekan punat kunci kereta yang berada di tangannya itu.
“Kak Pah, Iqbal dah sampai.” beritahu Ruzdiana, walaupun kakaknya juga mendengar riuh rendah suara Iqbal yang sedang bercakap dengan Miji di belakang dapur. Dia menolong Miji mengangkat jag air kelapa itu naik ke atas rumah.
“Sedapnya bau… Kebetulan abang pun tengah lapar ni. Maklumlah baru bangun tidur.” kata Iqbal sambil menuju ke dapur.
“Astaghfirullahal ‘Azim…” Masrifah mengucap panjang.
“Ada apa Kak Pah?” tanya Ruzdiana cemas.
“Kak Pah belum masak nasi lagi…” kata Masrifah sambil tergelak besar.
Semua penghuni rumah itu ketawa.
“Apa nak buat, tunggu dululah biar Kak pah masak nasi. Sementara tu, celur pucuk ubi dan buah terung tu, buat ulam cicah budu.” suruh Masrifah. Ruzdiana terus melakukannya tanpa bantahan sambil tersenyum gelihati.
Dua puluh minit kemudian, semua sudah terhidang. Iqbal dan semua anak-anak saudara serta cucu-cucu saudaranya itu dipanggil untuk makan bersama.
“Wah! Sedap-sedapnya lauk. Membuka selera betul ni. Hidangan masakan kampung yang jarang-jarang abang jumpa.” Iqbal memuji keenakan hidangan itu.
“Inilah masakan Kak Pah bang, dia memang pandai memasak.” puji Ruzdiana pula.
“Dian kena belajar nih,”
“Mestilah bang, dah banyak Dian belajar dengan Kak Pah, janganlah risau.” Ruzdiana meyakinkan Iqbal.
Masing-masing menikmati hidangan tengahari itu dengan berselera sekali. Kak Pah tersenyum puas. Walaupun penat, tetapi berbaloi.
“Tapi Kak Pah, saya terpikat dengan Ruzdiana ni, kerana dia pandai masak laksam. Laksamnya sedap. Tak boleh tanding dengan laksam orang lain masak. Mas belajar dengan Kak Pah jugak ke?” tanya Iqbal.
“Tak adalah, Dian ubah citarasanya sendiri, setelah merasa laksam seorang jiran Dian ketika berada di Dungun dulu.” jelas Ruzdiana tanpa berselindung.

Alhamdulillah… Puas sungguh Iqbal menikmati makan tengahari hari itu. Setelah semuanya selesai makan tengahari, Ruzdiana dan Nor mengemas dapur dan mencuci pinggan mangkuk. Selepas itu mereka menunaikan solat zohor.

P/S Petikan ini diambil daripada Novel #DarjatKasih. Tunggulah kemunculannya nanti!
Untuk membacanya sedikit bolehlah klik ke link ini;
http://penailhamhatiku.blogspot.com/p/novel.html

4 comments:

  • Unknown said...

    Sy taip ikon jari yang tunjuk Good tuuu.....tp keluar jd tanda soal lah pulakkk.....alahaiii....Heeeeeheee
    ~Apa2 pun memang besT Bonda,2 dalam 1 !

Post a Comment

 

©Copyright 2011 Pena Ilham Hatiku | TNB